Tuesday 5 April 2011

Epiloq Seorang Pencuci Pinggan

Cerpen
Epiloq Seorang Pencuci Pinggan
Oleh : Sharifah Aisiah Syed Mahazar

Aku bersiap, membibit sebuah buku dan akan kubawa ke A’Famosa. Aku duduk di bangku. Manusia lalu lalang. Daun-daun luruh sudah bersih. Seorang pak cik sedang memegang penyapu. Berbaju-t hijau dan berseluar oren. Mataku mencari seseorang yang sudah kukenali fizikalnya. Pak cik si penyapu sampah membuang daun-daun yang luruh tak jauh dari bangkuku. Aku mahu menyapanya, tapi dia sedang membelakangiku. Aku menunggu kalau-kalau dia berpaling ke arahku.
“Pak cik.” Itu sajalah sapaan yang paling mesra yang aku tahu.
        Pak cik si penyapu sampah tidak membalas, sekadar mengangguk saja. Senyuman yang biasa mak cik si penyapu sampah sedekahkan padaku, tidak pula pak cik si penyapu sampah berikan. Barangkali sedekahnya terlalu mahal bagi sebuah kehidupan yang sedang dia lalui sekarang. Dia mengangkat bakul yang sudah penuh, kakinya tersadung pada akar, lalu jatuh, tapi mujurlah tangan kanannya menahan pada tanah. Beberapa orang yang lalu hanya memandang saja. Aku menghulurkan sedikit simpati. Sampahnya yang bertaburan, kukutip dan kukaut dengan kedua tanganku, mengisinya semula ke dalam bakul sampah.
“Tak mengapa nak. Biarkan saja, biar pak cik yang buat. Nanti kotor tangan tu.”
“Masih boleh dicuci pak cik. Biarlah saya tolong.”
        Aku melakukan dengan tekun. Tak kuhiraukan pada mata yang memandang.
“Terima kasih nak.”
“Hmm.. sama-sama. Pak cik..,” aku memandang wajah pak cik si penyapu sampah. Timbul rasa ehsan melihatkan riak-riaknya yang tulus dan luhur.
“Pak cik dah minum ke, marilah saya belanja.”
“Dah. Terima kasih sajalah.”
“Pak cik, mana mak cik yang selalu menyapu di kawasan ni?”
“Dia cuti sakit. Pak cik kena gantikan dia membersihkan kawasan ni.”
“Pak cik tahu ke mak cik tinggal di mana?”
“Oh, dia menyewa di Kampung Jali.”
        Buku yang kubawa belum sempat dibuka. Aku berhajat benar mahu menziarah mak cik si penyapu sampah.

Satu
 Hari-hari aku tidak duduk di tepi jendela, aku duduk di bangku, depan A’Famosa. Sungguh tenang di situ, angin bertiup damai. Kotanya yang berdiri kukuh dan tangga Bukit St.Paul yang sentiasa dipanjat oleh ribuan manusia dari serata ceruk dunia. Pokok-pokok yang sudah tua meluruhkan daunnya setiap hari. Semuanya dipelihara dengan baik. Seorang mak cik, berbaju-t hijau dan berseluar oren, menyapu daun-daun yang luruh, menghimpunkannya pada satu longgokan. Sesudah itu, dikautnya dengan sepuluh jari, dimasukkannya pula ke dalam bakul sampah. Sesekali, dia berpaling dan sedekahkan senyuman kepadaku.
 Sesungguhnya itulah sedekah yang mudah. Aku membalasnya dengan senyuman yang paling manis. Ini sajalah untuk mengubati keletihan seorang perempuan tua sepertinya. Terkadang aku bertanya, kenapa mesti dia bertungkus lumus di sini. Dia sebaya nenekku. Bukan ibuku lagi. Nenekku di kampung sudah tak tahan melakukan kerja rumah. Sakitnya di lutut, naik pula di kepala. Akhirnya, ke masjid sajalah. Makan pakai, anak-anak yang siapkan. Mak cik penyapu sampah lewat di depanku. Aku menyapanya dengan sapaan yang paling ramah. Itu sajalah yang dapat membuatnya tidak rasa menjauh dari orang ramai yang datang menggoyangkan kaki saja di bangku-bangku yang disediakan.
“Mak cik.” Itu saja yang keluar dari mulutku.
“Ya nak, boleh mak cik numpang duduk kejap.” Bangku-bangku yang lain penuh dengan manusia sepertiku.
“Ya, makcik.. silakan.” Aku memandangnya dengan wajah yang manis.
Mak cik itu mengeluh dan menarik nafas panjang. Ditangannya sebotol air mineral. Dia membuka penutup botol dan mempelawaku minum. Sekali lagi aku memandangnya dengan wajah yang paling tulus.
“Minumlah mak cik. Saya baru lepas minum tadi.”
“Mak cik minum ya nak.”
        Dia meneruskan tegukkan dari bibir botol, terus ke mulutnya. Dia perlu meneruskan tugasnya sebagai penyapu sampah. Matahari kian meninggi. Panas akan mula mencengkam dan mak cik tadi akan bermandikan keringat jika tidak cepat-cepat menghabiskan kerjanya. Dia juga perlu pulang selekas mungkin, kerana di rumah anaknya yang lumpuh sedang menunggu untuk dimandikan. Mak cik si penyapu sampah perlu memasakkan sesuatu agar perut anaknya selesa. Cucunya yang masih kecil tidak diberinya susu. Dia membancuh air teh’o suam, agar cucunya lekas-lekas dewasa dan mengerti keruhnya kehidupan seperti warnanya air teh’o suam yang diminumnya. Atau sebenarnya mak cik si penyapu sampah mahu cucunya cepat-cepat mengerti bahawa dia tidak punya wang berbaki untuk memberinya lebih dari itu. Separuh darinya digunakan untuk belanja ubatan ibunya yang lumpuh.
 Kedut tua di tangan inilah yang menyaksikan kecekalan menghayun penyapu, mengangkut sampah dan dedaun. Terkadang terasa seperti diketawakan, tetapi biarlah. Hanya berbekalkan kudrat tua, tetapi dia tidak mengemis dari sesiapa.
******
“Ehem, ehem.” Aku kuatkan lagi deheman agar didengar oleh penghuni rumah.
“Ya cik.” Suara yang sudah lama mahu kudengar. Seorang lelaki berbaju hijau, berseluar hitam.
“Err.. saya nak jumpa mak cik. Hmm.. mak cik yang selalu menyapu daun-daun dekat A’Famosa.”
“Naiklah, itu mak saya.”
“Aku menghulurkan buah lai yang kubeli tadi.”
“Terima kasih.” Dia menerima dengan wajah yang sugul.
        Aku terpingga-pingga sebentar, mana mesti kuhempaskan punggung. Di tengah ruang tamu, seorang perempuan muda terbaring. Sebelahnya seorang anak kecil sedang memegang botol susu dan bermain-main dengan jarinya sendiri.

Dua
Setiap hari, dia mengayuh basikal tua, berbaju kemeja hijau, berseluar hitam. Hampir setiap hari, aku memerhatikannya dari jendela bilikku. Sesibuk mana pun, aku menghitung saat, sebaik saja pukul 6 petang, aku akan mencari-cari si pencuci pinggan. Jika aku tidak keluar atau ke mana-mana, aku akan duduk di sisi jendela. Baju dan seluarnya tidak pernah bertukar. Sudah 3 bulan kira-kira dia bekerja mencuci pinggan di restoren masakan cina. Aku tidak usul, apa agamanya. Sekali imbas, seperti melayu. Kata kawanku, india – barangkali bukan muslim.
Restoren ini berfungsi seawal 11 pagi dan tutup 3 petang. Dan akan dibuka semula pada pukul 6 petang dan tutup seawal 10 malam. Pada sesi pertama, tidak ada pula pinggan mangkuk bertimbun. Mungkin dibuka hanya untuk menyiapkan bahan-bahan masakan saja. Hanya selepas 6 petang, pinggan mangkuk berlonggok. Si pencuci pinggan datang setiap petang dengan wajah yang sugul, menyandarkan basikal pada dinding belakang bangunan Pacific & Orient Insurance Co. Berhad. Tanpa berlengah, dia mengocak buih-buih sabun dalam bekas, dan mula menggosok pinggan-pinggan kotor. Dilonggokkan pula ke dalam satu besen dan sesudah itu, dibilas dalam besen yang berisi air bersih, lalu disejatnya dalam bekas berlubang. Apabila penuh diisi ke dalam bekas, diangkutnya bekas tersebut masuk ke dalam ruangan dapur. Pemerhatianku berhenti setakat itu saja. Tak pula kutahu, apa yang dibuatnya di dalam.
 Dia keluar dengan wajah yang sugul, menyambung lagi cucian, dan begitulah seterusnya. Hanya jika ada sedikit ruang, dia berhenti dan mendudukkan diri di bangku, sebelah tempat mencuci. Orang di sudut dapur menghulurkan padanya pinggan yang berisi dan aku lihat, dia makan dengan lahapnya. Suapannya bertalu-talu, seperti orang yang mahu lekas saja. Memang, kuli sepertinya harus cepat-cepat. Pinggan-pinggan kotor diletakkan oleh pekerja yang mengangkutnya dari dalam restoren. Menjadikannya lombokan yang tinggi seperti awal dia datang tadi. Dia menghabiskan suapan terakhir, menongok air dengan rakus dan menyambung kerja. Dia begitu tekun sekali.
 Pada waktu-waktu kemuncak yang menghampiri pukul 10 malam, dia mula mencuci periuk kuali yang digunakan untuk memasak. Ternyata, dia bukan saja pencuci pinggan, malah pencuci periuk dan kuali. Kali ini, aku lihat dia memberus dengan bertenaga sedikit. Hanya dia seorang saja yang ditugaskan mencuci. Dengan wajahnya yang sugul, baju dan seluar yang tak berganti dan sebuah basikal tua, dia bertahan demi memperjuangkan hidup, kerana bila pulang nanti, ada mulut yang minta disuap, ada perut yang minta diisi dan ada jiwa yang minta dikasihi. Dia keluar dengan wajah yang sugul, tapi pulang dengan hati yang luhur. Dia membawa bungkusan dan lebihan makanan dari restoren. Memberinya kepada isteri untuk diberikan kepada anak-anak, dan lebihannya ditaburkan pada itik serati. Isterinya kekenyangan, anak-anaknya tidak lagi merengek lapar. Walau dengan pakaian yang tidak bertukar, tapi kudratnya tidak terjual.
******
“Duduklah. Saya panggilkan mak.”
        Dia berlalu dari situ, menjengah pula ke bilik ibunya. Ibunya sedang nyenyak tidur. Barangkali keletihan. Dia menghampiri ibunya dan meletakkan tangan ke dahi. Panas! Dia menyeluk saku, hanya beberapa keping wang kertas seringgit saja. Dia ke ruang tamu. Adiknya yang lumpuh bersama anak kecil. Teringat pula anak-anaknya di rumah yang seramai 5 orang bersama isterinya yang sakit buah pinggang dan melihat aku dengan wajah yang sugul.
“Masuklah. Mak tak larat bangun.”
        Aku kekok untuk masuk ke bilik.
“Masuklah.” Dia mempelawaku sekali lagi.
        Aku berpaling sepintas lalu ke arah perempuan muda yang terbaring. Dia cuma tersenyum padaku.
“Itu adik perempuan saya. Lumpuh.. dan bisu.” Dia menjelaskan dengan wajah yang sugul.
“Mak cik.”
        Matanya berat-berat dibuka. Mak cik si penyapu sampah merenungku sejenak.
“Oh, nak.” Suaranya keluar dari anak tekak yang paling dalam. Sayup-sayup saja kudengar. Bibir tuanya yang merekah tersenyum payah.
        Hanya sepatah saja dia menegurku. Sesudah itu, mak cik si penyapu sampah tidur semula. Aku  menjamah dahinya, panas! Aku tidak menyoal anaknya, kerana aku tahu, dia juga tak mampu untuk memberikan lebih dari apa yang ada. Aku tidak lama.
“Tak mengapalah. Biar mak cik rehat. Saya minta diri.” Aku menyelit sekeping not ke dalam kocek baju si pencuci pinggan.
“Terima kasih.” Wajahnya yang sugul tergaris kedut di dahi.
        Dia menghantarku ke anak tangga terakhir. Aku sempat berpaling dan kulihat, sekuntum senyum terselit dibibir.



0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger