Tuesday 5 April 2011

Diari Porta de Santiago

 Cerpen
Diari Porta de Santiago  
Oleh ; Sharifah Aisiah Syed Mahazar

Catatan 1
Aku berdiri menunggumu di situ. Katamu, di balik serpihan Fortaleza de Malaca, kau sering merenungku. Aku tidak mengerti maksudmu. Apakah kau jelmaan seorang gundik Sultan, atau juga sumpahan bebatuan seorang kekasih yang datang dari gua pertapaan mencari Bang Tuah. Sesungguhnya kau ciptaan Tuhan yang aneh lagi unik, aku kagum dan menghormatimu. Tetapi yang bernama perempuan itu, tak mengerti akan hati dan perasaanku.
          Hang Too Ah lansung mencatat di atas diarinya. Sewaktu menikmati donat di Big Apple, matanya yang melilau pada kelincahan sesetengah penghuni di Dataran Pahlawan, terpaku pada wajah seorang wanita melayu. Tanpa disedari kakinya terus melangkah dan mengekori perempuan itu. Lantas meninggalkan donat perisa kiwi yang selalu dijamahnya hampir setiap hari. Hidangan donat di Big Apple sudah menjadi kegemarannya. Perempuan itu keluar dan Hang Too Ah mengagak sendiri.
“Oh, mau ke Hotel Equatorial rupanya. Mungkin kerja kat situ.”
          Namun, tekaannya silap. Perempuan itu membelok ke kiri. Hang Too Ah seorang yang lebih suka berteka teki dan memberikan jawapan sendiri.
“Opps, nak ambil keretalah kot.” Apabila dilihat perempuan itu menuju ke arah tempat letak kereta.
          Hang Too Ah tidah tahu kenapa, tiba-tiba terasa seperti ingin sekali mengenali perempuan itu. Ternyata, dugaannya silap. Perempuan itu tidak berhenti pada mana-mana kereta. Kali ini, Hang Too Ah mendesis lagi.
“Mesti dia nak pergi ke A Famosa.”
          Hang Too Ah terus mengekori. Dia begitu yakin sekali bahawa perempuan yang diekorinya mahu pergi ke A Famosa. Kali ini, perempuan itu tidak belok-belok lagi. Dia juga lansung tak menyedari yang dia sedang diekori kerana pengunjung yang pergi ke situ silih berganti. Sebaik sampai di pintu kota, perempuan itu masuk ke dalamnya. Hang Too Ah tidak ikut masuk. Sekadar memerhatikan dari luar sahaja.
“Barangkali bukan orang Melaka.” Hang Too Ah semakin galak meneka.
          Jika dilihat dari cara perempuan itu merenung batuan Porta de Santiago yang kekal utuh, seperti baru pertama kali ke sini. Hang Too Ah mula mencari helah untuk mendekati perempuan itu.
“Err saudari, baru pertama kali datang ke sini ke?”
“Ya, kenapa?” perempuan itu membalas. Reaksinya bersahaja.
“Takder apa. Sebelum tu, saya Hang Too Ah. Anak jati Melaka. Kalau perlukan apa-apa bantuan, saya sedia menolong.”
“Oh, saya Melor. Saya juga orang Melaka.”
“Iya, Melaka di kawasan mana?” Hang Too Ah mula memancing. Walaupun berbangsa Tiong Hua, namun bahasa melayu yang dipertuturkan oleh Hang Too Ah, mantap sekali. Tidak ada pelatnya.
“Hmm.. Tapi saya dibesarkan di Bandar Maharani.”
          Hang Too Ah mengangguk. Dia merasakan peluang telah terbuka seperti pintu Porta de Santiago.
“Kalau ada apa-apa yang saudari mahu tahu, saya boleh membantu. Saya boleh tunjukkan tempat-tempat bersejarah yang lain. Jika saudari mahu ke muzium, saya boleh bawakan.” Hang Too Ah menawarkan perkhidmatan sebagai pemandu pelancong yang tak berbayar.
“Boleh juga. Tapi, saya teringin menziarahi kubur lima bersaudara.” Melor masih memerhatikan dinding batu yang setebal antara 2.5 meter hingga 4.5 meter itu.
“Mau ke makam Hang Tuah ya. Kalau makam Hang Tuah, jauh sikit. Perlukan kenderaan hendak ke sana. Saya pun datang jalan kaki je ni. Saya boleh bawakan lain kali. Tapi kalau nak ke makam Hang Jebat, tak jauh dari sini. Letaknya di Jonker Walk je.” Hang Too Ah menerangkan panjang lebar.
“Tak menyusahkan saudara ke?”
“Takde pun. Saya dah biasa dengan tempat di sini.” Hang Too Ah mula mengatur strategi. Inilah masanya untuk mengenali Melor dengan lebih dekat.
“Ya.. saya mahu berziarah ke makam Bang Tuah dahulu.”
          Hang Too Ah sedikit musykil bila mendengar Melor menyebut Hang Tuah dengan nama Bang Tuah. Mindanya ligat berfikir. Awalnya seperti mahu bertanya saja, tapi didiamkan dulu. Dia memandang Melor dengan penuh teliti. Benarkah manusia atau jelmaan semata.
“Jika begitu, lain kali sajalah kita pergi. Apa yang istimewanya kota ni? Melihatkan Hang Too Ah membisu saja, Melor mula menyambung kata.
“Kota ni dibina oleh Portugis pada tahun 1511 m. Sebanyak 70 butir meriam diletakkan di penjuru kota bagi menangkis serangan musuh.” Hang Too Ah pantas menjawab, walaupun agak musykil sebentar tadi.
“Musuh! Siapa yang dikatakan musuh?” Melor bertanya sinis. Dari mana kamu belajar semua ni. Apakah sejarah telah buta atau kamu dibutakan penjajah?”
          Sekali lagi pertanyaan dari Melor membuatkan Hang Too Ah seperti terfikirkan sesuatu.
Catatan 2
Aku berdiri menunggumu di situ. Katamu, di balik serpihan Fortaleza de Malaca, kau sering merenungku. Aku tidak mengerti maksudmu. Apakah kau jelmaan seorang gundik Sultan, atau juga sumpahan bebatuan seorang kekasih yang datang dari gua pertapaan mencari Bang Tuah. Sesungguhnya kau ciptaan Tuhan yang aneh lagi unik, aku kagum dan menghormatimu. Tetapi yang bernama perempuan itu, tak mengerti akan hati dan perasaanku.
          Hang Too Ah masih lagi mencatatkan ayat yang sama. Dia masih lagi terkenangkan Melor. Ah.. terkenang atau terimbau. Dia sendiri buntu. Melor benar-benar meninggalkan kesan kepadanya. 
“Dari mana.. err, apa maksud saudari?” Hang Too Ah semakin lebih berhati-hati menyusun bait kata.
“Negeri ini bertuan dan kitalah tuan, bukannya musuh. Melawan penjajah bererti pejuang, bukannya petualang.” Bersemangat sekali Melor menjelaskannya.
“Oh, maaf, sejarah tidak buta dan saya juga tak dibutakan sejarah. Barangkali saya tersalah tadi. Ya, maksud saya; meriam diletakkan di setiap bucu bagi menangkis serangan balas dari penduduk Melaka.” Hang Too Ah membetulkan semula keterangannya tadi.
Matanya berkelip-kelip memandang Melor dan dalam hati, dia seperti mendesis, siapakah gadis melayu ini?
“Apa lagi istimewanya kota ini?”  Melor seperti masih mahu tahu lagi.
          Kali ini Hang Too Ah berfikir sejenak sebelum menjawab pertanyaan dari Melor. 
 “Hmm, kota ini mengambil masa kira-kira selama 5 bulan untuk didirikan.”
“Jadi, selama kota ini didirikan, di mana penjajah mendirikan pertahanan?”
          Kali ini pertanyaan dari Melor membuatkan Hang Too Ah sedikit buntu. Dia mendesis dalam hati, sambil menggaru-garukan kepalanya yang tak gatal.
“Eh, ada ke sejarah mengatakan tentang tu.. atau aku yang tercicir membacanya.”
          Melor seperti dapat menduga kebuntuan Hang Too Ah dan tidak menunggu jawapan dari soalannya tadi.
“Tak mengapalah. Lain kali saja difikirkan.”
          Melor berjalan meninggalkan kota Famosa. Matanya merenung ke arah replika istana Sultan Mansur Shah. Hang Too Ah mengekor dari belakang.
“Alangkah, jika bang Tuah tidak difitnah dan dihukum Sultan, bang Jebat tentunya tidak akan menderhaka.”
          Hang Too Ah dapat menangkap tiap patah yang Melor ungkapkan. Dia bertambah musykil jadinya.
“Alangkah, jika Patih Karma Wijaya tidak memfitnah bang Tuah, dan alangkah jika Sultan tidak membuta tuli menghukum,  bang Jebat tentunya tidak akan menuntut bela.” Hang Too Ah memerhatikan saja keluhan Melor.
“Saudari, sebenarnya saudari ini dari mana asalnya?” Hang Too Ah meminta kepastian. Walaupun Melor mengatakan dia berasal dari Bandar Maharani, tetapi Hang Too Ah masih ingin tahu sesuatu yang masih lagi rahsia.
          Ya, bang Tuah dan bang Jebat! Siapakah Melor? Atau, mungkinkah dia adalah jelmaan seorang gundik Sultan, atau juga sumpahan bebatuan seorang kekasih yang datang dari gua pertapaan mencari bang Tuah.
“Bukankah sudah saya katakan tadi.” Melor tidak mahu mengulang jawapan yang sama.
“Maafkan saya. Saya lupa.” Hang Too Ah terpaksa buat-buat lupa sahaja. Mahu ditanyakan lagi, tapi digusarkan pula, Melor tersinggung. Namun, diberanikan diri untuk terus bertanya pada yang lain.
“Saudari, Bang Tuah dan Bang Jebat. Apa yang saudari katakan tadi dan apa maksud disebaliknya. Dan err.. Patih Karma Wijaya, apa sebenarnya saudari?”
          Melor memandang tepat ke dalam anak mata Hang Too Ah. Sehinggakan pandangan Melor membawa bibit-bibit debaran dan satu perasaan lain pula. Hang Too Ah cuba mengelak dan berpura-pura memandang ke tempat lain.
“Kenapa saudara. Gerunkah pada pandangan mata saya. Lihatlah, saya ini Melor dan datang dari Bandar Maharani hanya semata-mata mahu melihat tempat-tempat bersejarah di sini. Lupakan saja apa yang saya ungkapkan tadi. Tiada apa-apa sebenarnya.”
          Mendengarkan jawapan dari Melor, Hang Too Ah menarik nafas lega. Disangkanya Melor adalah makhluk dari dunia lain tadi, bila melihatkan keganjilan sikap dan kata dari Melor.
“Hmm, Bukit St.Paul. Di Atas robohan istana Melaka, didirikan pula gereja St.Paul. Sungguh keji.” Sambil Melor memandang sinis ke arah Hang Too Ah.
“Saya mohon diri.”
“Eh, cepatnya saudari mahu pulang. Tak mahu ke tempat yang lain ke? Ke Jonker Walk, menziarah makam Hang Jebat atau boleh saja ke Makam Hang Kasturi. Juga tak jauh dari situ.
“Lain kali sajalah.”
          Hang Too Ah masih memikir-mikir untuk menyusun kata untuk berkenal rapat dengan Melor. Sedang Melor melangkah laju dan hilang dicelah-celah orang ramai. Puas dicarinya. Hilang!
Catatan 3
Aku berdiri menunggumu di situ. Katamu, di balik serpihan Fortaleza de Malaca, kau sering merenungku. Aku tidak mengerti maksudmu. Apakah kau jelmaan seorang gundik Sultan, atau juga sumpahan bebatuan seorang kekasih yang datang dari gua pertapaan mencari Bang Tuah. Sesungguhnya kau ciptaan Tuhan yang aneh lagi unik, aku kagum dan menghormatimu. Tetapi yang bernama perempuan itu, tak mengerti akan hati dan perasaanku.
          Hang Too Ah mengulang-ngulang cerita yang sama.

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger