Tuesday 5 April 2011

La Tahzan

Cerpen
La Tahzan
Oleh : Sharifah Aisiah Syed Mahazar

Di bucu surau tua, seorang lelaki sedang khusyuk mengalunkan bacaan kalam Allah. Seorang lelaki lain yang hampir sebaya menghampiri, duduk setentang, dan lelaki yang membaca Quran tadi menghabiskan bacaan dengan Shodaqallahulazhim. Dia bangun menaruh Quran di atas rak yang tersusun kitab-kitab lama dan duduk semula di tempatnya.
******
“Dik, abang ada?”
“Takde, kenapa kak?”
“Duit sewa.”
“Nanti dia bayar.”
        Tip, tut, tip, top.. jari jemarinya menekan kekunci telefon.
“Abang, orang bawah minta duit sewa.” 
“Ok.”
        Ringkas saja balasan dari suaminya. Jenal Bakil Balul dan bininya Melah Kella Bibal, sudah 10 tahun membuka kedai makan ikan sepat masak asam jawa tempoyak. Mereka sekelamin menyewa bangunan atas dan bawah dengan seorang tokey cina yang berasal dari Singapura. Bahagian atas pula dijadikan bilik-bilik kecil menjadi 4. 3 bilik disewakan dan satu bilik lagi dijadikan surau, berserta dengan 2 bilik air, sedikit ruangan untuk menjemur baju dan ruangan memasak. Bilik seluas 14x10 kaki persegi disewakan dengan harga tiga ratus ringgit sebulan.
“Berapa kau sewa bangunan ni Nal?” Rafi memulakan perbualan dengan tuan kedai. Jenal Bakil Balul agak kaku sedikit.
Al-maklumlah, dalam kepalanya penuh dengan menu dan resepi baru yang mengasak. 10 tahun lepas ikan sepat masak asam jawa tempoyak memang mendapat sambutan hangat. Semenjak mutakhir ini, semakin ramai pengusaha kedai makan yang membuka kedai sekitar Bandar Hilir. Persaingan bertambah sengit.
“Seribu setengah sebulan. Harga lama, kalau sekarang mungkin tak dapat.”
“Dah lama ke kau niaga?”
“10 tahun. Dulu aku kerja dengan mak. Sekarang mak dah tak larat lagi. Aku yang ambil-alih.”
“Kak, bungkuskan saya nasi kosong 2, ayam goreng seketul dan ikan keli 2 ekor.” Melah Kellah Bibal mengambil pesanan Rafi. Pekerjanya, Kamlah Me’ah menyiapkan semuanya.
        Pelanggan tidak ramai hari itu. Mellah Kella Bibal duduk semeja mendengar perbualan Rafi dan suaminya Jenal Bakil Balul. Terbungkam kepenatan pada raut wajahnya. Dia cuma menggaji 2 orang pekerja sahaja. Seorang untuk mengambil pesanan pelanggan dan seorang lagi mencuci pinggan kotor di belakang. Selebihnya dia dan suami yang membereskan kerja. Hanya sekali sekala pada hari minggu dibantu oleh 2 orang anak daranya yang montel.
        Perbualan mereka semakin rancak. Rafi dan Alia baru beberapa bulan menyewa bilik di atas. Alia tidak bekerja, Rafi pula baru berjinak-jinak dengan perniagaan cendawan. Rafi memborong cendawan dari seorang pengusaha cendawan. Jatuh bangun dalam perniagaan mengajar Rafi erti kehidupan. Memandangkan hidup berdua saja, sewa bilik sudah memadai. Alia juga tak kisah. Alia baru menjangkau usia 23 tahun, Rafi pula sudah melewati separuh abad. Berlaku sedikit selisih faham tentang pembayaran sewa dengan orang bawah. Rafi tenang saja kerana itulah asam garam kehidupan.  
        Rafi menguruskan perniagaan secara kecil-kecilan di pasar malam. Rafi gagal dalam perkahwinan pertama. Runtuhnya empayar perniagaan yang dia bina selama 20 tahun, jatuhlah satu talak ke atas isterinya yang pertama. Isterinya minta dilepaskan. Dia diisytiharkan muflis. Asetnya disita dan Rafi hampir-hampir dipenjarakan atas tuduhan rasuah. Berat.. tak tertanggung lagi. Kehadiran Alia sebagai penawar. Alia menerima Rafi seadanya. Inilah cinta.. ya, cinta yang Rafi dambakan selama 50 tahun hayatnya. Isterinya dulu dimewahkan dengan harta, tapi Alia dimewahkan dengan kasih sayang seorang suami di bawah payung kasih Ilahi dan kemanjaan hidup sebagai suami isteri. Terlalu sederhana.
“Belajar dari kesilapan. Jaga hubungan kita dengan Allah dan Allah akan jaga hubungan kita dengan manusia lain.” Ustaz Mohd Khair Adam menggenggam erat tangan sahabatnya Rafi.
        Rafi membungkamkan mata ke lantai surau tua. Titik-titik jernih jatuh menimpa papan. Sudah lama benar dia tidak menjejakkan kaki ke rumah Allah. Bahunya terhenyut-henyut. Mahu saja dia menangis seperti anak kecil. Ah.. memang, dia sudah terlalu kerdil sekarang. Dia hamba, bukannya tuan di bumi ini.
“Mat, ajarlah aku. Aku sudah lupa caranya solat. Aku lupa arah kiblat. Aku berdosa Mat.” Rafi memandang telus ke muka sahabatnya itu. Matanya minta dikasihani.” Ustaz Mohd Khair Adam merupakan sahabat baik Rafi dari kecil lagi. Mat adalah panggilan Rafi kepada sahabatnya itu.
“Arasy Allah luas tak terjangkau. Mohon keampunan Fi. Allah menduga, bermakna Allah masih sayangkan kau. Kau ingat tak sewaktu kita kecil, di bangku sekolah rendah. Kau rajin sekali membelek buku nasihat Lukhman Al-Hakim. Kau selalu bacakan padaku; Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama Taqwa, isinya ialah Iman dan layarnya adalah Tawakkal kepada Allah. Kau anak yang pintar. Aku masih merangkak-rangkak mengeja. Kau lancar membaca.” Ustaz Mohd Khair Adam memujuk Rafi. Dia tidak mahu sahabatnya jatuh di lembah kekecewaan yang menyebabkan dia berputus asa dari Rahmat Allah. Binauzubillah.
“Aku ingat Mat. Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Ah, aku melihat dunia ini dengan mata hati yang rakus. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama Taqwa. Aku melemaskan diri dalam kemewahan. Aku melayari kehidupan ini dengan gelak tawa. Rasuah, riba.. aku pemakan harta riba. Isteriku, buta hati. Anak-anakku, ah.. berat Mat.” Rafi mengulang bait-bait kata Lukhman Al-Hakim. Dia mengeluh panjang.
        Ustaz Mohd Khair Adam menjadi rujukan kepada Rafi dalam hal Agama. Sudah sekian lama dia melupakan tikar sejadah. Sahabatnya telah menghadiahkan dia sebuah buku agama dan motivasi “La Tahzan”.  
“Bacalah, pada saat kau sedih dan patah semangat. Al-Quran dan Sunah sebagai penghibur.”
******
“Abang..” lamunan Rafi dipatahkan oleh gemersiknya suara Alia. Ditangannya buku “La Tahzan.
“Abang, Redha sajalah. Kalau orang bawah beriya mengatakan kita belum jelaskan sewa bulan ni, apa lagi yang boleh abang tegaskan. Kita ini menumpang saja di bumi Allah. Lagi pun kita tidak ada resit sebagai bukti pembayaran.” Alia menenangkan hati Rafi. Alia percaya, setiap yang Allah aturkan ada hikmahnya. Alia mengambil buku “La Tahzan” diletakkan di sebelah.
“Yalah. Rezeki dari Allah. Abang sedekahkan saja pada mereka. Mudah-mudahan mereka diberikan Hidayah.” Rafi tidak marah dipermainkan begitu.
“Abang, ingatkah abang tentang kisah si miskin dan si kaya pada zaman Musa A.S yang kita baca dalam buku ni? Alia memicit-micit bahu suaminya.
“Cerita yang mana satu Lia, ingatkan abang balik, boleh kan!” Rafi meminta dengan suara yang lembut.
“Tentang si miskin yang pergi berjumpa Musa A.S dan meminta supaya dipohonkan kepada Allah agar dijadikan dia seorang yang kaya raya. Abang ingat ke, apa yang dikatakan oleh Musa A.S kepada si miskin itu.” Alia bercerita dengan suaranya yang lunak.
“Ingat sayang. Bersyukur.. bersyukurlah kepada Allah.”
“Si miskin itu mengadu pada Musa A.S, bagaimana dia mahu bersyukur sedangkan dia sering kelaparan. Si miskin itu pulang dan hidup dalam kemiskinan. Datang pula si kaya meminta Musa A.S memohon supaya Allah jatuhkan dia dalam kemiskinan kerana sering terganggu dengan harta kekayaannya. Abang ingat tak, apa yang Musa A.S katakan kepada si kaya itu.” Alia merebahkan kepala di ribaan suaminya.
“Ingat sayang. Jangan bersyukur. Dan orang kaya tersebut mengatakan, bagaimana dia tidak harus bersyukur sedangkan Allah yang melimpahkan harta kekayaan kepadanya.” Rafi memandang isterinya dengan wajah yang manis.
“Jadi, abang tahu apa maknanya yang menimpa kita hari ini?”
“Bersyukur sayang. Abang bersyukur kerana dikurniakan isteri solehah seperti Lia. Abang Redha. Rezeki milik Allah.”
        Rafi masih lagi ramah dengan Jenal Bakil Balul dan Melah Kella Bibal. Mellah Kellah Bibal yang menyambut duit yang Rafi bayar beberapa hari yang sudah. Jenal Bakil Balul juga ada di situ. Resit dah penuh, resit baru di rumah. Mellah Kella Bibal sendiri yang beritahu Rafi. Rafi juga tak berkira. Mellah Kella Bibal jugalah yang mengatakan Rafi belum menjelaskan sewa semalam. Rafi membayar dengan duit yang lain, diniatkan sebagai sedekah sahaja. Harga silaturrahim di antara Muslim dengan Muslim yang lain, tidak terbayar dengan nilai sebulan duit sewa bilik. Rafi meminta nasihat sahabatnya Ustaz Khair Adam tentang situasinya.
Dan Kami telah mengurniakannya dari pelbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa.”(S;Al-Qashah;76)
        Ringkas saja mesej pesanan ringkas yang dibalas oleh sahabatnya itu. Ya.. Rafi juga telah mengalaminya dulu. Duit tiga ratus ringgit yang diberikan kepada tuan kedai itu, hanya duit itulah yang dia ada. Hasil dari menjual cendawan semenjak beberapa hari lepas. Rafi mengusap lembut rambut Alia. Dia memandang di bucu dinding, lengang. Keperluan barangan dapur sudah habis.
“Abang, esok 1 rejab. Kita puasa sunat.” Alia dapat membaca gusar hati seorang suami.
        Rafi tersenyum tawar.
“Insya’Allah.”
“Abang, ceritakan pada Lia bagaimana Ali Bin Abi Talib melayari kehidupan rumah tangga dengan puteri kesayangan Rasul S.A.W?” 
“Cerita yang mana satu sayang. Lia sajalah ceritakan pada abang.”    Alia bangun dan Rafi merebahkan kepala di ribaan Alia. Alia  tahu, suaminya sudah terlalu penat.
“Suatu pagi, Ali Bin Abi Talib bangun tidur dan tiada apa untuk dimakan bersama isterinya. Dia teringat seorang Yahudi yang mempunyai kebun. Abang..”
“Ya sayang. Ceritalah. Abang dengar.” Lemah sekali suara Rafi.
“Ali Bin Abi Talib pergi ke rumah orang Yahudi tersebut dan orang Yahudi menawarkan kerja kepada Ali. Ali disuruh mengangkat air. Dari tiap-tiap takir, akan diberikan sebiji kurma. Diangkutnya air hingga bengkak dan letih badannya. Kurma diberikan mengikut jumlah takir. Abang..” Sekali lagi Alia memanggil Rafi dengan perlahan.
“Ceritalah. Abang mendengar sayang.”
“Kalau abang penat, abang rehatlah. Kita sambung lepas maghrib je nanti.” Alia tidak mahu menganggu suaminya.
“Tidak sayang, ceritalah. Abang mendengar ni.” Pinta Rafi
“Hmm.. dalam perjalanan pulang, Ali bertemu dengan Rasulullah, lalu diberikan separuh kepada Baginda. Selebihnya dimakan bersama Fatimah As-Zahra.” Rafi mengerti apa yang dikiaskan oleh Alia.
“Terima kasih sayang kerana memahami keadaan abang. Maafkan abang kerana tidak mampu memberi lebih dari ini.” Rafi bangun dan mengucup lembut dahi Alia. Sejuknya seperti ais.
“Tidak abang. Alia yang patut minta maaf pada abang. Halalkan makan minum Alia.” Alia memegang lembut tangan suaminya dan mengucup lama-lama.” Rafi menyaksikannya, ya.. bahu Alia tersentak 3 kali. Badannya rebah ke lantai.
******
        Ustaz Khair Adam masih menggengam erat tangan sahabatnya. Rafi membungkamkan kepala tunduk ke lantai.
“Fi, “sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya, S;Ali Imran:145.”
        Rafi menelan butir-butir derita dengan hati dan jiwa yang Redha. Anak matanya yang menyilau cahaya dari manik-manik jernih memandang polos wajah Ustaz Khair Adam.
“Aku Redha Mat. Aku Redha.” Seperti terasa Alia masih memangku kepala di ribaannya.
“La Tahzan Fi. La Tahzan.”

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger