Selamat Datang Ke Laman Karya Saya

Sharifah Aisiah Syed Mahazar , sekarang bergelanda di Melaka dan sedang membina kerjaya sebagai penulis sepenuh masa.Mula bergiat dalam bidang penulisan seawal tahun 2006.Pada awalnya berjinak dalam genre puisi sahaja kemudian mencuba dalam genre cerpen di bawah bimbingan Zaharah Nawawi dan aktif sebagai peserta bengkel yang diadakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di sekitar Pantai Timur.

Kini bergerak sebagai penulis bebas dan masih bertatih dalam genre novel

Tuesday 30 October 2012

Aidiladha

Seperti Aidilfitri yang lepas, aidiladha juga mendatangkan seribu makna untuk diri. Kemeriahan menyambut Hari Raya Korban bersama sanak saudara masih terasa. Segar membunga bak kelopak mawar di pagi hari. Harumnya mekar dalam benak memori. Tahun mendatang semoga pertautan ukhwah antara kami kian erat. Kerinduan menyengat kalbu setiap detik. Saat-saat berkumpul bersama sanak saudara terdekat adalah saat yang cukup beerti. Walau hanya sesaat, itu lebih penting dari segalanya. Kita mampu membeli segalanya dengan duit, namun bukan kasih sayang. Segalanya perlukan duit, namun untuk kasih sayang hanya perlukan keikhlasan. Lahirnya dari hati dan berakar umbi sejak lahir.
Bila terbaca kisah seorang tua yang sudah 54tahun tidak dapat pulang beraya di kampung laman, alangkah bertuahnya diri. Setiap hari raya, malah hari-hari yang berkelapangan, selalu pulang ke kampung laman. Rindu ini hanya tertumpah ke sana. Baru 2hari meninggalkan desa tercinta, sudah menghitung hari untuk pulang lagi. Alangkah permainya tanah kelahiran. Menyimpan secangkir kenangan dalam gugus memori. Setiap saat berantai dalam sukma. Walau seindah manapun tanah rantau, ianya tetap bukan negeri kita. Hujan batu di negeri sendiri, hujan emas di negeri orang. Biarlah diri mengutip butiran emes untuk dibawa pulang ke negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga. Lagipun, berjauhan sering mengajar eti rindu yang dalam. Perpisahan itu juga perlu untuk menjadi lebih menghargai dan dihargai. Sejauh mama diri berkelana, satu saat nanti diri akan kembali ke tanah desa. Tunggulah aku di sana. Kita pasti akan bersama.

Monday 22 October 2012

Dakyah dalam filem tamil

Semalam, saya sempat menonton filem Tamil di tv 2. Kerana saya tidak bermula pada awalnya, saya kurang jelas cerita berkisarkan apa. Terdapat beberapa sedutan masa lampau dari salah seorang pelakon, yang saya kira dari rupa paras yang kurang hensem, dia bukanlah hero cerita (kerana hero selalunya hensem). Watak seorang lagi pelakon, bolahlah untuk jadi hero. Tapi perwatakannya tak lagak macam jantan. Makksudnya, bukan jenis hero serba boleh. Seorang yang cerewet, mabuk darah dan mudah menangis. Manakala yang kurang hensem pula perwatakannya sentiasa cool. Saya mengangak barangkali watak ini menyimpan kisah silam. Menonton filem tamil selalunya berbeza daripada menonton filem hindi. Filem hindi lebih mudah dibaca kronologi ceritanya bagaimana. Dalam sedar atau tidak, satu watak (kurang hensem) membawa kepercayaan tiada Tuhan. Tuhan itu adalah manusia. Contoh: bila si hensem menangis melihat seorang budak, mangsa kemalangan keretapi mati, walaupun setelah dia dermakan darahnya, dia menangis. Si kurang hensem menyatakan, "kaulah Tuhan." Bila ditanya mengapa, "kerana sifat Tuhan itu menangis." (Awas, jangan terpengaruh dengan dakyah sebegini). Si kurang hensem ada kisah silam yang mengesankan dirinya. Hanya seekor anjing yang menjadi teman kesunyiannya. Dianggap seperti anaknya sendiri. Dan dalam satu babak, dia menyatakan, "Dog", bila diterbalikkan menjadi "God". Menyamakan Tuhan itu seperti seekor anjing atau anjing itu sama seperti Tuhan. (Awas, berhati-hati dengan dakyah ini). Mesej yang disampaikan memang bagus. Sematkan nilai kasih sayang dan rasa percaya sesama insan. Namun, dakyah juga tidak kurang hebatnya. Remaja yang kurang didikan agama, akan mudah terpengaruh dengan ungkapan begini. Kononnya, cinta itu tidak perlukan Tuhan. Hanya perlu ada keyakinan diri semata dan kitalah Tuhan. Berhati-hatilah bila menonton. Wassalam.

Sunday 21 October 2012

Siapa kita

Seringkali diri bertanya siapa kita? Siapa mereka dan siapa dia? Siapa-siapa saja, namun diri sedar, diri adalah hambaNya yang kerdil.

Sunday 7 October 2012

Menulis untuk apa dan siapa

Kata Chairil Anwar" dengarlah apa yang dikata, jangan lihat siapa yang berkata." Jika menilai akar umbi, tiada seorang pun yang layak untuk menegur. Semua tak lepas dari melakukan dosa. Sebaiknya, jangan bersikap menghukum. Terima yang baik, nilaikan sendiri. Yang dirasakan kurang sesuai dengan kehendak diri, ketepikan dulu. Ketepikan - bukan buang terus. Kurang sesuai untuk masa kini, mungkin akan datang kita perlukan ia. Terkadang emosi cepat menghakimi. Bila hati berkata "tidak", dah tentu payah lagi untuk menerimanya. Seorang penulis juga tentulah bukannya seorang manusia yang terlalu sempurna untuk menulis sesuatu yang terbaik. Tulisannya mungkin baik, sikapnya belum tentu baik. Menulislah tentang apa saja dan untuk sesiapa yang mahu membacanya. Tulisan yang baik akan dibaca oleh orang yang baik. Jika bukan hari ini, apsti akan dibaca juga seandainya kita terus menerus menulis. Tahu hala tuju dalam bidang penulisan juga perlu. Tak tahu pun tak mengapa. Asal tahu kehendak diri dan jalan mana yang sedang kita lalui. :)

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger