Selamat Datang Ke Laman Karya Saya

Sharifah Aisiah Syed Mahazar , sekarang bergelanda di Melaka dan sedang membina kerjaya sebagai penulis sepenuh masa.Mula bergiat dalam bidang penulisan seawal tahun 2006.Pada awalnya berjinak dalam genre puisi sahaja kemudian mencuba dalam genre cerpen di bawah bimbingan Zaharah Nawawi dan aktif sebagai peserta bengkel yang diadakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di sekitar Pantai Timur.

Kini bergerak sebagai penulis bebas dan masih bertatih dalam genre novel

Wednesday 28 December 2011

Ayuh diri!!!

Azam tahun baru atau diperhujung tahun, sama saja pada diri. Azam tak pandai menghitung nombor. Diri hanya merealisasikan cita sahaja selagi nyawa masih dikandung badan. Bukankah mati itu juga tidak kira tahun, awal atau masanya. Sesiapa saja tidak mahu meninggalkan dunia ini dengan berputih mata. Walhal, jalan untuk berjuang masih ada. Yang penting. mahu ada tidak meneruskan perjuangan itu. Sejauh mana kekuatan untuk mencapai cita. Usaha yang berterusan atau sekadar melepaskan batuk di tangga saja. Keazaman yang padu tidak dapat membuahkan apa-apa, jika tiada usaha yang jitu. Bercitalah dari kecil ke dewasa sekalipun, tanpa Doa, Usaha, Ikhtiar dan Taqwa, serta Tawakkal dan tanpa Izin Allah, semua itu hanyalah bait-bait aksara yang mengisi ruang waktu yang singkat saja. Seandainya mati, matinya bersama cita-cita yang tidak pernah tertunai. Tentunya diri tidak mahu begitu.
Ayuh diri!!! Sudah terlalu lama bermain dengan cita dan kata. Sudah sampai masanya untuk membuktikannya pula. Buktikan pada diri bahawa diri bukannya bermimpi. Bangun!!! Hari sudah lama siang. Manusia sedang berlumba dan berkejar-kejar. Mahukah diri terpingga-pingga di tengah keriuhan manusia lain menyorak gembira melihat cita mereka tercapai. Dan diri, dengan penuh takzimnya hanya mampu tersenyum pura dan mengucapkan tahniah. Takziah pada diri, hanya tinggal berangan saja.
Ayuh!!! Bangkitlah. Jika selama ini telah berlama-lama bermimpi. Ayuh!!! Hari sudah siang. Mentari melambai garang. Tanda harimu bakal beraral dan kau harus depaninya dengan hati yang cekal. Bukannya mengerut dahi dan menarik selimut. Menyambung cita dalam mimpi yang terrrrlalu panjang. Aduh!!! Tidak pernah puaskah kau bermimpi??? Sampai bila mahu menjadi penyulam mimpi. Sisa umur makin dimamah usia. Hidup tidak selamanya muda. Andai muda cepat mengalah, nescaya tuamu tidak kuat. Jadilah diri manusia yang lemah. Mahukah begitu. Berjuang hanya semata-mata mahu menjadi manusia yang kalah di penghujung senja. Menadah tangan melepaskan mentari pergi dengan penuh kecewa. Hanya mampu menarik nafas panjang, lalu berkata,'aku pasrah'. Ahh!!! Tidak, bukan ini yang diri mahukan.
Ah!!! Berjuanglah dulu, berlawanlah dengan nafsu. Selamat berjuang diri. :)

Thursday 22 December 2011

BENGKEL KRITIS TIANG 2,MELAKA

Wednesday 23 November 2011

Surat Cinta Untuk Jiwa

Surat ini kutujukan untuk diriku
sendiri serta sahabat-sahabat
tercintaku yang insyaAllah tetap
mencintai Allah dan RasulNya di atas
segalanya, kerana hanya
cinta itu yang dapat mengalahkan
segalanya, cinta hakiki yang membuat
manusia melihat segalanya dari sudut
pandangan yang berbeza, lebih bermakna
dan indah.



Surat ini kutujukan untuk hatiku dan
hati sahabat-sahabat tercintaku yang
kerap kali terisi oleh cinta selain
dariNya, yang mudah sekali terlena
oleh indahnya dunia, yang terkadang
melakukan segalanya bukan keranaNya,
lalu di ruang hatinya
yang kelam merasa senang jika dilihat
dan dipuji orang, entah di mana
keikhlasannya. Maka saat merasakan
kekecewaan dan kelelahan kerana
perkara yang dilakukan tidak
sepenuhnya berlandaskan keikhlasan,
padahal Allah tidak pernah menanyakan
hasil. Dia akan melihat kesungguhan
dalam berproses.

Surat ini kutujukan pula untuk jiwaku
serta jiwa sahabat-sahabat tercintaku
yang mulai lelah menapaki jalanNya
ketika seringkali mengeluh, merasa
dibebani bahkan terpaksa untuk
menjalankan tugas yang sangat mulia.
Padahal tiada kesakitan, kelelahan
serta kepayahan yang dirasakan oleh
seorang hamba melainkan Allah akan
mengampuni dosa-dosanya.

Surat ini kutujukan untuk ruh-ku dan
ruh sahabat-sahabat tercintaku yang
mulai terkikis oleh dunia yang menipu,
serta membiarkan fitrahnya tertutup
oleh maksiat yang dinikmati, lalu di
manakah kejujuran diletakkan? Dan kini
terabailah sudah nurani yang bersih,
saat ibadah hanyalah sebagai rutin
belaka, saat jasmani dan fikiran
disibukkan oleh dunia, saat wajah
menampakkan kebahagiaan yang penuh
kepalsuan. Cuba lihat disana! Hatimu
menangis dan meranakah?

Surat ini kutujukan untuk diriku dan
diri sahabat-sahabat tercintaku yang
sombong, yang terkadang bangga pada
dirinya sendiri. Sungguh tiada satupun
yang membuat kita lebih di hadapanNya
selain ketakwaan. Padahal kita
menyedari bahawa tiap-tiap jiwa akan
merasakan mati, namun kita masih
bergulat terus dengan kefanaan.

Surat ini kutujukan untuk hatiku dan
hati sahabat-sahabat tercintaku yang
mulai mati, saat tiada getar ketika
asma Allah disebut, saat tiada sesal
ketika kebaikan berlalu begitu sahaja,
saat tiada rasa takut padaNya ketika
maksiat dilakukan, dan tiada merasa
berdosa ketika menzalimi diri sendiri
dan orang lain.

Akhirnya surat ini kutujukan untuk
jiwa yang masih memiliki cahaya
meskipun sedikit, jangan biarkan
cahaya itu padam. Maka terus kumpulkan
cahaya itu hingga ia dapat menerangi
wajah-wajah di sekeliling, memberikan
keindahan Islam yang sesungguhnya
hanya dengan kekuatan dariNya "
Ya..Allah yang maha membolak-balikkan
hati, tetapkan hati ini pada agamaMU,
pada taat kepadaMu dan dakwah di
jalanMu "

Wallahualam bisshawab

Semoga dapat membangkitkan iman yang
sedang mati atau jalan di tempat,
berdiam diri tanpa ada sesuatu
amalanpun yang dapat dikerjakan.
Kembalikan semangat itu sahabat-
sahabat tercintaku.. ... Ada Allah dan
orang-orang beriman yang selalu
menemani di kala hati "lelah".

Di antara 2 pilihan yang tidak dapat dipilih



Apakah dikatakan pilihan, sedangkan hanya itu saja yang tinggal untuk kita membuat keputusan. Bagai kata pepatah lama, "ditelan mati mak, diluah ayah pula yang mati." Antara ibu dan ayah, kita tidak layak memilih. Keduanya kita sayang, keduanya penting dalam hidup kita. Terkadang kehidupan sering menguji. Kehidupan selalu sangat menduga. Hanya yang kuat dapat bertahan. Sedang yang lemah, terkapai-kapai kebingungan. Ayuh, inilah masanya untuk kita berjuang. Inilah waktunya untuk kita sembahyang. Ayuh, kita istiqorah. Andai pilihan yang itu, itulah yang ditakdirkan untuk kita. Seandainya juga, pilihan itu terlalu membebankan, ingat!!! jangan sekali-kali berkata, "ah, kalau tahu, aku pilih yang satu lagi.." Allah Maha Mengetahui. Redha, sabar dan ikhlaskan diri. Ada hikmah yang menanti. Dan tentu kita akan mengatakan, "nasib baik pilih yang ini." Besyukurkan dengan jalan hidup yang terpilih untuk kita. Inilah masanya untuk kita berjihad Fiisabilillah. Niatkan setipa tingkah laku hanya kerana Allah. Senyumlah kerana senyuman dapat meringan beban yang ditanggung. Pilihlah di antara dua pilihan, kerana kita tidak dapat berjalan pada dua jalan dalam satu masa. Jadilah manusia yang jujur. Bukannya memilih untuk berhipokrik atau berpsiko dengan memiliki dua personaliti. Kita hanya satu. Tidak ada yang menyamai atau yang menyerupai kita. Walau mungkin seiras, tapi tetap ada kelainan. Pilihlah dan teruskan. Semoga berjaya diri.

Monday 21 November 2011

Muhasabah diri - Anak kecil yang berdakwah

Tentunya seorang kecil lebih mulus senyumnya dan lebih tulus ketawanya. Mari kita hayati cerita ini. Sama-sama berkongsi sesuatu yang memanfaatkan diri.
Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah dakwah bertajuk “Jalan-jalan Syurga” dan beberapa karya Islamik yang lain.
Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya seraya berkata “Ayah! Saya dah bersedia”

Ayahnya terkejut dan berkata “Bersedia untuk apa?”.
“Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah”
“Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat”
“Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun”
Ayahnya menambah “Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini”
Dengan merintih anaknya merayu “Kalau begitu, benarkan saya pergi ayah?”
Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya.
“Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!”
“Terima kasih Ayah” Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.
Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya.
Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah “Jalan-jalan Syurga” ada pada tangannya. Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu, namun gagal.
Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali.
Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan.
Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan.
Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Dan akhirnya pintu rumah itu dibuka.
Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih.
“Nak, apa yang makcik boleh bantu?”
Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
“Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah”. Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

“Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu.” kata makcik itu dalam nada yang penuh lembut.

Minggu berikutnya sebelum khutbah solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan sedikit tazkirah.
Sebelum selesai tazkirahnya dia bertanya “Ada sesiapa nak bertanya atau menyatakan sesuatu.”

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu.

“Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan
dalam dunia ini”. Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.
“Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher.
Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi”.
“Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu”
“Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat”.
“Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik” itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar”.
“Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka…..Aku tak perlukan itu lagi”.
“Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu, ALLAH Maha Esa.
Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka”

Semua para jemaah mengalirkan air mata. Mereka mengucap syukur pada Allah. Ramai juga yang bertakbir, ALLAHUAKBAR!
Imam lantas meluru menuju ke arah anaknya dan terus memeluk anaknya yang berada di bahagian saf hadapan dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.
Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.
Subhanallah. Terkedu diri tatkala membaca siri teladan ini.

Siapa lagi yang mencintaiku sedemikian, jika bukan DIA.

Cinta itu tidaklah terlalu aneh, tapi kadang-kadang begitu terasing dalam diri. Diri mencari dan masih mencari cinta, yang diri ketemui hanya satu. Hanya satu saja. Semenjak 4 tahun kebelakangan ni, nyata cinta yang itu saja. Cinta siapa, di mana diri peroleh cinta, usahlah dipersoalkan. Ada yang mengatakan cinta anugerah. Ada yang merasakan cinta harus dimiliki. Diri pula memikirkan, apakah ini anugerah atau hak milik. Bezanya pada kalimah. Yang ada pada diri, tetap sama. Anugerah, mahupun hak milik, cinta tetap cinta. Seandainya tidak memiliki, itu masih lagi cinta. Kiranya ia anugerah, anugerah cintalah namanya. Cinta hanya datang sekali. Andainya rasa yang ini pernah datang berkali-kali, banyaknya anugerah yang diri perolehi. Kerana diri tidak sekalipun memiliki yang mana-mana kecuali yang ini. anugerah yang diri miliki, adalah cinta dari Ilahi. Terima kasih Ilahi. Siapa lagi yang mencintaiku sedemikian, jika bukan DIA.

Wednesday 16 November 2011

Catatan pendek anak dagang

Sudah lama tidak mencatat. Banyak kata yang tersimpan, dan tidak perlu diluah. Ianya diperam dan dibiarkan saja. Biar lebih puitis, moga-moga ia akan menjadi sebuah puisi. Atau lebih panjang lagi, akan menjadi cerita pendek. Atau mungkin lama-lama akan terbuku menjadi novel. Ternyata aksara ada di sekeliling. Hanya kita yang membazirinya. Ia tercampak di mana-mana. Andai dikutip dan dikumpul, nescaya kita akan menjadi pencatat kehidupan yang paling panjang. Apatah lagi bagi seorang anak rantau. Suka duka ditelan sendiri. Segala-galanya mengajar erti kehidupan.

Monday 10 October 2011

Misterikah Pulau Besar

Selasa lepas, aku ke Pulau Besar. Dah pernah pergi sebelum ni, tapi tak pernah bergambar. Kali ni, memang pergi untuk bergambar je. Buat kenangan. Antara tempat yang aku pergi, makam2 panjang, makam tujuh beradik, tapi bekas tapak je turrr, pergi tempat yang dikatakan ada tapak kaki Sultan Ariffien, pernah jugak dengar cerita, konon-konon yang tu tapak kaki Hang Tuah. Cuma, sebaik gambar dimasukkan dalam lap top, tak dapat bukalah pulak. Gambar lain boleh jerrr. Misteri tuu.. Besoknya, lap top aku pulak rosak. Owh, parah jugak. Hantar kedailah jawabnya. Alahai, kebetulan kot. Masa kat Pulau Besar, ada seorang tuu nak bagi aku minyak pengasih. Katanya, tiap kali bulan penuh, minyak ni pun akan turut penuh. Dengan kata lain, tak pernah habis walaupun dah guna banyak kali. Tapi, dia guna untuk apa ya??? Dan lebih menarik lagi, minyak ni dihadiahkan oleh Puteri Bunian. Tapi, aku tak ambil pun. Hehe, dah cukuplah dengan Bang Tuahku sorang je. Tak boleh tamak kan!!! Terserempak pula dengan sorang budak lelaki ni. Drai Kedah katanya. Dia akan berziarah ke Pulau Besar sebulan sekali. Mesti datang. Sampai masa je, dia akan rasa terpanggil. Kalau tak datang, tak boleh duduk. Itu katanya. Terkilan jugak, bab aku tak dapat pergi kat perigi nenek kebayan. Dah jalan sampai dalam hutan tu, tapi tak berani nak teruskan. Bukan nak g pasang niat, cuma nak tengok tempat tu jerr. Kata orang lagi, kat dalam perigi tu kan, ada harta karun. Owh, sapalah insan bertuah yang pernah jumpa harta tu. Rasa macam nak pergi lagi, rasanyalah macam nak bermalam jerr. Tapi takder niat nak selongkar misteri Pulau Besar, sekadar nak merasai angin malam di pulau jerr. Rindu pulak kat Pulau Perhentian. Dapat g Pulau Besar pun oklah. Asal pulau jerr. Jom, ke Pulau Besar.

Monday 3 October 2011

Suara hamba

Jika hujan datang bersama air - itulah hujan
Mentari hadir bersama cahayanya
Rembulan bertandang dalam serinya
Cinta pula berupa dalam wajah yang bagaimana???
Tertanya-tanya juga aku.
Lalu aku jadikan tulisan ini
Sebuah puisi
Bukan kerana mendambakan cinta hadir di dalamnya
Aku sekadar mahu menempatkan rasa
Cuma mahu menzahirkannya
Dengan satu wajah
Wajah yang tiada apa-apa
Cukuplah ianya menjadi bait-bait dari sebuah kata.

Sunday 2 October 2011

Cetepen(cerita terpendek)

Aku ni adalah kanak-kanak milo jerrr. Baru nak belajar menulis. Erkk.. belajar nak menghasilkan karya yang begini pulak. Sikit-sikit, insya'Allah.. akan sempurna nanti.
2/10/2011

“Abang, aku menantimu dari luar geriji besi. Percayalah, aku akan terus menantimu, bukan kerana anak yang bakal lahir ini, hanya kerana cinta. Ianya hanya kerana cinta.”
Bedilan kereta kebal rejim zionis bertalu-talu mengasak tubuh-tubuh kecil yang tidak berdosa. Siti Aisyah...
(bersambung)

Sunday 25 September 2011

Mesyukuri Syukur

Alhamdulillah..jika ditimpa musibah, masih Alhamdulillah. Tandanya kita kuat. Maknanya, kita mampu untuk berdepan dengan semua masalah, ertinya Allah masih menyayangi hambaNya.Alhamdulillah.

Thursday 22 September 2011

KISAH MUSTAFA KAMAL ARTARTUK (Bapa Pemodenan Turki)

Sudah hampir 82 tahun bumi tanduk emas, gersang dengan pemerintahan yang diredhai Allah, bukan salah khalifah yang terakhir sebagai perosak ,dan bukan pula salah sistem pemerintahan itu sendiri, tetapi rakyat Turki yang sedar menyalahkan “bapa pemodenan turki” iaitu jelmaan Firaun ke-2 selepas Raja Ramses 2 yang terkenal dengan kezalimannya memerintah rakyat Mesir pada zaman Nabi Musa A.S., bezanya… Ataturk adalah seorang firaun di zaman moden. Itulah pemimpin yang dianggap sebagai penyelamat Turki oleh puak-puak Orentalis dan pengkaji-pengkaji barat, sedangkan sebenarnya beliau bukanlah seorang penyelamat. Bahkan beliau adalah seorang bapa perosak agama di atas nama agama itu sendiri.


Mustafa Kemal Ataturk, anak kelahiran Salonika, Greece ini telah banyak mengenengahkan idealisma-idealisma yang merosakan pemikiran rakyat Islam Turki. Kelahirannya yang dikatakan masih kabur dan kurang jelas dari segi catatan masa, hari, bulan dan tahun menjadikan beliau sebagai salah seorang pemimpin yang popular (dengan kezalimannya), tetapi beliau sendiri yang mencatatkan tarikh kelahiranya pada 19 Mei iaitu hari di mana beliau mendarat di bandar Samsun berhampiran dengan Laut Hitam, di utara Anatolia, di mana tempat ini beliau mula melancarkan gerakan Pembebasan Turki.

Sejarah telah membuktikan rekod buruk Mustafa ini dari sejak kecil lagi. Ada yang berpendapat Mustafa ini adalah seorang anak luar nikah yang telah diprogramkan oleh Yahudi untuk meruntuhkan Islam dan berkemungkinan bapa beliau adalah seorang Yahudi Donme iaitu Ali Riza suami rasmi Zubeyde (Zubaidah). Ali Riza pula terkenal pula dengan sikapnya yang kuat minum arak dan terlibat di dalam angkatan tentera, selalu meninggalkan isterinya dan beliaulah yang bertanggungjawab menanamkan fahaman sekular kepada anaknya. Sejak Mustafa kecil lagi beliau ingin anaknya dididik dengan sistem barat dan mempersiapkan diri dengan ideologi-ideologi sekular.


Zubeyde pula bonda kepada Firaun moden, sangat membenci anaknya ini dan seumur hidupnya beliau tidak pernah menyusukan Mustafa, mungkin kerana anak itu tidak dapat dipastikan siapakah bapanya. Zubeyde hanya memberi Mustafa menikmati susu dari ibu susu yang berkulit hitam dan bukan dari badannya sendiri. Keburukan Mustafa semakin terserlah apabila beliau tidak berminat dengan didikan agama dan beliau sering menentang serta membenci guru-guru agamanya di sekolah dan sebaliknya pula beliau cukup berminat dengan cara pendidikan barat, maka tidak hairanlah sekiranya beliau pernah mendapat pendidikan khas dari gereja Kristian selepas kematian bapanya yang diserang penyakit istentinal tuberculosis.

Bukan itu sahaja Mustafa juga gemar mengunjungi kedai-kedai arak dan juga mengunjungi rumah- pelacuran sebagai tempat untuk beliau berhibur dengan perwatakanya yang agak menarik beliau gemar memikat perempuan umtuk memuaskan kehendak hatinya dan beliau juga seorang kaki judi. Beliau suka bermain judi dari malam hingga ke pagi dan tabiat paling buruk firaun moden ini, beliau dikatakan seorang biseksual dan gemar melakukan hubungan seks di luar tabie di kalangan pelajar sekolah. Sekiranya nafsu sedang menguasai dirinya dengan mudah sahaja beliau dapat memenuhinya dengan apa yang dicita iaitu dengan mengalihkan pandangan masyarakat bahawa beliau adalah bapa angkat kepada pelajar-pelajar tersebut. Sungguh aneh seorang pemimpin yang terlalu jijik sikapnya ini disanjung tinggi oleh masyarakat dunia dan mendapat pengiktirafan “Bapa Pembangunan Turki Moden”



“Walaupun kamu membayar kepada saya emas sepenuh dunia ini, hatta 150 juta pound sterling emas sekali pun, saya tidak akan dapat memberikan apa yang kamu pinta itu.Saya telah berbakti kepada agama Islam dan umat Muhammad selama 30 tahun. Selama itu saya tidak pernah mengotori lembaran-lembaran sejarah kaum muslimin, ibu bapaku dan nenek moyangku, serta sultan-sultan dan khalifah-khalifah Othmaniyah. Kerana itu, saya dengan pasti tidak dapat mengkabulkan permintaan kamu”



Kata-kata Sultan Abdul Hamid II ini menggambarkan beliau adalah pemimpin yang benar- benar mempertahankan kesucian bumi Islam daripada dijajah Yahudi. Walaupun beliau dianggap selemah-lemah pemimpin tetapi dengan keazaman dan kekuatan rohani serta cintakan Islam, bumi Palestin tetap dipertahankan. Walaupun Theodor Hetzl menawarkan seluruh harta kekayaan Rotschild kepadanya, namun tawaran tersebut telah ditolak oleh pemimpin agung ini. Akibat daripada mempertahankan bumi Palestin daripada diduduki Yahudi, Sultan Abdul Hamid II digulingkan daripada pemerintahannya pada tahun 1909 dan dipenjarakan di Salonika, Greece, di mana terdapatnya ribuan Yahudi Donme berkumpul.

Akhirnya pada tahun 1922, di zaman pemerintahan Sultan Mohammad IV sistem kesultanan dimansuhkan walaupun Sultan Abdul Majid masih lagi kekal di atas takhta sebagai boneka selepas pemansuhan sistem tersebut. ‘Republik Turki’ yang diimpikan oleh Ataturk telah dilaksanakan dengan rasminya pada tahun 1923 dan Ataturk telah menjadi ketua negara yang pertama pada 20 Oktober 1923. Dengan terlantiknya pemimpin sekular agung ini, maka dengan rasminya sistem khalifah tidak dibenarkan lagi beroperasi di Turki pada 3 Mac 1924. Dengan itu berakhirlah sebuah Daulah Islam yang agung, digantikan oleh sebuah Daulah Sekular di bawah kepimpinan “Mustafa Kemal Ataturk.” (nama Kamal diberikan oleh guru-gurunya semasa di sekolah, dan kalimah Ataturk yang bermaksud “Bapa Turki” pula diberikan sejurus selepas kejayaan beliau menghapuskan khilafah Othmaniyyah dengan sebuah pemerintahan sekular republik)

Setelah Ataturk berjaya mensekularkan bumi Othmaniyah, banyak pula ulamak yang masih teguh dengan amalan-amalan mereka dibunuh terutama ulamak –ulamak sufi dari pelbagai tareqat contohnya, halaqah-halaqah tareqat Naqsyabandiah, Qadiriyah dan Ghazaliah, mereka dianggap seperti kumpulan rahsia yang merancang untuk menjatuhkannya daripada tampuk pemerintahan. Ini dapat dilihat sepertimana kata-kata beliau di dalam sebuah buku yang bertajuk “Ataturk’s Republic of Culture yang boleh didapati di mana-mana kedutaan Turki yang mana beliau telah menyatakan bahawa republik Turki tidak akan didiami oleh sheikh-sheikh dan ahli-ahli tareqat yang bersangkut paut dengan alam kerohanian. Dengan kuasa yang ada, Ataturk telah membuat dasar pelaksanaan negara melalui ideologi Kemalismanya yang jauh menyimpang dari ajaran Islam.

Dasar pelaksanaan yang diutamakan di dalam negara Republik Turki adalah tidak mengambil Al-Quran dan Hadis sebagai perlembagaan negara. Sudah pasti dasar-dasar ini jauh menyimpang dari dasar Khilafah Othmaniyah dan juga bukti beliau menolak pegangan akidah umat Islam secara total. Salah satu daripada siri ucapannya di bandar Balikesir, beliau menegaskan bahawa agama terpisah dengan urusan harian bahkan mendakwa Nabi Muhammad SAW telah berbuat demikian. Satu lagi ucapan daripada siri ceramahnya, beliau menegaskan bahawa mana mungkin sebuah negara menjadi maju, jika orangnya tidak berpakaian secara moden, mendedahkan dengan katanya,

“saya pasti pakaian berpurdah ini adalah suatu yang menyeksa dan menyakitkan, biarkan mereka tunjukkan muka-muka mereka kepada dunia dan tidak ada apa yang perlu yang ditakutkan jika anda tidak berpurdah (menutup kepala)!”

Manakala golongan pemerintah, kuncu-kuncunya dari kalangan menteri dan wakil rakyat diajar menjadi perompak-perompak terhormat dengan mengaut kekayaan rakyat untuk menjadikan mereka sebagai golongan yang berharta. Dasar ini terus dilaksanakan sehingga ke hari ini hinggakan peminta sedekah, fakir miskin, anak yatim, orang-orang tua dan janda-janda disisihkan di setiap persimpangan jalan. Sebagai menandakan Turki adalah sebuah negara maju, terdapat banyak binaan tugu-tugu dan patung-patung di dalam negara di mana binaan-binaan ini dimegah-megahkan dan disanjung tinggi terutamanya patung ukiran dirinya sendiri sehingga beliau sanggup menjemput arkitek-arkitek dari luar negara untuk mengaburi mata rakyat bahawa beliau ini memajukan Turki. Dengan dasar dan idea ini jelas sekali Ataturk ingin membuktikan bahawa beliau juga adalah seperti Firaun Ramses II yang memerintah Mesir dengan suka bermegah-megah bersama binaan Sphinx dan pir, sehingga Allah menenggelamkan Firaun itu bersama keangkuhannya di dasar Laut Merah. Bukan itu sahaja, projek yang membazir juga diusahakan dengan menggunakan wang yang banyak seperti membesarkan tempat-tempat peleseran, sehinggakan apabila tiba waktu untuk beribadat, masjid lengang dan kosong. Kebanyakannya manusia lebih suka menjalankan aktiviti masing-masing di tempat tersebut bahkan azan yang dilaungkan oleh muazzin dianggap seperti tidak bernilai. Si Firaun moden ini telah mengubah kalimah azan dari bahasa Arab ke bahasa Turki. Begitu juga dengan Al-Quran dan amalan sembahyang Jumaat diterjemahkan di dalam bahasa Turki. Sebarang bentuk tulisan yang berbahasa Arab dan Parsi tidak dibenarkan sama sekali dilaksanakan di dalam pentadbiran sepertimana yang telah diterangkan di dalam buku “Ataturk’s Republic of Culture”. Beliau telah menarik keluar asas penerapan Islam dari setiap institusi Turki dan secara peribadi beliau mengarahkan Al-Quran diterjemahkan ke dalam bahasa Turki. (He rooted out islam’s pervasive impact on the institutions of Turkey, but he personally ordered that the Koran should be translated into Turkish). Walaupun pelbagai pihak tidak bersetuju dengan pelaksanaan ini, namun ia tetap dilaksanakan.


Satu lagi dasar yang merosakkan akidah dan pemikiran rakyat Turki, Ataturk membenarkan muzik-muzik haram, program tari menari, pergaulan bebas, panggung wayang lucah, upacara mengangkat sembah, pendedahan aurat, arak, judi, zina dan sebagainya. Mustafa Kemal Ataturk pernah membuat hukum sendiri dengan mengubah hukum aurat wanita di dalam masalah purdah. Dengan fatwa songsang ini, ia telah mengarahkan rakyat Turki menjadikan wanita sebagai sumber kemaksiatan. Begitulah sikap pemimpin yang cuba membaratkan umat Islam dan buminya sepertimana yang terdapat di dalam buku “Ataturk’s Republic of Culture”, “…The movement of the through the centuries always maintained a straight course. We have always marched the East to West.”

Jelas sekali Ataturk bukan sahaja menolak dasar Islam, bahkan beliau ingin Islam itu dilucutkan terus dari jasad dan fikrah rakyatnya dengan mengisytiharkan bahawa saki baki nilai-nilai Islam dalam masyarakat Turki mesti dimansuhkan demi kemajuan negara. Namun apa yang dikatakan kemajuan oleh Ataturk jelas sama sekali tidak menampakan tandanya. Contohnya bandar Istanbul kekal lebih maju daripada bandar Ankara yang hanya dipenuhi dengan pusat-pusat hiburan berbanding dengan Istanbul yang dipenuhi dengan binaan-binaan masjid yang hebat. Kini Ankara hanya mempunyai kemajuan gersang dan selama ini rakyat Turki tertipu oleh omongan-omongan kosong Ataturk. Golongan yang masih teguh pendiriannya terhadap Islam mengatakan bahawa Ankara adalah bandar kemungkaran. Seperti yang pernah dinyatakan oleh Profesor Necmettin Erbakan, “…Istanbul adalah ibu kota ummah, sedangkan Ankara hanyalah ibukota Republik!”

Lantaran daripada pelaksanaan ideologi-ideologinya, Turki kini menghadapi pelbagai masalah yang tidak berkesudahan. Daripada bumi yang dikenali ramai sebagai sebuah empayar, kini Turki hanya menjadi kebanggaan bagi mereka yang meminati ideologi bangkrap sekular Ataturk, terutamanya pihak barat. Manakala orang-orang Timur pula tidak menganggap Turki sebagai sebahagian daripada mereka selepas Ataturk membanggakan dirinya dengan menyebut, “… We have always marched the east to west.”

Melalui cogankata ini, Turki mengalami kemerosotan sosio ekonomi yang amat dahsyat. Sehingga ke hari ini, Yahudi Donme terus menguasai ekonomi Turki termasuk di dalam bidang pelacuran. Sehinggakan cukai pendapatan yang terbesar di Turki pernah diperolehi daripada hasil pelacuran. Namun daripada sumber kotor ini, Turki masih lagi tidak dapat mengukuhkan ekonominya dan terus memegang gelaran antara negara berinflasi tertinggi di dunia. Bayangkan pada 27 Ogos 1998, nilai pertukaran mata wang Turki sebanyak USD1 boleh dinisbahkan kepada TL (Turkish Lira) 270,000 dan selepas 4 bulan, jatuh merudum kepada TL350,000.

Kejatuhan ekonomi Turki yang diwarisi sejak zaman Ataturk, hingga kini tidak dapat dipulihkan. Tambahan pula dengan berlakunya gegaran gempa bumi tanda murka Yang Esa pada 17 Ogos 1999 lalu. Ia menyukarkan lagi rakyat Turki untuk memulihkan ekonomi mereka. Inilah hakikat kehidupan, jika manusia masih leka dengan kemungkaran. Pembalasan Allah tidak kiamat bahkan, dibalas oleh Allah di atas dunia milikNya ini.


Sepertimana yang diterangkan dalam hadis Qudsi, Rasulullah SAW bersabda : “.. Allah SWT telah berfirman: Aku adalah Allah. Tiada Tuhan selain Aku. Akulah Tuan dan Raja segala Raja. Aku memegang hati-hati raja di dalam tanganKu. Bila orang ramai (rakyat) mentaatiKu, Aku akan menukar hati raja-raja menjadi kasihan belas serta sayang ke atas mereka. Bila orang ramai (rakyat) mengingkariKu, Aku akan mengarahkan hati raja-raja ke arah kemarahan dan dendam ke atas mereka. Dengan demikian raja-raja akan meletakkan mereka dalam kesusahan dan penderitaan. Maka daripada kamu mengutuk mereka (pemimpin yang zalim), adalah lebih baik kembali mengingatiKu dan merayu kepadaKu supaya Aku melindungimu daripada kekejaman mereka.”



Berdasarkan keterangan di atas, benarlah bahawa Ataturk yang dikatakan Bapa Pemodenan Turki itu bukanlah seorang wira anak bangsa, bahkan beliau lebih zalim daripada segelintir sultan-sultan terakhir Othmaniyah. Akhirnya pada 10 November 1938, Ataturk telah dicabut nyawanya dengan azab yang amat dahsyat sekali. Cara kematian yang Allah datangkan pada Ataturk ini, sama seperti yang Allah lakukan kepada pemimpin-pemimpin zalim terdahulu, seperti Firaun dan Namrud. Allah hanya menggunakan air laut untuk menenggelamkan Firaun dan seekor nyamuk untuk membunuh Namrud.


IDEOLOGI KAMAL ATARTUK DI TURKI


Membolehkan perempuan memakai tudung dengan syarat pakai skirt.
Membolehkan lelaki memakai seluar panjang dengan syarat pakai tie dan topi (sesuai dengan kehendak barat)
Menyuruh wanita dan lelaki menari di khalayak ramai. Beliau sendiri pernah menari dengan seorang wanita di sebuah parti umum yang pertama di Ankara.
Beliau pernah menegaskan bahawa "negara tidak akan maju kalau rakyatnya tidak cenderung kepada pakaian moden"
Menggalakkan minum arak secara terbuka.
Mengarahkan Al-Quran dicetak dalam bahasa Turki
Menukar azan ke dalam bahasa Turki.
Bahasa Turki sendiri diubah dengan membuang unsur-unsur Arab dan Parsi.
Mengambil arkitek-arkitek dari luar negara untuk memodenkan Turki.
Hakikatnya mereka diarah mengukir patung-patung dan tugu-tugunya diseluruh bandar Turki.
Satu ucapan beliau di bandar Belikesir di mana beliau dengan terang-terangannya mengatakan bahawa agama harus dipisahkan dengan urusan harian dan perlu dihapuskan untuk kemajuan.
Agama Islam juga di buang sebagai Agama Rasmi negara.
Menyerang Islam secara terbuka dan terang-terangan.
Menggubal undang-undang perkahwinan berdaftar berdasarkan undang-undang barat.
Menukar Masjid Ayasophia kepada muzium, ada sesetengah masjid dijadikan gereja.
Menutup masjid serta melarang dari bersembahyang berjemaah.
Menghapuskan Kementerian Wakaf dan membiarkan anak-anak yatim dan fakir miskin.
Membatalkan undang-undang waris, faraid secara islam
Menghapus penggunaan kalendar Islam dan menukarkan huruf Arab kepada huruf Latin.
Mengganggap dirinya tuhan sama seperti firaun.
Peristiwa apabila salah seorang askarnya ditanya "siapa tuhan dan di mana tuhan tinggal?" oleh kerana takut, askar tersebut menjawab 'Kamal Atartuk adalah tuhan" beliau tersenyum dan bangga dengan jawapan yang diberikan oleh askar itu.


KEMATIAN KAMAL ATARTUK YANG MENYEKSAKAN

Di saat kematiannya, Allah telah datangkan beberapa penyakit kepada beliau sehingga beliau rasa terseksa dan tak dapat menanggung seksaan dan azab yang Allah berikan di dunia.

Antaranya ialah:
Didatangkan penyakit kulit hingga ke kaki dimana beliau merasa gatal-gatal seluruh badan.
Sakit jantung
Penyakit darah tinggi
Panas sepanjang masa, tidak pernah merasa sejuk sehingga terpaksa diarahkan kepada bomba untuk menyiram rumahnya 24jam. Pembantu-pembantunya juga diarahkan untuk meletak ketulan-ketulan ais di dalam selimut untuk menyejukkan beliau. Maha suci Allah, buat macam mana pun rasa panas tak hilang-hilang. Oleh kerana tidak tahan dengan kepanasan yang ditanggung, beliau menjerit sehingga seluruh istana mendengar jeritan itu. Oleh kerana tidak tahan mendengar jeritan, mereka-mereka yang bertanggung jawab telah menghantar beliau ke tengah lautan dan diletakkan dalam bot dengan harapan beliau akan merasa sejuk. Allah itu Maha Besar, panasnya tak juga hilang! Pada 26 September 1938, beliau pengsan selama 48 jam disebabkan terlalu panas dan sedar selepas itu tetapi beliau hilang ingatan. Pada 9 November 1938, beliau pengsan sekali lagi selama 36 jam dan akhirnya meninggal dunia.

Sewaktu beliau meninggal, tidak seorang pun yang memandi, mengkafan dan menyembahyangkan mayat beliau. Mayat ini diawetkan selama 9 hari 9 malam, sehingga adik perempuan beliau datang meminta ulama-ulama Turki memandikan, mengkafankan dan menyembahyangkannya.

Tidak cukup dari itu, Allah tunjukkan lagi balasan azab ketika mayatnya di bawa ke tanah perkuburan. Bila mayatnya hendak ditanam, tanah tidak menerimanya (saya tak dapat nak bayangkan bagaimana tanah tidak menerimanya). Disebabkan putus asa, mayatnya diawetkan sekali lagi dan dimasukkan ke alam muzium yang diberi nama Etna Grafi (kalau tak silap dengar) Ankara selama 15 tahun (sehingga tahun 1953). Selepas 15 tahun mayatnya hendak ditanam semula, tapi Allah Maha Agung, bumi sekali lagi tak menerimanya. Habis ikhtiar, mayatnya dibawa pula ke satu bukit ditanam dalam satu binaan marmar beratnya 44 ton. Mayatnya ditanam di celah-celah batu marmar.

Apa yang menyedihkan, ulama-ulama sezaman dengan Kamal Atartuk telah mengatakan bahawa "Jangan kata bumi Turki, seluruh bumi Allah ini tidak menerima Kamal Atartuk!" Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahu

Wednesday 14 September 2011

Pelarian Somalia - Antara Derita, Tangisan dan Harapan

Terletak di kawasan ‘Tanduk Afrika’ dengan berjirankan Kenya, Ethiopia dan Djibouti, di zaman kegemilangan peradaban Islam dahulu Somalia adalah merupakan wilayah Islam yang menyumbang kepada ketamadunan khalifah Othmaniyyah.

Dengan jumlah penduduk melebihi 7 juta orang, keharmoniaan kehidupan Islam mula terpukul apabila jatuhnya khilafah dan berlakunya pecah perintah di tanahair Islam Somalia oleh penjajah British dan Itali. Indoktrinasi bukan sahaja melalui pendidikan sekular yang dilaksanakan oleh penjajah, tetapi juga menyuburkan 'favouratism' kepada puak atau kabilah tertentu. Hasil peninggalan penjajah, Somalia yang awalnya tergabung sebagai satu bangsa, satu agama dan satu tradisi, akhirnya berpecah serta berbangga dengan kabilah atau puak, dan dari situlah bermulanya episod perang saudara sesama kabilah.

Lebih tragis lagi apabila penjajah menyerahkan sebahagian besar wilayahnya kepada Kenya. Sehingga kini, tiada erti kedamaian sebenar di bumi Somalia yang dapat memberikan peluang setiap penduduknya nikmati. Seawal tahun 90an, penduduk Somalia telah mula berhijrah mencari kehidupan baru di negara-negara jiran, khususnya Kenya.

Di kawasan sahara secara geografinya, bagaikan menjanjikan rakyat Somalia akan emas hitam dan logam-logam berharga sebagai masa depan mereka. Walaubagaimanapun akibat kerakusan penjajah, bagaikan perampok di siang hari, telah membuatkan rakyat Somalia mengigit jari. Dan cetusan permusuhan sesama mereka tinggalan durjana penjajah, mengakibatkan suasana pelaburan yang tidak kondusif dan selamat bagi pedagang-pedagang baru merubah angin ekonominya. Akhirnya, untuk memberikan nafas kehidupan keluarga di tanah air sendiri, penduduk Somalia berusaha berbakti kepada kegersangan padang pasir dengan bertani dan menternak haiwan.

Kehidupan tidak menjanjikan kemanisan berpanjangan. Oh! Frasa tersebut mungkin hanya berlaku pada bukan penduduk Somalia. Dalam erti kata lain, tiada perkataan manis dalam kamus kehidupan mereka. Seumpama gurun sahara, dengan titisan hujan yang tidak menentu, kegersangan padang pasir menyukarkan pertanian serta ternakan untuk memberikan erti kebahagian kepada keluarga Somalia. Disulitkan lagi kehidupan mereka dengan aktiviti - aktiviti penjana ekonomi yang amat minimal akibat persengketaan dalaman yang tiada hujungnya.


Kem pelarian Somalia di Dadaab, Kenya


Sedikit usaha HALUAN - Talian Hayat Pelarian Somalia

Bencana kemarau kali ini entah kali yang ke berapa telah melanda bumi Islam Somalia ini. Dan setiap kali berlakunya bencana ini, mengakibatkan puluhan ribu rakyat Somali menghalakan kehidupan mereka ke Kenya atau suatu tempat yang diberi nama Dadaab, 100km dari tanah kelahiran mereka. Kali ini menjadikan satu lagi catatan sejarah, di mana bencana kemarau yang paling teruk mengakibatkan kebuluran bukan sahaja di Somalia, malahan juga di sebahagian besar Kenya, Etiophia dan Djibouti.

Sebelum ini, kita hanya mengintai jerih payah kehidupan mereka dari jauh. Sekali sekala kita terdengar teriakan derita mereka. Sayang seribu kali sayang penglihatan dan pendengaran kita umat Islam hanya melalui corong-corong media musuh durjana. Bagaikan pasrah dengan dogma kehidupan sedemikian, anak-anak Somalia terus membesar dengan seribu macam kepahitan. Bukan mereka minta dilahirkan sedemikian, ataupun ibubapa mereka tidak mahu menunaikan hajat kehidupan mereka. Suasana kehidupan di bumi tanah lahir mereka sudah demikian rupa, tiada mewah rupa, tiada mewah pakai malah untuk sesuap nasi dan seteguk air pun mereka memerlukan ihsan.

Namun demikian, kebergantungan mereka pada yang Maha Esa usah dipertikaikan. Suasana Islami dalam kehidupan harian mereka terus dipertahankan dan diperturunkan kepada generasi anak-anak. Dalam kejerihan hidup harian, rata-rata semua mereka berpegang pada sistem Illahi, kecuali beberapa kerat algojo tinggalan tarbiyyah penjajah yang komited untuk memporak-perandakan ummah Somalia. Samada di dalam wilayah Somalia yang masih bergolak dan kemarau dahsyat, ataupun di kem-kem pelarian, mualim-mualim terus konsisten membangunkan 'dugsi' - sistem pondok yang mendidik anak-anak Somalia dengan al-Quran dan Hadis hingga lahir para hufaz di kalangan generasi baru.


Menghafal al-Quran menggunakan kepingan kayu yang ditulis sendiri dengan ayat-ayat suci


Beginilah keadaan khemah tempat melahirkan anak

Berhijrah ke kem-kem pelarian bukanlah pilihan hati ummah Somalia. Majoriti yang ditanya akan memberikan jawaban yang serupa. Mereka ingin kembali ke bumi Somalia andainya esok menjanjikan kedamaian. Kem-kem yang menghunikan hampir sejuta pelarian, yang terletak 100km dari sempadan merupakan 'negara sementara' mereka. Dengan harapan untuk mendapatkan sesuap makanan dan seteguk air, mereka sanggup mengharungi lautan padang pasir, di bawah pancaran terik matahari dan kedinginan malam, berjalan ratusan kilometer menemui rakan mereka yang sudah berada di Dadaab. Dadaab, satu penempatan yang bukan menjanjikan seribu kebahagiaan kepada saudara-saudara Islam kita. Di sebalik bantuan 'shelter' dan makanan asasi dua kali sebulan oleh UNCHR dan seumpamanya, Dadaab adalah kawasan penempatan pelarian yang terpinggir dan dilayan bagaikan anak tiri oleh pihak berwajib. Dengan kemudahan infrastruktur kehidupan yang sangat minima, setiap penghuni yang berada di dalamnya dinafikan hak untuk bebas bergerak selain di dalam kem-kem mereka. Setiap kali jentera bantuan datang, mereka mengerumuninya, ibaratkan semut yang datang menghurung gula. Mereka, anak kecil, wanita mengedung bayi, anak muda baju lusuh merenung mata kami dengan seribu pengharapan, seolah-olah berkata-kata, 'kalaulah tidak berikan kami bantuan untuk seminggu, berilah kami sesuap nasi untuk hari ini!'.


Pembahagian barangan asas makanan di kem IFO 3


Menanti bantuan makanan di bawah terik matahari

Alhamdulilah, Allah SWT izinkan kami tersadai di tanah gersang Dadaab ini. Apalah nilai bantuan yang kami mampu bawa atau berikan, berbanding dengan derita kepayahan hidup anak-anak Somalia yang sudah kecapi puluhan tahun. Tiada nilai rasanya bandingan masa singkat keberadaan kami di sini dengan kepayahan seorang ibu muda yang sarat mengandung ditinggalkan suami dan akhirnya melahirkan bayi dalam khemah usang tanpa lampu neon! Oh jauh sekali, berbanding dengan penderitaan seorang ibu yang mengheret tiga orang anak kecil muka penuh debu, berdiri beratur sejak awal pagi menantikan bungkusan makanan untuk seminggu. Moga apa yang kami lalui ini benar-benar menyentuh dan melembutkan hati keras kami, agar kami dan saudara-saudara Islam sekalian memahami erti kehidupan Muslim mukmin sebenarnya. Tiadalah erti hidup ini, sementara kita senantiasa diulit kemewahan dan tersandar kekenyangan, manakala anak-anak Islam Somalia terus mati kebuluran dan merintih seharian tanpa airmata lagi untuk menyambung nyawa kehidupan esok hari

Wednesday 24 August 2011

IBLIS MENCERITAKAN FADILAT PUASA

Rasulullah s.a.w. ada menyoal Iblis tentang puasa di bulan Ramadhan,jawab Iblis, "Ya Rasulullah! Inilah satu bencana yg amat besar bagiku.Bila tibanya bulan ini akan bersinarlah cahaya di Arasy serta Kursi dan semua malaikat bersukaria.Bagi mereka yg berpuasa akan mendapat kurnia yg besar dari ALLAH.Dosa mereka akan diampuni dan digantikan dengan pahala kebajikan serta tidak akan ditulis kesalahan mereka selama berpuasa." "Yg lebih menyakitkan hatiku ialah semua isi langit dan bumi serta semua makhluk yg bernyawa sentiasa mendoakan mereka siang dan malam memohon keampunan.Bagi mereka yg berpuasa juga akan dimerdekakan oleh ALLAH setiap hari dari Ramadhan dengan seribu kemerdekaan dari azab neraka serta semua pintu neraka akan ditutup dan dibukakan semua pintu syurga.Pada hari bermulanya umatmu berpuasa,datanglah para malikat kepadaku dengan garangnya lalu menangkap aku bersama dengan bala tentera aku yg terdiri dari jin,syaitan dan ifrit." "Dipasangkan pada kaki dan tangan kami dengan rantai besi panas lalu dimasukkan kami ke dalam perut bumi yg paling bawah sekali.Disini kami mendapat berbagai azab siksaan dan terpaksa menunggu sehingga umatmu selesai mengerjakan puasa.Selepas itu barulah kami dibebaskan ini supaya umatmu merasa kesenangan dalam mengerjakan ibadat puasa." Begitulah cerita Iblis kepada Rasulullah,amatlah ruginya kita jika tidak mengambil kesempatan ini dikala semua bangsa jin dan syaitan telah dirantai oleh ALLAH S.W.T.Selamat Berpuasa

Tuesday 23 August 2011

Sayangi anak kita


Bayangkan anak-anak yang sedang meningkat ke awal remaja, di culik dan dipaksa menjadi peminta sedekah. Kasihannya. Selamatkan anak-anak kita.

Friday 12 August 2011

Hati mereka masih seperti kita

Tidak terungkap bila memikirkan tentang mereka. Relakah mereka menjadi begitu. Deritakah mereka diperlakukan sedemikian. Ya - PELACUR -. Kenapa wanita melacurkan diri? Terjebakkah atau itu jalan yang mereka pilih. Jika diikutkan sejarah pelacuran di Malaysia, kegiatan pelacuran di Malaysia dikatakan telah bermula seawal abad ke-18 lagi iaitu apabila berlakunya kemasukan imigran-imigran dari China dan India secara besar-besaran untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah dan juga di ladang-ladang getah iaitu sejak 1830-an lagi. Kehadiran imigran-imigran ini terutamanya buruh-buruh lelaki yang ramai telah mengakibatkan golongan wanita semakin berkurangan daripada lelaki.

Situasi ini telah menyebabkan berlakunya penyeludupan golongan wanita dari luar negara secara besar-besaran bagi memenuhi tuntutan permintaan yang tinggi terhadap golongan wanita terutama dari segi tuntutan nafsu iaitu melalui aktiviti pelacuran. Mengikut statistik Polis Kuala Lumpur melalui sumber Utusan Malaysia, mendapati bahawa kaum Melayu merupakan kaum yang paling ramai terlibat dalam aktiviti pelacuran iaitu sebanyak 60%, diikuti dengan kaum Cina sebanyak 30%, lain-lain kaum pula sebanyak 8% dan kaum India dengan peratusan yang paling rendah iaitu sebanyak 2%.

Ish, ish, ish, anak Melayu juga yang mendahului. Melayu yang dilahirkan dalam keluarga Islam pada awalnya. Jalan begini juga yang dipilih. Ada yang jahil sendiri, mendambakan kesenangan dengan menjual maruah diri kepada lelaki jalang. Bagaimana pula dengan yang dipaksa, terpaksa atau itu saja pilihan yang ada kini. Cuba lihat - berapa ramai anak-anak gadis yang diperdaya untuk bekerja di bandar, akhirnya tertipu. Mereka dinodai. Akibat terlalu beremosional, dikuasai satu perasaan bahawa diri sudah tidak suci lagi, hidup sudah tidak menjanjikan apa-apa lagi, akhirnya mereka memilih untuk jadi begitu walau hati terluka. Kasihan. Mereka mangsa. Selamatkan anak-anak Melayu. Islam panduannya. Insya'Allah, Allah tidak pernah menzalimi hambaNya.

Kegiatan aktiviti pelacuran terdapat di hampir semua bandar di negara ini. Ini boleh dikatakan bahawa hampir setiap bandar mempunyai aktiviti pelacuran. Contohnya di Alor Star, aktiviti pelacuran terdapat di Lorong Petani, di Bukit Mertajam dan Jalan Mengkuang di Pulau Pinang. Di ibu negara iaitu Kuala Lumpur, antara tempat aktiviti pelacuran yang terkenal ialah kawasan Lorong Haji Taib, Jalan Hickhs, Jalan Bukit Bintang, dan Jalan Thambitillay di Briekfields. Namun demikian, tidak seorang pun tahu bilangan pelacur yang terdapat di negara ini. Angka-angka yang diketahui adalah taksiran atau bilangan yang ditangkap dan angka-angka yang ada pun boleh dikatakan tidak selari.

Menurut laporan dari Pegawai Pencegah Maksiat, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Asisten Supritenden Choo Lily, sejak dari tahun 1996 sehingga Februari 2003, sebanyak 17, 448 wanita rakyat asing ditangkap. Hasil daripada tangkapan tersebut didapati bahawa rakyat asing dari negara Indonesia adalah paling ramai iaitu berjumlah 10,576 orang, diikuti dengan Thailand iaitu seramai 3,096 orang, Filipina pula seramai 1,794 orang, China seramai 1,149 orang, Uzbekistan seramai 388 orang, Kemboja seramai 107 orang, Rusia seramai 71 orang, Vietnam seramai 66 orang, Myanmar seramai 55 orang, India seramai 43 orang dan Taiwan seramai 21 orang. Manakala pelacur dari Ukraine pula seramai 17 orang yang telah ditangkap diikuti dengan Singapura seramai 12 orang, Kazakstan seramai 10 orang dan Columbia pula seramai 9 orang yang berjaya ditangkap.

Kalau dikaji dan diperhatikan, mengapa terlalu ramai warga asing terlibat dalam pelacuran di Malaysia? Terdapat banyak persoalan yang boleh dipersoalkan dalam mengkaji masalah ini yang melibatkan warga asing. Ada pendapat mengatakan bahawa rakyat Indonesia yang melacurkan diri di negara ini kebanyakkanya terpedaya dengan sindiket pelacuran yang menyamar sebagai ejen pekerjaan dan menjanjikan kepada mereka peluang pekerjaan yang baik seperti pembantu rumah, pembantu kedai dan pekerja kilang. Mengikut data yang dikeluarkan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada 8 November 2005, Malaysia telah menyaksikan kes pelacuran kanak-kanak dengan purata 150 sehingga 160 gadis tempatan ditahan setiap tahun kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran. Ini dianggarkan bahawa seramai 150 ribu orang terbabit dalam kegiatan pelacuran dan daripada jumlah ini kebanyakkan melibatkan wanita dewasa. Siapakah yang bersalah dalam hal ini? Lelaki atau wanita? Fikir-fikir dan renungkanlah.

Tuesday 9 August 2011

Usah tergesa

Semenjak dua, tiga pagi ni, sering terdengar guruh di langit. Sebelum keluar, awa-awal lagi dipersiapkan payung. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Hujan tidak turun-turun juga, teringat satu pepatah lagi, mendengar guruh di langit, air tempayan jangan dicurahkan. Fikir-fikir dan renung-renungkanlah.

Friday 5 August 2011

5 hari ramadhan

Pantasnya waktu. 5 hari sudah berlalu. Menunggu 25 hari lagi, jika dengan izinNya. Insya'Allah. Hari pulang ke desa, bertemu keluarga dan tidak lagi menjadi anak rantau. Hanya untuk beberapa hari saja. Itupun sudah terlalu cukup bermakna. Selamat Berbuka Puasa. Hanya beberapa minit saja lagi. Tahniah diri.

Sunday 31 July 2011

Selamat datang Ramadhan

Memulakan langkah pertama menuju ke bulanmu dengan bertarawikh di Masjid Selat Melaka.

Saturday 30 July 2011

Apa itu Bahagia

Aku tidak dapat mengandaikan kebahagiaan itu apa? Ia terlalu subjektif. Bergantung kepada individu itu sendiri untuk mentafsirkannya. Bahagia padaku, menerima seadanya dan sentiasa bersyukur dengan setiap keadaan. Orang lain bukan kita dan kita tidak boleh menjadi seperti orang lain. Jadilah seperti kita seadanya. Bak kata pepatah, ukur baju biarlah di badan sendiri. Kita toidak perlu memahamkan orang lain tentang keadaan kita. Kita yang wajib faham siapa kita. Jadi manusia sebagaimana yang kita mahu. Cipta kejayaan dan binalah cita-cita seperti yang kita tetapkan sebagai matlamat. Peduli kata orang. Lambat tidak mengapa, yang penting sampai. Bukankah kita perlu mengerti bahawa jalan hidup setiap orang tidak sama. Kesabaran itu perlu. Kekuatan itu perlu. Dugaan datang menerpa dalam pelbagai bentuk. Kata-kata yang mencabar kedirian, penghinaan, atau mungkin dipersenda, atau juga diketawakan. Di sini, apa yang penting - Keimanan kepada Maha Pencipta-. Apalah sangat dugaan yang kita terima berbanding dengan para rasul. Kekebalan perasaan. Maksudnya, tidak mudah menyerah kalah dan mengalirkan air mata. Tangisan hanya akan melemahkan saja. Kita tentu akan cepar terasa randah diri. Gusar juga, kalau-kalau yang dicitakan terbantut. Sehingga terpaksa menuruti kehendak sekeliling sedangkan ruang dan peluang masih ada. Yakinlah, Allah tidak pernah menzalimi hambaNya. Doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal. Ketepikan kata-kata yang membunuh semangat. Jadikan ia sebagai cabaran. Dan buktikan dengan hasil yang cemerlang. Bertegang lidah pun tak berguna. Jadi, selamat berjaya diri.

Sunday 24 July 2011

Berjuanglah

Jika kehidupan ini mendatar saja, tanpa halangan, tiada sebarang masalah, apalah maknanya kehidupan? Apalah ertinya perjuangkan kerana tiada apa yang mesti diperjuangkan. Berjuanglah untuk sesuatu yang harus kita perjuangkan. Berjuanglah bukan hanya untuk kemenangan, tetapi tandanya kita bukannya kalah. Berani untuk berjuang adalah satu kemanangan sejati, walaupun sesudah itu kita tidak menang. Peluang masih ada. Teruskanlah perjuangan. Itulah yang dinamakan kehidupan. Tanpa perjuangan apalah yang dapat dipertahankan. Kalah menang bukan soalnya. Apa yang penting bagaimana kita memperjuangkan sesuatu itu. Bersungguh atau hanya sekadar melepaskan batuk ditangga saja.
SELAMAT BERJUANG DIRI. Langkahmu terlalu sumbang. Wahai diri, perjuangan apakah ini? Kenapa kau memilih hidup begini?
WAHAI DIRI! Sesungguhnya aku yang memilih jalan begini dan aku akan terus berjuang untuk sampai kepada apa yang aku mahukan. Sabarlah diri, usah kau mempersoalkan aku, kerana aku hanya ada kamu. Tanpamu diri, apakah yang boleh aku perjuangkan lagi.
Perjuangan setiap orang tidak sama. Apa yang diperjuangkan juga tidak sama. Yang samanya, kita ini hamba. Kita ini begitu kerdil. Berjuanglah di atas landasan agama yang betul. Selamat berjuang wahai aku dan diri.

Saturday 23 July 2011

Gema puisi Di Kota Fesyen

Selesailah sudah majlis gema puisi yang berlansung hari ini, 3-6ptg. Meriah dan gempak. Turut diramaikan oleh pelajar-pelajar Politeknik Merlimau. Wakil media dari Berita Harian juga hadir. Abang Najmi RTM Melaka juga turut serta. Lain-lain.. tiada catatan panjang kerana kepenatan. Wassalam.

Thursday 21 July 2011

Aku dan martabak

Semalam, menikmati martabak di kedai mamak. Alahai, ingatkan roti telur yang dibawa. Nipisnya, mana ayamnya di dalam, mana bawangnya. Ummh, sambil bersembang panjang, martabak kecil habis juga. Sangkaku. barangkali martabak murah. Rupanya harga masih tetap RM5.50. Hmm, tak berbaloi. Semalam petang, menikmati nasi ayam dengan adik. Bila ke kaunter, kira-kira keluar RM19. Aik, hanya 2 pinggan nasi ayam harganya sampai begitu. Air teh ais saja. Aku minta resit. Barulah buat-buat kira lagi sekali. Alohaaa.. baru Rm13. Perlu ke menipu atau membohong untuk mengaut untung??? Boleh kaya ke dengan Rm6 yang ditipu tu. Kalau dah cukup kaya, kenapa perlu berniaga sampai ke tua? Pakai pekerja. Buat apa memuluhkan diri di dapur.
Kembali kepada martabak. Baiya buat martabak pakai tangan atau pakai apa? Sambil lewa saja. Kalau begini, pelanggan boleh lari. Dan aku takkan pergi lagi ke kedai mamak yang itu. Martabak pasar malam lagi sedap. Nilai duit taklah seberapa, tapi biarlah berbaloi dengan apa yang dibayar. Martabak oh martabak.

Saturday 16 July 2011

Tamu dalam rintik hujan

Tertanya-tanya juga pada hati
Siapa atau apa yang bertandang
Menjadi tamu dalam rintik hujan
Hingga meronta-ronta untuk tahu
Meronta-ronta dalam kalbu.

Benarkah yang datang itu
Benarkah?
Masih tertanya-tanya
Masih meronta-ronta
Dan masih menunggu jawapan.

Tamu dalam rintik hujan itu
Adalah rindu
Adalah sayu
Adalah pilu
Adalah aku.

Thursday 14 July 2011

Oghe kata"jumpa gu"

Bila kito doh jauh tempat oghe,tup,tup,tip..jumpa sesama negeri,rasa serupa jumpa"gu".Rasa segar sikit.Semangat gedebe tibo-tibo maghi.Walau kata di kelate tak bertegur sapa,bila jumpa di tempat oghe semangat kekelantena maghi dengan sendiri.iyo ko dok?Terpulanglah!!!

Tuesday 12 July 2011

Pentingnya mengambil sarapan

AMALAN orang tua-tua, untuk kekal sihat dan langsing, mesti jadikan sarapan sebagai amalan. Lebih awal waktu sarapan, lebih baik. Orang dulu bicara berdasarkan pengalaman dan berita baiknya, ia disokong kajian sains di seluruh dunia. Malah, pakar pemakanan juga sependapat; sarapan pagi adalah sumber pertama untuk memulakan hari kita, sebagaimana dituntut dalam Islam untuk bangun bersahur, walaupun ada yang boleh bertahan sehingga menjelang waktu berbuka.

Kajian terbaru menunjukkan, orang yang bersarapan secara tetap menikmati kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif, lebih langsing dan memiliki daya tumpuan lebih baik. Pemilihan sarapan, terutama yang kaya karbohidrat, membekalkan tenaga, mampu menahan rasa lapar dan mengawal keinginan untuk makan di antara waktu sarapan dan makan tengah hari.

Ada saintis menggelar sarapan sebagai makanan untuk otak. Kajian menunjukkan sarapan ada kaitan rapat dengan kecergasan mental. Secara ringkasnya, sarapan dikatakan memberikan kesan positif terhadap aktiviti otak - lebih cergas, peka dan fokus.

Ini secara tidak langsung mendatangkan pengaruh positif terhadap diri individu itu untuk melaksanakan tugasnya, sama ada di sekolah atau tempat kerja; walaupun hanya mengambil sarapan seringan sekeping roti dan secawan kopi.

Rangsang paras glukos

Karbohidrat yang diambil pada waktu pagi akan merangsang paras glukos dan mikro nutrien dalam otak. Contohnya, vitamin B yang diperkaya dalam roti dan bijirin sarapan dikenal pasti mampu memberikan kesan positif kepada fungsi otak.

Kesan lebih ketara di kalangan kanak-kanak dan remaja yang mengambil sarapan kaya karbohidrat kompleks ialah mereka boleh menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan menyelesaikan masalah dengan lebih baik. Justeru itu, tidak hairan jika pengusaha roti dan bijirin berlumba-lumba menghasilkan produk yang diperkaya dengan pelbagai khasiat dan vitamin.

Kajian dijalankan Food Facts Asia dengan kerjasama empat universiti di Asia ke atas remaja berusia antara 10 hingga 12 tahun yang mengamalkan sarapan rata-rata jauh lebih langsing dan kurang berdepan masalah berat badan berlebihan.

Bahkan, kajian di Amerika Syarikat ke atas 3,000 sukarelawan menunjukkan mereka dapat mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan unggul dengan hanya mengamalkan sarapan.

Walaupun ada banyak pilihan untuk sarapan seperti nasi lemak, mi atau mihun goreng, tetapi ramai lebih suka sarapan ringan dan ringkas. Ini termasuk roti, bijirin dimakan bersama susu serta jus buah yang tanpa disedari membekalkan banyak khasiat seperti Vitamin A, B (riboflavin dan folat) dan D, zat besi, kalsium serta zink.

Kala lewat malam

Percaturan Takdir memang begini, beginilah jadi, takkan jadi begitu. Jika terus dipersoalkan mengapa dan kenapa, macam-macam boleh berlaku. Terima, redha, ihklas, sabar, dan usaha. Berdoa dan ikhtiar. Bila malam, segala aktiviti siang berlalu. Rutin kala lewat malam berbeda ke atas setiap individu. Ada yang sedang lena terbuai mimpi, ada yang baru terjaga untuk menyambung tugasan yang harus diselesaikan, ada pula yang belum mampu untuk lelapkan mata. Masih berkeluh-kesah di atas katil. Memikirkan kerisauan hari esok. Ada juga yang memang menjadi kebiasaan tidur lewat malam. Kerutinan mata sudah dibiasakan begitu. Macam-macam ada. Tetapi, berhati-hati. Kala lewat malam, inilah waktu yang cukup sesuai untuk seseorang mengenakan sebarang sihir kepada kita. Berwaspadalah!
Oh ya, kenapa saya sering berkata tentang sihir atau ilmu hitam??? Sebabnya, ianya ada dan mesti juga percaya. Cuma, kita harus sentiasa bertawakkal kepada Allah dan tidak harus takut kepada orang yang mengamalkan ilmu hitam. Hanya Allah yang Maha Berkuasa. Tanpa izin Allah, semua itu tak mungkin terjadi. Pucuk pangkalnya, berpegang kepada Quran dan Sunnah.
1)Amalkan bacaan 4 Qul sebelum tidur
2)Baca Ayatul Kursi
Tak perlu banyak. Hanya itu saja. Sekurang-kurangnya. Atau.. jika rajin, bacalah apa-apa saja surah. Takkan memudaratkan. Dapat pahala lagi. Insya'Allah. Boleh jadi pendinding bagi menghalang ilmu jahat ni terkena ke atas diri kita. Ilmu, tak perlu banyak, yang penting, amalkan dan istiqomah. Selamat lewat malam.

Monday 11 July 2011

Penantian

Lama menanti, puas doh dok tunggu, mulut tak berenti, dok sebut namamu.. kataku pada hatiku, mengapa engkau, katakan padaku.. lama menunggu. Bait kjata yang dipetik dari salah satu lagu dikir barat. Tapi yang kunantikan ini, bukannya seseorang, tetapi menantikan cita dan hasrat menjadi realiti. Lamanya penantian ini, hinggakan aku pernah berdoa, janganlah diambil nyawaku selagi citaku tak tercapai. Aku mahu membuktikan kepada diri, keluarga, dia, dan semua, bahawa aku bukanlah sekadar berangan kosong. Ini adalah cita, cinta, hasrat, kemahuan, keinginan, keazaman, dan segala-galanya. Teringat kata seorang sifu, membaca tidak perlu banyak, yang penting bermanfaat. Aku habiskan di sini dulu, kerana mencatit tidak perlu panjang, yang penting isinya saja. Wassalam.

Thursday 7 July 2011

Andai kata ini catatanku yang terakhir

Terlalu banyak yang mahu kucatitkan di sini. Hinggakan tak terzahir lagi dengan tulisan mahupun kata-kata. Dalam masa sesingkat ini, tidak tahu bagaimana mesti disudahi satu persatu. Bekalan untuk ke sana belum mencukupi. Hanya 1 malam, aku tidak akan sempat untuk persiapkan semuanya sekali. Tentunya di saat akhir begini, aku mahu memohon kemaafakan terhadap insan-insan yang pernah kucalitkan kesilapan. Maaf ya kawan-kawan. Pada keluarga, kaum kerabat yang ramai, orang kampung, ahh, terlalu ramai. Moga-moga ini bukanlah catatanku yang terakhir.

Sekadar mencatit

Pagi-pagi, makan pizza. Boring-boring g wonderland. Main bola jaring, main bowling, main jelah game-game yang ada. Fikir-fikir, karaokelah pula. Dan.. balik membaca, membaca, membaca.. keluar g makan. Indahnya hidup.

Tuesday 5 July 2011

Ilmu Hitam

Mahu percaya atau tidak? Terserah kepada diri anda. Ilmu hitam, sihir, pukau, santau, dan macam-macam cara keji yang digunakan untuk mengenakan orang lain demi kepuasan hati. Kenapa memilih jalan Iblis Laknatullah? Gara-gara nak memenuhi syahwat jahat semata-mata. Akibat dendam, sakit hati, dengki, erghhh.. dahsyat. Orang yang tak berdosa dijadikan mangsa. Siapa salah? Jika betul orang yang ditujukan ilmu hitam itu bersalah, tidak wajib menghukum. Allah yang akan memberikan balasan, sedang kita hanyalah hamba yang turut tidak lepas dari dosa. Kenapa memilih jalan Iblis Laknatullah? Bertaubatlah! Kenapa mesti menjerumuskan diri ke arah jalan Khurafat? Bodoh, jahil, gila, setan atau apa? Maaf ya, pengalaman seorang kawan yang dikenakan ilmu hitam dan si pengena itu sendiri mengaku, dia akan pastikan si kawan hidup menderita. Dia tidak akan berhenti selagi tak dapat apa yang dia inginkan. Ergh.. memang dahsyat. Dan si pengena itu, lemah lembut, pendiam, berjurus, cerdik pandai, anehnya bertudung labuh lagi. Topeng apa ni? Iblis Laknatullah. Pabila nafsu menguasai diri, inilah jadinya. Dah tak kira dosa pahala, tak takut pada kemurkaan Allah. Seolah-olah lupa kifarat dari Allah. Tak kena cepat, lambat laun kena juga. Tak kena hari ni, esok ada lagi. Tak kena dekat diri sendiri, kena dekat orang lain yang kita sayang, walaupun setelah kita bertaubat. Dan pastinya jika tanpa taubat, dalam kubur wajib kena. Tidak ada yang terlepas dari azab Allah. Dah kebal sangat ke? Beristiqfar. Ingat Allah. Redha dan Ikhlas dengan dugaan Allah. Usah lekas melenting, menyalahkan orang itu, menuding pada orang ini. Muhasabah diri. Pilihlah jalan yang benar.

Monday 4 July 2011

Monoloq Diri

Diri : Benarkah katamu?
? : Ya, benar. Apa kau meraguinya. Bukankah berkali-kali kumeyakinkan.
Diri : Tidak semudah itu untuk aku percaya. Kau tahu!
? : (Mengeleng-ngeleng)
Diri : Tengok. Kau sendiri pun sudah mula tergugah.
? : Aku keliru dengan katamu. Tolong. Jelaskan padaku.
Diri : Aku mahukan ?????. Dengan tingkah, dengan kata, dan dengan rasa. Jika kau bisa berikan, aku terima. Seandainya tidak, aku berundur.
? : ("_") (Binggung)

Ahlan Wasahlan Sya'ban

Pastinya kau datang
Hanya yang tak pasti
Mungkinkah aku dipanggil pulang.
Jangan lupa
Sampaikan salamku kepada Ramadhanmu nanti
Pesankan kepada Ramadhan
Salamku juga buat Syawal.
Pastinya Sya'ban, Ramadhan dan Syawal
Bertandang lagi
Kemudian pergi
Dan datang lagi.
Sedang aku
Sekali pergi
Buat selamanya sepi.

Sunday 3 July 2011

Tun Teja

Harapan yang tertaruh
Terlalu tinggi
Nun di puncak gunung ledang
Sedang aku tiada daya mendakinya
Kerana aku hanyalah Tun Teja
Bukannya puteri yang pernah menolak lamaran Sultan Melaka.
Tetapi
Akulah Tun Teja yang terpaksa mengahwini sultan
Lantas terpedaya dengan helah Bang Tuah
Sampai hatimu Bang Tuah.
Murahkah cintamu
Hingga rela kau persembahkan kepada sultan
Hanya sebagai ganti setia
Sedang kau lupa
Apa makna sebuah janji
Kepada sang puteri?

Bicaraku kepada rembulan

Terima kasih malam
Tanpamu
Rembulan tidak mungkin kelihatan
Tanpamu
Pungguk tidak mungkin merindu
Tanpamu
Aku tidak mungkin berbicara.
Duhai rembulan
Renunglah aku
Di dalam menunganku
Senyumlah padaku
Di dalam senduku
Bisikkanlah padaku
Dengan hembusan bayumu.
Katakanlah wahai rembulan
Pada siapa lagi
Yang harus aku teruskan bicara
Jika bukan padamu.

Saturday 2 July 2011

Ayuh, kita mulakan langkah baru

Sekali tersalah langkah, tak bererti selama-lamanya kita menjadi pesalah. Selagi kehidupan belum berakhir, peluang untuk merubah sentiasa ada. Kita tentukan. Bertindaklah, dan bermulalah. Allah tidak pernah menzalimi hambaNya. Usah menjadi manusia yang menzalimi diri sendiri. Takdir adalah benar. Redha. "Dan Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka sendiri yang mengubahnya." Mulakan langkah yang baru. Ayuh. Bemulalah. Dengan hanya duduk dan meratap, tiada apa-apa yang akan kita perolehi. Hanya debu-debu kecewa saja akan singgah di wajah harapan. Pandangan pasti akan kabur. Kita akan terkapai-kapai sendiri. Siapa yang mesti kita harapkan, kalau bukan pada diri sendiri. Siapa akan menolong kita, jika bukan Ilahi. Berdoalah, kerana doa itulah senjata untukmu. Ayuh, mulakan langkahmu!!! Di depan apa saja kebarangkalian menunggu. Di belakang, kisah-kisah yang masih menghantui. Di sini, kita harus kuat untuk meneruskan perjuangan. Hari ini, saat ini, ayuh!!!

Apa itu cinta???

Jika kau masih mahukan cintaku yang dulu, jadilah seperti kau yang dulu. Yang mendambakan aku sebagai temanmu, kekasihmu, syurgamu, jiwamu, hidupmu, dan isterimu dunia akhirat, dan akulah bidadarimu kelak. Jika itulah yang kau mahukan, aku ini mendambakan setinggi hasrat, sejauh harap, jadilah sepertimu yang dulu. Andainya begini cinta, aku tidak mahu bercinta lagi. Bukan cinta ini yang kuperlu. Cinta, sepertiku. Yang mengimpikan kau sebagai bidadaraku di Syurga. Kaulah kekasihku sampai ke mati. Kaulah suamiku hingga ke Syurga abadi. Sekali kau melukakan aku, seluruh denyut nadi ini akan terhenti. Aku akan bernafas dan tetap bernafas, tapi.. tanpa hati dan cinta lagi.

Friday 1 July 2011

hargai masa

Jadilah manusia yang membaca, membaca, membaca, kemudian menulis @ bertindak.

Thursday 30 June 2011

Bekerja untuk hidup @ hidup untuk bekerja

Peluang mencari rezeki, ada di mana-mana. Asal rajin berusaha, dan tidak terlalu memilih. Juga perlu berani merasai pengalaman baru. Di Mahkota Parade, peluang mendapatkan kerja cukup besar, terutamanya bagi wanita. Kedai baju, aksesori, telefon, tudung, dan macam-macam lagi. Gaji yang ditawarkan, paling-paling rendah pun, permulaan dengan gaji RM700-RM800. Bergantung kepada majikan. Selalunya, permulaan rendah, komisyen untuk jualan sedikit tinggi. Permulaan gaji yang mahal pula, komisyennya rendah. Putar alam saja. Jika ada majikan yang baik hati, sekiranya jualan mencecah seribu sehari contohnya, ditambah pula RM5 sebagai elaun. Walaupun bukan kerja pejabat, tapi tetap ada simpana pekerja seandainya bekerja melebihi 3 bulan. Gaji dinaikkan bergantung pada disiplin pekerja. Ada pula elaun makan. Bagi wanita bujang, katakan sebulan seribu ringgit, Alhamdulillah. Bukan senag nak dapat kerja sekarang ni. Dalam econ pula tu. Kepada lulusan ijazah, apa salahnya, cari pengalaman sementara jawatan kerajaan dibekukan buat masa sekarang.
Tapi.. waktu bekerja 12 jam. 10pagi-10malam. Gaji dibayar bulan saja, sebaliknya dikira hari. Sejam=?ringgit. Darab 12 jam. Bekerja 30 hari. Sekiranya cuti, tiada gaji. Ada yang tiada cuti berbulan-bulan. Memilih untuk terus-terusan bekerja. Memanglah kurang penat, hmm.. terserahlah kepada individu. Masing-masing ada rasional.
Peluang kerja di tempat-tempat begini, senang dapat, tak terikat, mudah pula nak berenti. Sesetengah majikan yang baik hati, elaun pengangkutan dibayar. Cuma, bagi yang merantau cari pengalaman, bukan terdesak untuk dapatkan duit menyara keluarga semata, apa salahnya ambil cuti sebulan sekali. Tak perlu enjoy, sekadar jalan-jalan ke tempat-tempat yang menarik di Melaka. Rehatkan diri. Kasihan diri. Kasihan minda. Paling-paling tak tahu hendak ke mana, silalah ke perpustakaan Bukit Baru. Kita membaca. Membaca jambatan ilmu. Selamat membaca!

Wednesday 29 June 2011

Konvesyen Penulis di Shah Alam

26/6/2011 - bersama Pak Razali Endon dan Pak Syubki Latiff,menaiki satu kereta ke Konvesyen Penulis di Pusat Konvesyen Shah Alam. Pak Dinsman ada, Pak Kassim Ahmad ada, Wak Saring ada, Bonda Zurinah Hassan ada, dan yang ada rata-rata bapa-bapa dan ibu-ibu saja. Di mana ya, kawan-kawanku pergi pada hari Ahad 26/6/2011. Dihadiri oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim (MB Selangor), YAB Dr Hjh Halimah Ali (Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Pembangunan Insan), YAB Puan Hjh Rodziah Ismail (Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Innovasi, dan Kebudayaan), Puan Hjh Mastura Muhamad (Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor), Datuk A.Samad.Said dan Datuk Anwar Ridhwan (Sasterawan Negara), dan yang diraikan pada hari ilmuan, jeng, jeng, jeng.. Prof.Dr.Shaharir Mohamad Zain. Siapa beliau??? Penerima anugerah Tokoh Penulis Selangor. Orang Selangor ke??? Bukan! Beliau merupakan anak kelahiran Pasir Puteh. Oghe Kelate. Tahniah! Gomo Kelate Gomo.

Tuesday 21 June 2011

Alhamdulillah

Tidur sakan semalam. Masih dikurniakan umur panjang hari ini. Alhamdulillah. Andai semalam aku pejamkan mata, dan tidak bangun-bangun lagi, ahh, masih banyak tanggungjawab yang belum aku selesaikan. Terasa menyesalnya kerana mempersia-siakan masa. Berikan aku 5 minit saja cukuplah, hidupkan aku kembalai, kerana pertamanya, aku mahu mendengar suara orang-orang yang aku sayangi. 5 minit, cukupkah? Sedangkan terlalu ramai orang-orang yang aku sayang. Membilang dengan jari. Berikan aku hidup. Aku mahu menebus segalanya. Setiap hari aku mahu ungkapkan betapa aku menyayangi mereka. Aku mahu mengisi setiap saat masa yang berlalu dengan tugasan yang bermaanfaat untuk duniawi dan uhkrawi. Cukuplah catatan pendek ini, aku mahu mulakannya dari saat ini juga.

Tak Terbalas Jasamu

Sedari waktu yang menelan masa, cepatnya semua itu berlalu. Tahu-tahu kini, aku telah menjadi dewasa. Apalah yang dapat kuberi sebagai tanda terima kasihku kepada umi dan abah. Mmebesarkan, mendidik, dan menjadikan aku seorang manusia yang manusiawi. Betapa besar dan mulianya jasa mereka. Andainya tiada apa yang mampu kuberikan, aku pohon semoga diberikan mereka usia yang panjang, dan aku diberi kesempatan untuk menjaga mereka di hari tua nanti. Terasa dhaifnya diri ini. Walau sedhaif ini anakmu, kau masih tetap mengiringi dengan doa. Doa itulah yang menjadi azimat kepadaku. Pasti anakmu ini akan berjaya mengejar cita. Aku tidak berlari dalam mimpi. Aku berdiri di bumi yang nyata.
Terkenang zaman anak-anak yang terlalu indah. Mandi di sungai, bermain jong-jong inai, dan sesungguhnya aku adalah anak-anak yang banyak bermain. Kawan-kawanku hanya tiga orang. Ya, kami bertiga. Seorang sudah semakin hampir dengan citanya. Seorang lagi, hilang entah ke mana. Dan aku, menjadi seorang dewasa di bumi Melaka. Kutinggalkan tanah desa hanya kerana cita-cita. Kenapa aku yakin di sini aku mampu menrealitikan cita. Kerana ada dia. Dialah yang berdiri sebagai tonggak hidupku dikala aku lemah, letih, kecewa dan hampa. Dia tidak sesekali membiarkan aku rebah. Siapa dia? Biarlah rahsia.
Siapa yang tidak rindu pada damainya bayu desa. Siapa yang tidak rindu untuk memijak tanah kelahiran. Tentu sekali aku rindu. Rindu, tentunya aku rindu. Kerinduan ini menguatkan lagi rasa dan cita. Masanya pasti tiba juga nanti. Berkat doa umi dan abah, kuat usaha dan iktiarku, dengan izin Allah, segalanya bukan mustahil. Aamin.

Monday 20 June 2011

Dongeng Tunggul Unggul

Tersebutlah kisah di sebuah Kampung Senget Sebelah, di tengah sawah padi yang terbentang hijau, tertegaklah tiang sebatang, terdirilah sebuah rumah batu, beratab asbestos, ala sederhana besarnya. Terjonggol dari jauh, terngangalah sebuah lubang dari sebuah bilik. Itulah lubang untuk burung layang-layang keluar masuk.
Al-mahsyuklah, penghuni rumah tersebut seramai 7 orang. Ketua rumah tersebut bernama Pak Unggul. Bininya Mak Tunggul dan lima anaknya yang sedia patuh. Pak Unggul mempunyai semangat daya maju yang luar biasa. Kelima anaknya di hantar ke akademik tarian dan nyanyian yang letaknya kira-kira 20 kilometer jauhnya dari rumah Pak Unggul. Pak Unggul mahu kelima anaknya nanti akan menyambung warisan kebudayaan dan kesenian kerajaan Puting Beliung.
Berdiamlah Pak Unggul di dalam rumah itu bersama Mak Tunggul. Hari-hari yang diredahi, berdiam-diamlah sahaja kerana Pak Unggul dan Mak Tunggul tak serasi hidupnya. Pak unggul seorang yang menjaga penampilan dan mahu kelihatan sentiasa muda. Sedangkan Mak Tunggul hanyalah seorang yang kekampungan walaupun Mak Tunggul seorang yang berkerjaya. Mak Tunggul merupakan seorang cikgu. Jika sekali imbas, Pak Unggul dan Mak Tungguk hanyalah seperti adik dan kakak saja. Walhal, usia keduanya sebaya. Pak Unggul seorang yang pandai bergebang, manakala Mak Unggul pula seorang perempuan tua yang kaku. Berpatah ditanya, sepatah dijawab. Kebosanan sudah lama menjengah ke dalam diri Pak Unggul. Akan tapi, Pak Unggul pertahankan saja kehidupan bersama Mak Tunggul, kerana Mak Tunggul banyak berkorban harta benda di dalam jatuh bangunnya Pak Unggul dalam bidang perniagaan.
Berjalan-jalanlah Pak Unggul setiap hari. Bila balik, Mak Tunggul sudah tidur. Sewaktu Mak Tunggul bersiap-siap mahu ke sekolah, Pak Unggul masih membuta. Bila Mak Tunggul balik, Pak Unggul pula sudah keluar. Begitulah hari-hari Pak Unggul yang menjalani hidup selaku orang bujang saja. Maka, terjebaklah Pak Unggul yang sudah sekian lamanya bercita-cita mahu beristeri gadis yang dicintai di dalam kancah asmara. Jatuh asyiklah Pak Unggul pada Siti Bulan Selisih. Dipandang manis, ditenung manis, dipejam mata teringat, di dalam tidur termimpi-mimpi, di dalam sedar terbayang-bayang. Bertambah asyiklah Pak Unggul terhadap Siti Bulan Selisih. Setiap saat ingin bertemu. Siti Bulan Selisih juga demikian kisahnya.
Maka, berkahwinlah mereka tanpa diketahui Mak Tunggul. Tanpa sedikit syak wasangka, Mak Tunggul menunaikan rutinnya seperti biasa. Menyediakan makan minum, membasuh kain baju Pak Unggul dan sebagainya. Sedang Pak Unggul berbahagialah bersama orang baru yang jauh lebih muda dari Mak Tunggul dan pandai pula mengusik hati Pak Unggul. Bertambah sayanglah Pak Unggul kepada Siti Bulan Selisih. Makin dipandang, makin mabuk kepayang.
Akan perihalnya Mak Tunggul, menjengah tengah malam Pak Unggul pulang. Terkadang, tertunggu juga kepulangan suami. Apa daya, sudah tua baru terasa nak bermanja. Kekok dan canggunglah pula rasanya. Pak Unggul pula, tiada tanda-tanda mahu bermesra atau bergurau senda. Kerjanya bergaya dan keluar saja. Terloponglah Mak Tunggul seorang. Paginya pergi mengajar, bila balik tercongok seorang diri di ruang tamu. Sesekali ada juga menekan kekunci telefon dan mendail nombor Pak Unggul untuk bertanya mana dan di mana. Sepatah Pak Unggul jawab, talian dimatikan. Ruang untuk berbicara dengan lebih mesra sudah tandus. Hanya anak-anaklah harapan Mak Tunggul yang dapat membenihkan kemesraan antara mereka. Sebaliknya pada Pak Unggul. Pak Unggul tidak merasakan kekurangan tersebut. Baginya, hidup sudah lengkap. Punya anak dan isteri, ditambah pula seorang lagi isteri yang dicintai. Isteri tua, di situlah kalau dia tak meminta ke mana-mana. Isteri muda mesti dijaga. Belum dipegang kejap kukuh. Mana tahu, dilarikan teruna pula. Bertambah-tambah cemburu Pak Unggul terhadap Siti Bulan Selisih dan lebihlah perhatiannya. Siang malam pagi petang, hatinya hanya untuk Siti Bulan Selisih sahaja.
Tertunggullah Mak Tunggul tanpa tahu perihal yang sebenar. Seluas manalah bumi yang bernaung di bawah kerajaan puting beliung. Tahulah Mak Tunggul akan perkahwinan Pak Unggul. Bersiasatlah Mak Tunggul dalam ketunggulannya. Asal saja Pak Unggul ada di rumah, diperhatikan saja gerak gaya Pak Unggul yang tidak lekang dengan telefon di tangan. Jarinya tak henti menekan kekunci. Sekejap tersenyum, sekejap tersengih. Terasa dan tercuitlah hati dan perasaan Mak Unggul. Sepanjang 20 tahun bersama pun, Pak Unggul jarang seceria itu. Benarlah, hati Pak Unggul telah dirompak. Tatkala Pak Unggul ke bilik air, teraba-rabalah Mak Tunggul mencari telefon Pak Unggul. Disemak dan disimpan dalam kepala nombor telefon adik madunya itu. Sewaktu Pak Unggul keluar, digeledahnya fail-fail Pak Unggul yang tersusun kemas di atas rak dalam bilik. Sah, terjumpal sijil nikah. Mak Tunggul menangis tak berlagu. Berlarilah Mak Tunggul mendakap batas sawah. Hujan gerimis mula membasah bumi. Teringatlah Mak Tunggul akan lagu Allahyarham Sudirman. Suaranya mendayu-dayu menyanyikan lagu gerimis di lautan.
Gerimis di lautan
Kuubati lukaku sendiri
Namun parutnya terpandang jua
Apalah guna ke bendang padi seberang
Takkan menjadi
Apalah diharap sayang kasihnya orang,
Orang tak sudi
Oh biarlah..

Sunday 19 June 2011

Pusing-pusing hari sabtu

Tidak tahu mahu ke mana, jalan kaki saja ke Mahkota Parade. Tidak tahu nak buat apa, ke wonderland. Uji kelunakkan suara, mencuba skill bermain bola jaring, bermain tembak-tembak, dan beberapa permainan lagi. Dah habis ronda-ronda sekitar Mahkota Parade, ke Dataran Pahlawan. Ramainya manusia. Macam-macam fesyen dan ragam. Pelbagai keturunan dan bangsa. Melaka menjadi tumpuan dunia. Tiap-tiap hari didatangi pelancong. Terutamanya dari Singapura, dan China. Kalau Mat Salleh, datang berpasangan atau individu saja. Kayalah MBMB, hari-hari keluarkan resit saman. Pantang letak kereta tanpa kupon, terimalah surat cinta. Pemandu beca, fuh, memang buat duit. Bayangkan sejam, RM40, hari minggu naik sampai RM50. Menara Tamingsari pula, kalau dulu naik malam cuma RM10, sekarang, sebaik saja pukul 8 malam ke atas, dah kena RM15. Ish2, itupun 15minit saja. Jika berkemampuan lagi, silakan naik Ducktour pula. Dewasa RM38, kanak-kanak aku lupa. Tapi bawah 18tahun, RM27. Harga warga emas pula mungkin lain kot. Lupa. itupun harga 6 bulan yang lepas. Tahun 2010. Sekarang ni, mungkin dah dinaikkan sikit. Barangkali juga. Meriahnya Melaka.

Friday 17 June 2011

Sukarkah untuk menjadi seorang penulis



Teringat seloroh seorang rakan penulis, bila ditanya bilakah dia mula menulis. Jawabnya, sejak dari tadika lagi. Kata Pak Samad, seorang penulis adalah manusia yang luka, menulis adalah penawarnya. Kata seorang penyair dari Kelantan, untuk jadi penulis, harus bercinta, kemudian putus cinta, dan jadilah kita seorang yang terlalu puitis. Tertanya juga aku, bagaimana jika percintaan itu kekal. Tak jadi penulislah agaknya individu itu. Maksud penyair itu, samalah dengan apa yang Pak Samad kata, setelah menjadi manusia yang luka, menulis adalah penawarnya. Benar. Aku merasa lega sekali bila menulis. Tulis apa saja. Aku mendisiplinkan diri dengan menulis diari semenjak dari tingkatan 1 lagi. Aku rasa lapang sekali bila menulis di dalam diari. Walau hanya tidak terlalu peribadi, tetapi apa saja yang tak mahu diungkapkan, tulislah. Atau apa saja yang telah diungkapkan, tetapi masih terasa seperti tersekat-sekat, tulislah. Tulisan itu akan jadi begitu lancar sekali. Bila mahu menulisnya dalam bentuk yang puitis, aku belajar mengarang puisi. Namun, apabila merasakan terlalu panjang apa yang mahu aku zahirkan, aku belajar mengarang cerpen. Akhirnya aku berjaya menyiapkan sebuah novel.
Aku serasi di dalam bidang ini. Walaupun karya yang aku hasilkan tidak seberapa, yang penting aku telah menyumbangkan sesuatu pada sastera. Falsafahku senang saja, asal saja aku terus melangkah ke depan, aku akan sampai juga ke destinasi yang aku mahu tuju. Lambat atau cepat, tak menjadi soal. Bidang penulisan adalah bidang ilmu. Jika tidak menulis, aku membaca. Aku tidak rugi apa-apa.

Berhati-hati memilih kawan

Rindu pada kawan-kawan sekampus dulu. Kami berkawan dari minggu orientasi, sampailah habis belajar. Tidak terdetik perasaan dengki atau hasad. Saling membantu ketika susah. Bergelak ketawa, berbual mesra, bersenda gurau. Maggie sebungkus, boleh makan sorang sesuap. keakraban kami. Syang, masa berlalu pantas. 6 tahun berlalu. kami masih tetap berhubung melalui face book. Kemesraan antara kami masih seperti dulu. Rindu untuk bertemu. Masing-masing jauh, berkerjaya dan ada komitmen. Bilalah kami akan dapat berkumpul semula. Di sini, aku bertemu kawan baru. Tapi keakraban, kemesraan, gurau senda, tidak seakrab kawan-kawan yang dulu. Terasa seperti hidup ini tidak berkawan pula. Mujur ada kawan penulis. Minat dan rasa yang sama. Aku jadi serasi. Kita berbincang tentang buku. Tidak menyakitkan hati. Tiada yang dengki. Minda pun lapang.

Thursday 16 June 2011

Masa itu Emas






Masa itu emas, emas itu bukan masa, tapi berharga. Begitu berharganya masa. Membaca itu pula jambatan ilmu. Masa yang ada diisi dengan membaca. Senang kan. Bacalah apa saja, asal membaca. Sesekali membaca yang santai-santai, tukar pula kepada yang ilmiah, sastera, politik, agama. Pelbagaikan bacaan, ilmu berkembang. Teringat semasa berbengkel di Yan, Kedah, seorang pembimbing dari Indonesia berkongsi, bahawa setiap hari wajib membaca 3 buah buku. Politik, agama dan sastera. Membaca memnajdikan kita manusia yang berilmu. Semakin kita membaca, semakin terasa kita tak tahu. Iyalah, betapa banyaknya buku yang belum kita baca. Manfaatkan masa dari saat ini juga dengan membaca. Selamat membaca.

Andainya tiada tarikh, tiada hari..







Andainya tiada tarikh, tiada hari.. apa jadi ya. Pening. Tiada perancangan. Hanya ada gelap, ada siang, itu saja. Tiada apa-apa yang lain. Sehari terlupa tarikh, terlupa hari juga sudah cukup membuatkan kita kelam kabut. Terasa seperti ada kelainan saja. Terasa bahawa dhaifnya diri ini. Kerdilnya aku. Mudah lupa dan betapa diri ini serba kekurangan. Dari itu, aku belajar menginsafi diri. Alhamdulillah, ruang dan peluang menuju keinsafan masih terbuka. Terima Ksih Tuhan, kerana masih menyanyangi hambaMu.

Siapa Lebih Penting

Bila ibu panggil, bertangguh-tangguh. Kejaplah, nak sipakan itulah, inilah. Tapi bila telefon berdering, baiklah, datang sekarang. Gejala sebegini meruntuhkan rasa hormat kepada ibu bapa. Seolah-olah, kawan itulah yang harus diutamakan dulu. Sedarkah, siapa yang lebih penting. Ibu, mengandungkan selama 9 bulan 10 hari, mengusung perut yang bulat ke sana ke sini. Hendak berjalan pun susah. Perut ke depan, tangan mengusap-ngusap muka perut. Tanda sayang. Tiada rungutan berat atau sukar. Ketulusan kasih ibu, ketika mahu melahirkan. Bak kata pepatah, nyawa di hujung rambut. Kerana itu, Syurga di bawah telapak kaki ibu. Betapa tingginya darjat seorang ibu. Sewaktu menyusu, membesarkan, sehinggalah dewasa, ibu tidak pernah mengeluh. Menatang anak bagaikan minyak yang penuh. Tatkala dewasa, berkali-kali ibu memanggil, susahkah untuk sekali saja menyahut panggilan. Betapa degilnya kita. Ibu masih tak marah. Tidak juga merajuk. Makan pakai, tetap disiapkan. Hari-hari memasak. Dihidangkan menu yang menjadi kegemaran anaknya. Ada kita berterima kasih. Berterima kasih dengan membiarkan pinggan kotor berserakan, meja tidak berkemas. Begitukah terima kasih kepada ibu. Pejamkan mata seketika, tiba-tiba, ibu tiada. Ibu pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Bila bangun pagi, tiada lagi sarapan di atas meja. Kain baju tidak berbasuh. Rumah bersepah. Tiada suara lagi yang memanggil kita. Sunyinya. Rindu pada leteran ibu. Rindu sekali untyk mendengar ibu memanggil, dan teringin menyahutnya dengan pantas sekali. Masa tak mungkin berulang lagi. Penyesalan. Ibu, ibu, ibu.. maafkan anakmu.
Jadi, buka mata, buka hati, buka minda, ibu masih ada. Berbaktilah. Jadilah anak yang taat. Hilang seorang kawan, kawan yang lain akan mengisi. Hilang seorang ibu, tiada lagi ibu lain. Ibu angkat, ibu tiri, tidak sama. Mereka tak mengandungkan dan melahirkan. Hargailah ibu, umi, mama, mek, cik, mamie, mak, dan apa saja panggilan untuk seorang insan yang mengandung dan melahirkan kita.

Wednesday 15 June 2011

Pagi Di Sekitar Bandar Hilir

Tiap-tiap saat, aku ditemani bunyi bising. Yang lebih membingitkan telinga dan menyakitkan hati, bila motorsikal mat bertempik yang lalu. Adoi, benar-benar sumbing. Sering saja aku terfikir, mahu melastiknya dari jendela bilik. Barngkali, pemiliknya bangga kerana dapat menjadi salah seorang kepada penyumbang bunyi yang nyaring di tengah-tengah bandar. Lama-lama, aku menjadikan bunyi-bunyi tersebut seperti hiburan dikala sunyi. Tanpa deruan enjin bas, kebingitan enjin motosikal, ditambah pula dengan abang beca yang memainkan lagu sekuat-kuatnya, jadi tertanya-tanya pula bila sehari tidak mendengar bunyi itu. Sudah matikah mereka?
Walaupun setiap hari bising dan bising, aku tetap memilih untuk menyewa di sini. Ada untungnya. Bila terasa mahu ke Mahkota Prade, atau Dataran Pahlawan, aku hanya perlu berjalan kaki saja. Tidak terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas. Tak perlu menyewa hotel jika terasa mahu menikmati malam di sini. Bila terasa ingin melawat tempat sejarah, hanya beberapa puluh langkah saja, aku sudah boleh sampai ke A.Famosa. Mcam-macam ada.

Tuesday 14 June 2011

Konvensyen Penulis







26hb Jun 2011, bersamaan hari ahad, satu konvesyen penulis akan diadakan. Jom, kita pergi ramai-ramai. Jangan lupa bawa sebuah buku, nanti akan ada sesi "reading break". Berhenti membaca. Mesti best.

PHD

Apa yang aku mahu istilahkan dengan PHD. Tak lain tak bukan membawa kepada perasaan hasad dengki. Perlu ke dengki dan hasad kepada orang lain. Tidak perlu. Yang menentukan rezeki makhluk, adalah Allah swt. Doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal. Redha dan ikhlas. Bagaimanana hilangkan perasaan negatif ini. Pertingkatkan diri dengan taqwa. Jangan terpedaya dengan hasutan Iblis Laknatullah. Yakinkan diri, bahawa Allah tidak pernah menzalimi hambaNya. Sekiranya berlaku musibah, berdoa, berusaha mengatasi, beriktiar dengan cara halal, dan tawakkal. Perkuatkan diri dalam menempuh dugaan hidup ini. Jangan cepat melatah, mengata itu, menuding ini. Tenang. Jadi rasional dan positif. Katakan, sekiranya perjalanan hidup kita mendatar saja, ahhh, membosankan. Hanya satu warna saja, arrgggh, tentu menghambarkan. Yang mewarna-warnikan, inilah - cabaran-cabaran yang mendatang. Sekali berhalangan, usah sesekali berhenti. Tempuh dengan hati yang berani. Peduli orang kata, yang penting kita tidak menghalalkan cara untuk mendapatkan hasil. Pastikan kita berada di landasan agama yang betul. Bukan semua orang tumpang senang dengan kejayaan kita. Mungkin ada yang mahu tengok kita terus di bawah. Hah, inilah cabarannya. Kita tidak mampu merasionalkan manusia yang kurang waras ini. Tapi, kita mampu untuk mewaraskan akal fikir kita. Belajar menguasai emosi, bukannya dikuasai oleh emosi. Ketepikan manusia yang hasad dengki ini. Setiap perbuatan, ada balasannya. Insya'Allah.

Kebetulan berkebetulan

Sakit kepala datang. Seminggu masih tak kurang walaupun setelah mengambil ubat klinik. Kebetulan diperingatkan oleh seorang tua, berhati-hati ya nak. Ish, katanya ada orang nak khianat. Huh, ya ke ni? Gabra juga. Hmm.. apakata, minta tolong ustaz tengokkan. Dalam masa yang sama, pergi ke klinik lain, tukar ubat lain. Dalam masa yang sama juga, setelah telan ubat, sakit kepala kurang, dan dalam jangka waktu beberapa saat saja, ustaz tersebut mesej, katanya dia mengubat dari jauh. Menanyakan pula, apakah sakit berkurang. Aik, kebetulan yang berkebetulan betullah. Doktor tidak menanyakan apa-apa, hanya aku yang menyatakan apa-apa yang aku alami. Tetapi ustaz ni, menanyakan sesuatu. Sesuatu itu pula tidak pernah aku nyatakan kepadanya. Bila ditanya, aku mengiyakan. Memang ialah. Kebetulannya. Rezeki aku agaknya. Bila ada yang menganiaya, aku ini adalah orang yang teraniaya dan ingat ya wahai hamba Allah, doa orang yang teraniaya itu tersangatlah power. Hahaha, sukanya aku. Allah mendengar doa hambaNya yang teraniaya.
Allah juga Maha Mengetahui. Aku pula memang tak tahu apa-apa. Berdoa sajalah semoga dijauhkan dari balapetaka. Semoga dijauhkan dari fitnah dunia, semoga dijauhkan dari hasad dengki manusia lain, semoga dilindungi dari orang zalim, semoga dilindungi dari orang kafir. Aamin.

Monday 13 June 2011

Pahit dan Manis Kehidupan

Fitrah kehidupan ini, macam-macam ada. Bukan saja yang manis, tapi ada juga yang pahit. Jika yang manis, kita rasa, yang pahit, jangan pula kita ludah. Terimalah semuanya. Pasti ada hikmah untuk setiap apa yang berlaku. Terkadang, ada juga merasakan bahawa kehidupan ini tidak bermakna. Bermakna atau tidak, sebenarnya kita yang mewarnakannya. Hitunglah, betapa banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita. Wajarkah, dengan hanya sedikit musibah, kita tiba-tiba saja mahu mengalah. Hidup ini bukan untuk kalah. Berjuanglah. Telusurilah perjuangan para sahabat, sekiranya dibandingkan dengan diri kita, hanya layak di hujung kuku saja. belum sebesar mana dugaan yang kita terima. Hanya kita yang cepat mengalah, mengeluh, dan merintih. Sedangkan, di depan, jalannya tidak selalunya berliku. Sesekali tersadung, bangunlah. Kenapa harus terus duduk mengusap kaki yang cuma sakit yang tak seberapa. Teruskan melangkah. Usah mengharapkan pertolongan orang lain. Masa senang, kawan ada di mana-mana. Sewaktu susah, kawan boleh hilang sekelip mata. Yang harus terus berjuang adalah kita, diri kita.
Lumrah kehidupan ini, terkadang langsung tidak kita terfikir. Ianya datang, secara tiba-tiba. Kita menjadi kelam kabut. Akhirnya berputus asa. Inikah yang layak dipanggil perjuangan. Jadi rasional. Seperti kita turun di medan juang, musuh bukan hanya di depan. Di belakang, Di kiri, Di kanan kita, ia mungkin datang. Jangan hanya menyangka, kawan adalah kawan. Tidakkah kita biasa mendengar istilah musuh di dalam selimut, gunting di dalam lipatan. Itu antara pepatah yang sering diungkapkan. Jangan memandang kosong. Berhati-hatilah.
Pahit dan manis dalam kehidupan, menjadikan kita matang. Mengajar kita erti kehidupan yang sebenar. Kematangan itu tidak boleh ditentukan hanya dari usia. Kesusahanlah yang banyak mengajar kita erti kehidupan yang sebenar. Susah pula, bukan dari segi materialistik saja. Duit ada, hati pula yang susah. Hati senang, tapi masih tetap terasa kosong di jiwa. Memang susah. Jika terus menerus menghitung yang sukar, sukarlah jadinya. Baik, mari kita perhitungkan pula nikmat Allah. Tak terhitung.Jadi, senang cerita, jadilah manusia yang bersyukur. Alhamdulillah.

Sunday 12 June 2011

Khurafat

Bila sebut khurafat, ramai yang dah tahu bagaimana amalan yang menyebabkan khurafat. Katakan, seseorang yang tidak rapat dengan kita, tiba-tiba meminta nama penuh kita daripada orang lain, yang mana orang tersebut juga tidak tahu apa nama penuh kita, sebabnya senang saja, kita memang tidak rapat dengan mereka. Sebelum nama penuh kita diminta, berlakunya sedikit salah faham. Kebetulan, selepas kejadian itu, orang itu disengat binatang pada bahagian muka dan mulutnya menjadi berot. Kita tidak tahu apa-apa pun. Wajarkah kita yang dituduh membomohi beliau. Ish, ish, ish, fitnah tu. Kenapa nama penuh diperlukan??? Itu yang menjadi tanda tanya. Katakan nak hantar surat layang, mustahil, alamat pun tak tahu. Kenapa tak telefon terus, walhal pernah ambil nombor telefon. Jika hanya untuk nak telefon saja, tak perlu nama penuh, sekadar tahu nama yang menjadi panggilan saja. Ish, ish, ish.. entah apa agendanya. Hanya Allah saja Yang Maha Mengetahui.
Setiap perbuatan itu, pasti akan ada balasannya. Sesuatu itu juga tidak akan berlaku jika tanpa izin Allah. Sekiranya ianya diperkenankan, itulah ujian untuk kita. Redha dan ikhlaskan saja. Kita masih wajib berikhtiar. Semoga setiap perbuatan zalim itu, menjadikan kita ini orang yang teraniaya. Tahukah apa yang yang orang teraniaya patut lakukan??? Berdoa. Sesungguhnya doa orang yang teraniaya itu tidak terhijab. Berhati-hatilah dengan doa. Kerana ianya lebih mustajab dari amalan khurafat. Doa merupakan senjata orang Islam.
Kenapa melakukan amalan khurafat??? Sesat. Jahil dalam agama, dan terpedaya dengan bujukan Iblis Laknatullah. Binauuzubillah. Semoga dijauhkan. Siapa pula yang sering terjebak dengan amalan ini??? Sesiapa saja berisiko jika tidak kuat menepis godaan Iblis Laknatullah. Persiapkanlah diri untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan. Sentiasa mengamalkan bacaan 4 Qul dan Ayat Kursi. Terutamanya setiap kali sebelum tidur malam. Asal saja merasa diri tidak tenteram, perkuatkanlah amalan membaca Al-Quran.. Sesungguhnya Allah tidak pernah tidur. Setiap detik doa hambanya didengar. Allah itu Maha Mendengar. Berlama-lamalah ketika berdoa. Allah sebaik-baik tempat untuk kita mengadu. Allah sebaik-baik tempat untuk kita merintih. Kita ini adalah hamba yang begitu kerdil. Insafilah diri. Setiap musibah itu menguji sejauh mana keimanan yang ada dalam diri kita. Ingat! Redha dan Ikhlaskan diri.

Saturday 11 June 2011

Kota Bharu Comel Sokmo


Bez ke Kota Bharu. Berkunjung ke Kampung Kraftangan. Pak Ayub, sifuku, masih setia di galeri. Sedikit uzur akibat kencing manis. Aku bertanya, bila mahu pencen (berhenti melukis), jawabnya sampai ke hujung usia. Bakatnya dilahirkan. Dia melukis semenjak kecil lagi. Sehingga sekarang, usianya sudah menjangkau 65 tahun. Aku terimbau semasa aku belajar melakar potret dengannya. Sekalipun tidak pernah keluar perkataan bahawa lukisanku tak comel. Semua comel. Cuma katanya, esok datang lagi, belajar lagi, pasti lagi comel. Aku teringin untuk belajar lagi dengannya. Tapi masa, kesempatan, dan usia. Ah, aku malu. Aku tak dilahirkan sebagai pelukis. Aku hanya minat. Aku tekun waktu dulu. Setiap hari aku ke galeri. Dari tidak pandai apa-apa, aku berjaya melukis potret. Namun, setelah lama aku tinggalkan, jari jemariku kembali kaku. Aku tidak boleh melukis lagi. Aku mesti bermula dari awal jika mahu. Aku mesti tekun seperti dulu. Tak mengapalah, kerana aku kini hanya bercita-cita mahu menjadi penulis saja. Setiap kali ke Kota Bharu, aku tidak pernah tidak ke Kampung Kraftangan. Di situ, aku belajar melakar wajah dalam sepi, mencari siapa? Sayang, guruku yang dulu sudah uzur.
Bez juga ke Jeram Pasu. Sebelum tu singgah di Pdang Pak Amat. Aku juga pernah berguru dengan Tok Ayah, yang mana usianya juga 65 tahun. Dia merupakan seorang guru silat. Aku adik-beradik belajar silat dengannya di rumahku. Setiap malam dia datang hanya dengan membonceng motor sahaja. Jauh tu, dari Padang Pak Amat ke Pulai Chondong. Dia juga tekun macam Pak Ayub. Mempelajari ilmu persilatan dari kecil, sampailah sekarang. Dengan Tok Ayah tidak pula aku bertanya, bila mahu pencen. Hanya aku tertanya-tanya, siapa bakal penggantinya nanti. Anak muridnya berpuluh ribu. 40 tahun dia menjadi jurulatih silat. 19 tahun dia menjadi mahaguru silat. Dia memiliki kapakaran dalam membuat gendang. Siapakah nanti yang bakal mewarisi kepakarannya itu. Anak-anaknya semua perempuan. Hanya ada 2 orang saja cucu lelaki yang masih kecil. Selama mengajar silat, dia tidak mengenakan apa-apa bayaran. Jika mahu dibayar pun dia tidak pernah mengambilnya. Katanya, dia mengajar bukan kerana duit.
Dua individu yang unik dan berbeza.

Wednesday 8 June 2011

titihayun

Menyimpan memori ini lama-lama, menjadikan ia sebuah nostalgia yang agak indah. 3minggu berlalu, Titihayun mengingatkan aku tentang titinya yang berhayun. Udaranya yang sejuk, dan hutannya yang sunyi.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger