Tuesday 5 April 2011

Akukah Bang Tuah?

Cerpen
Akukah Bang Tuah?
Sharifah Aisiah Syed Mahazar

Mengulang-ngulang lagi.
“Kalau roboh Kota Melaka, papan di jawa hamba dirikan, kalau sungguh bagai dikata, badan dan nyawa hamba serahkan.”
Sesekali, menghunus-hunuskan kerisnya pada dinding batu tinggalan portugis. Lagaknya persis seorang pahlawan. Berlari-lari menaiki anak tangga menuju Gereja St.Paul, berada di puncaknya dan berteriak. Orang-orang asing yang berada di sekitar, memandang ke arahnya dan berlalu begitu saja. Apalah yang mereka tahu.    
“Akulah Hang Jebat. Aku bukan penderhaka dan aku tidak mati di tangan sahabatku sendiri. Ini, Keris Tamingsari yang dihadiahkan oleh Sultan. Aku tidak merampasnya dari Hang Tuah. Tapi kenapa.. kenapa Hang Tuah kembali dan mengkhianatiku?” Tangannya terketar-ketar memegang keris. Nadanya berbaur kesalan. Dia mengeleng-gelengkan kepala.
              Dia menuruni anak tangga dengan berlari-lari anak. Mengahnya berkali-kali. Banyak mata yang sedang memerhatikannya. Dia biarkan saja. Sebaik sampai di pintu kota Porta de Santiago, kerisnya menikam lagi ke arah dinding batu itu.  
“Marah benar orang tua ni.” Tuah yang berniaga barangan kraftangan di situ cuma berkata sendiri.
“Siapa pak cik tu Tuah?” Kasturi yang membuka tapak bersebelahan Tuah mula ingin tahu, sambil matanya ralit menyaksikan tingkah orang tua itu.
“Entahlah. Dah bertahun aku kat sini, tak pernah pula tempat ini dikunjungi orang pelik. Agaknya laksamana zaman Kesultanan Melayu Melaka kot. Pakaiannya seperti yang digambarkan dalam sejarah.” Tuah mula mengangak. Nadanya berbaur sindiran.
            Orang tua yang mengaku dirinya Hang Jebat bersandar keletihan. Keris masih di tangan. Langkahnya penuh waspada. Matanya melilau ke kiri ke kanan, seperti sedang memerhatikan musuh. Tuah dan Kasturi cuba mendekatinya. Jebat lantas membuka mulut.
“Siapa tuan hamba berdua?”
Tuah dan Kasturi terkejut dengan pertanyaan itu.
“Err, saya Tuah pak cik, yang ini kawan saya, Kasturi.”
Sebaik mendengar nama Tuah dan Kasturi, Jebat terus bangun dan memeluk mereka.
“Bang Tuah, tidak kenalkah pada hamba yang hina dina ini. Ah, sampai hati Bang Tuah mengkhianati persaudaraan kita.” Suaranya sayu sekali.
            Pelukan tadi dilepaskan. Jebat memekup muka dan menangis hiba. Tuah dan Kasturi seperti orang yang kebinggungan. Orang yang lalu lalang memerhatikan saja adegan yang berlaku sekejap tadi. Dalam tangisnya, dia menyambung lagi.
“..dan tuan hamba Kasturi, lupakah pada ikrar kita berlima. Salahkah hamba, salahkah hamba membela Bang Tuah?” Matanya yang berkaca memandang tepat ke dalam anak mata Kasturi. Tangan kanannya menuding ke dada sendiri.
 Serba salah Kasturi dibuatnya, lalu menyiku Tuah.
“Macam mana ni Tuah. Apa yang orang tua tu bebelkan.”
“Entahlah, aku pun macam tak percaya. Kau dengar tu, dia memanggilku Bang Tuah dan menggunakan dialek hamba dan tuan hamba. Atau bermimpikah kita?” Tuah menampar-nampar  pipinya berkali-kali.  
Cuaca yang tadinya panas terik berubah sedikit redup. Tuah melihat jam ditangannya, baru menunjukkan pukul 3 petang. Hendak dikatakan jelmaan Laksamana Hang Jebat, hari masih awal. Tuah dan Kasturi saling berpandangan.
“Kak, bang, singgah-singgah.” Kasturi terssengeh-sengeh kepada orang yang lalu lalang. Dia melupakan sebentar persoalan itu.
Tuah juga kembali pada barang jualannya. Jebat dibiarkan bersama sendunya yang menghibakan hati sesiapa saja yang melintasi Kota Famosa. Tetapi tiada sesiapa yang berani meleraikan esakkan Jebat. Barangkali kerana dia berpenampilan aneh. Mereka hanya berpandangan sesama sendiri. Dan sesekali singgah di gerai Tuah dan Kasturi. Membelek-belek barangan kraftangan dan menawar-nawar harga. Ada yang membeli dan ada yang tidak. Tuah dan kasturi sudah lali. Mereka cuma tersengeh-sengeh saja. Sekali pun tidak marah atau berkecil hati.
“Oh Bang Tuah. Ke marilah. Dekatlah pada hamba. Bukankah kita ini masih bersaudara.” Tangan Jebat menadah kepada Tuah. Suaranya sayu sekali.
            Tuah memandang ke arah Jebat dengan tak berkelip. Dia seperti orang binggung. Mahu saja disambut tangan Jebat, tapi, dia bukanlah Bang Tuah.
“Woi Tuah, usah dilayan Dik Jebat kau tu.” Jerkahan Kasturi mengejutkan Tuah.
“Oh Bang Tuah. Ke marilah. Dekatlah pada hamba. Bukankah kita masih bersaudara.” Tangannya menadah lagi ke arah Tuah. Nadanya, nada orang merayu, meminta belas.
            Tuah betul-betul terganggu pada rayuan suara itu. Dia bingkas saja bangun menghampiri. Kasturi pula cepat-cepat memegang lengan kiri Tuah. Tuah tersentak.
“Jangan Tuah. Usah dilayan. Entah-entah terlepas dari hospital sakit jiwa.” Kasturi menegah dan membuat tekaan sendiri.
Tuah jadi serba-salah. Siapakah orang tua ini? Tiba-tiba mengatakan dirinya Jebat. Hampir 5 bulan Tuah dan Kasturi berniaga di kaki lima dalam ruangan kecil Kota Famosa, baru sekali ini orang tua ini muncul.
“Ah, barangkali dia lapar.” Tuah mengagak.
            Tuah yang belum sempat duduk tadi, menghayun langkah keluar.
“Aku pergi beli makanan. Kau nak kirim?” Sempat berpaling pada Kasturi.
            Kasturi mengeleng-geleng kepala. Dia membiarkan saja Tuah. Matanya menjeling Jebat. Jebat sudah mula diam. Mukanya ditekupkan saja pada dinding famosa. Bahunya terhenyut-henyut, seperti esakkannya belum habis. Beberapa minit selepas itu, Tuah kembali dengan membimbit bungkusan.
“Pak cik, ini ada nasi dan air minum, makanlah.” Tuah menghulurkan bungkusan tersebut pada Jebat.
Kasturi membiarkan saja. Malas hendak ditegur perbuatan Tuah. Dia terus saja berjualan. Melihatkan orang tua itu tidak memberikan apa-apa tindak balas, Tuah letakkan saja bungkusan makanan di situ. Kasturi buat-buat tidak tahu saja. Pengunjung kembali sesak. Begitulah setiap petang. Menjelang tengahari, pengunjung agak lenggang, tapi bila hari petang, pengunjung kembali galak.
“Oh Bang Tuah, apa ini? Tidak bang Tuah. Hamba bukannya datang ke sini untuk meminta barang sesuap nasi. Hamba cuma mahu Bang Tuah tahu, hamba bukanlah penderhaka, hamba pembela. Hamba menuntut di atas kematian Bang Tuah. Hamba menentang kezaliman.” Jebat memegang bungkusan tadi dan dihalakan kepada Tuah. Sebelah lagi tangannya dituding-tuding ke dada sendiri. Rintihan suaranya penuh sendu.
            Tuah semakin tidak keruan jadinya. Kasturi pula sudah naik mual mendengar esakkan orang tua itu. Lantas, dia mengajak Tuah pulang saja. Tuah menolak ajakkan Kasturi. Kasturi tidak lagi peduli, dia lantas mengemaskan barang-barangnya dan turut menyusun barang-barang Tuah  dan memasukkannya ke dalam beg. Kasturi jadi semakin jelak memandang ke arah orang tua yang mengaku dirinya Jebat.
“Mahu ke mana tuan hamba?” Mata tuanya memohon kepastian dari Kasturi.
            Benar-benar meruntun jiwa Tuah. Siapakah orang tua yang mengatakan dirinya Jebat ini? Kenapa di ulang-ulang perkataan yang sama saja.
“Hamba bukanlah penderhaka. Tak percayakah Bang Tuah,” beralih pula mata tuanya kepada Tuah.
“Macam mana ni Tuah. Kau nak balik atau tak. Lagi pun, hari dah lewat. Solat asar pun belum lagi.” Kasturi seperti tidak mendengar ratapan si tua itu.
“Erk, kau jalanlah dulu. Kejap lagi aku jumpa kau dekat surau Dataran Pahlawan.”
            Tuah seperti buntu saja.  Kasturi sudah pergi. Mahu dibiarkan saja Pak Cik Jebat di situ, kasihan pula rasanya.
“Pak cik, kalau pak cik tak nak makan, tak mengapalah. Mari, biar saya hantarkan pak cik.” Jebat seperti tidak berdaya lagi. Dia akur saja pada pelawaan Tuah.
“Baiklah Bang Tuah, pimpinkan saja hamba ke sana.” Bibirnya muncung ke arah replika Istana Melaka.” Replikanya saja. Tapaknya bukan di situ. Tuah pernah membaca sejarah Kota Melaka. Tetapi Tuah juga pernah mendapatkan sumber lisan dari seorang tua yang selalu bertapa di dalam Gereja St.Paul, katanya tapak Istana Sultan Melaka letaknya di bangunan merah. Apa sajalah. Tuah tidak mahu memikirkan tentang itu.
“Bang Tuah, pimpinkan saja hamba ke sana.” Benar-benar Jebat mahu ke situ.
“Tapi pak cik. Dah lebih pukul 5 petang ni. Kaunter tiket dah tutup. Pintu pagar juga dah berkunci. Kalau pak cik mahu ke sana, datanglah esok. Saya boleh bawa pak cik.” Tuah berasa ringan sekali mahu membantu Pak Cik Jebat. Biarpun tidak tahu asalnya orang tua itu. Terasa lucu pula memikirkan Pak Cik Jebat memanggilnya Bang Tuah. Akukah Bang Tuah?
“Bang Tuah, lupa benar Bang Tuah pada hamba rupanya. Apalah yang telah Bang Tuah bebelkan tadi. Tak mengapalah Bang Tuah, dudukkan saja hamba di bawah pokok melaka.” Tangannya menuding ke atas Bukit St.Paul.
“Baiklah pak cik.”
            Tuah mahu bertanya lagi, tapi dibiarkan dulu. Tuah berhajat mahu menghantar Pak Cik Jebat ke rumah. Bukannya didudukkan di bawah pokok melaka. Lagipun, hari sudah petang. Di situ, kata pak cik yang selalu duduk bertapa di dalam Gereja St.Paul, tempatnya keras.
“Terima Kasih Bang Tuah. Dudukkan saja hamba. Sudah lama benar hamba tidak ke sini. Nampaknya banyak yang sudah berubah. Bang Tuah juga tidak lagi mengenali hamba.” Tangisnya berderai lagi entah kali ke berapa. Kali ini, Tuah juga merasakan satu kelainan.
“Pergilah Bang Tuah, tinggalkan saja hamba.” Tuah memandang orang tua itu dengan perasaan yang penuh bersimpati. Silanya, sila seorang pahlawan.
“Pergilah Bang Tuah. Kota Melaka sudah dicemari adat. Itu, orang yang datang dan pergi, sudah hilang tatasusilanya. Pakaiannya rabak di sana sini. ” Tangannya menuding orang sekeliling. Kemudian memekup muka. Lagaknya seperti seorang tua yang penuh penyesalan.
Pergilah Bang Tuah.” Diulangnya buat kali ketiga.
            Tuah yang berdiri tegak di situ seperti tergamam. Lantas memalingkan muka dan memusingkan badan membelakangi Jebat. Dia seperti orang binggung. Menuruni anak tangga Bukit St.Paul satu persatu.
“Woi Tuah, sini lagi rupanya kau. Aku tunggu kau kat surau, tak datang-datang. Cepatlah.” Sergahan dari Kasturi menyedarkan Tuah. Tuah berpaling ke arah pokok melaka, dicarinya Jebat dengan anak mata. Lesap!
            Tanpa menghiraukan sergahan Kasturi, Tuah berlari-lari mendaki Bukit St.Paul. Matanya melilau mencari-cari Jebat. Ditanyakan pada orang-orang sekitar, tiada siapa yang nampak. Benar-benar menghairankan Tuah.
“Hamba pergi Bang Tuah.” Seperti suara Jebat berbisik. Hembusan angin petang membawa keanehan yang dialami Tuah. Tuah tidak mahu bercerita kepada Kasturi.

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger