Tuesday 5 April 2011

Hikayat Me-Layu

Cerpen
Hikayat Me-Layu
Oleh : Sharifah Aisiah Syed Mahazar

Al-Kisah, di sebuah perkampungan Lelee Otai. Tersebutlah juga dinamakan Lelee Otai kerana warganya yang sejuta satu orang itu menggemari makan ikan keli salai. Kanak-kanak yang masih telor selalu menyebutnya Lelee Otai. Bersempena dari itu, sejuta satu warganya pun bersetuju menamakan kampung yang mereka huni sebagai Kampung Lelee Otai. Demikian, kampung masih belum bernama.
Maka akan berlansunglah satu majlis persandingan anak penghulu tonggeng terbalik, kerana latahnya yang menjadi-jadi, tonggeng terbalik sampainya. Hari Boyougurt namanya. Penghulu tonggeng terbalik seorang yang mengamalkan diet. Setiap hari dimakannya yogourt. Sehinggakan tubuhnya lansing-berdansing dan dikurniakan pula seorang anak laki-laki. Maka dinamakannya sedemikian. Kerana belum fasih warga seribu satu menyebut betul-tepat, dibantaikan saja dengan gelaran Eri Boyot. Bersempena pula dengan perutnya yang boyot. Berkatalah penghulu kepada rakyat sekalian.
“Wahai rakyat yang banggang, pergilah ke hutan mencari pucuk daun kayu me-layu. Cari yang segar bugar.” Rakyat yang banggang pun bertolak-tolak meredah hutan.
        Maka, berkatalah penghulu lagi.
“Wahai rakyat yang ngok, pergilah ke sungai menjala ikan sepat bermata empat. Jalalah sebanyak mungkin. Kita akan berkenduri. Sejuta satu warga akan dijamu, ditambah pula dengan kebanjiran warga Kampung Leleh Lentok. Pergilah!” Akurlah juga rakyat yang ngok itu.
******
Al-kisah, bakal bini Eri Boyot pun bersuka-sukalah menghias diri. Dipalitnya gincu yang dihadiahkan oleh Ura Fozura, artis tip top Kampung Leleh Lentok. Bapanya Pandur Lincai, dan emaknya Tijah mulut lebar, bergotong-royonglah 41 hari, 41 malam menyiapkan sebarang apa yang patut. Pergilah dia berjumpa penghulu Kampung Leleh Lentok, Sem Semi namanya.
“Oh, Paknya si Ani Mayonis.” Dari jauh lagi penghulu Sem menyapa Pandur Lincai.
“Iyalah tuk penghulu sepak tunggul.” Digelarnya begitu kerana sering sangat tersepak tunggul   kerana matanya yang rabun.
“Macam mana persiapan kenduri si Ani Mayonis?”
“Ni lah hajatnya aku ke mari penghulu sepak tunggul. Nak minta kau kerahkan Emisyeik dan anak buahnya pergi carikan ikan keli. Nak dijamunya rombongan besanku nanti. Nak disalai, sebab warga Lelee otai memang suka makan ikan keli salai. Nak ambil hati besanku si penghulu tunggang terbalik.”
        Tak semena-mena, anak penghulu sepak tunggul keluar tergopoh-gopoh.
“Nak ke mana kau Emisyeik.”
“Nak jumpa Dollah Hadiri ayah.”
“Eloklah. Ni haa, Pak Cik Pandur nak minta kau carikan ikan keli buat kenduri kahwin anaknya. Ajak Dolah Hadiri dengan kawan-kawan kau yang lain.”
“Boleh, boleh. Nanti saya bereskan. Besok pagi-pagi saya hantar ke rumah Pak Cik Pandur.”
        Emisyeik terus berlalu dari situ.
“Aku minta diri jelah penghulu.”
“Ha’ah, petang ni jelah kita jumpa kat rumah kau. Aku pun nak menengok-nengok persiapan kenduri.”
“Eloklah.”
        Pak Pandur Lincai pun pulang ke rumah. Jarinya dihitung. Hanya sehari lagi, sampailah rombongan bakal besannya. Tijah mulut lebar sedang sibuk bergebang dengan kaum perempuan di dapur. Kaki tangan bekerja seiring mulut. Ani Mayonis sudah 3 hari tak dibenarkan keluar rumah. Takut hilang seri pengantinnya nanti. Kerjanya menyapu bedak dipipi dan mencalit gincu dibibir saja. Biar bertambah cun-melecun.
“Maknya si Ani, dah beres ke apa yang patut” Pak Pandur menjengukkan kepala ke dapur.
“Sudah paknya si Ani.”
        Legalah hati Pak Pandur. Tak sabar rasanya nak bermenantukan anak penghulu. Walaupun Hari Boyougour perutnya boyot, tetapi wajahnya manis. Pak Pandur dah lama mengidamkan menantu yang manis. Katanya Khor Tiul, nujum Kampung Leleh Lentok, kalau muka manis, hatinya baik. Bersabitlah pada ramalan tersebut, yakinlah akan Pak Pandur Lincai.
******
        Berbaliklah kepada warga Kampung Lelee Otai yang ngok pergi mencari ikan sepat bermata empat. Maka, kembalilah mereka dengan berarak membawa ikan sepat bermata empat yang didapat oleh mereka di sungai naga  bermata lima. Berkatalah penghulu dengan girangnya.
“Terima kasihlah rakyat yang ngok di atas bantuan ini. Pergilah, lemparkan ikan sepat bermata empat yang masih galak melompat itu ke dalam kolam. Tibanya hari kenduri, kalian ambil dan sianglah. Kita akan masak dan makan sama-sama. Selepas itu, pulang ke rumah masing-masing, bersiaplah, esok pagi kita akan berarak ke Kampung Leleh Lentok.”
        Bersurailah sekalian rakyat yang ngok. Bermenunglah penghulu tunggang terbalik memikirkan rakyat yang banggang belum balik-balik lagi. Sudah 2 hari, 2 malam masuk ke hutan mencari pucuk kayu me-layu. Pucuk kayu me-layu dikatakan berkhasiat seribu satu mustajab. Setiap kali ada yang bakal melansungkan perkahwinan, akan ke hutanlah beramai-ramai untuk mencarinya. Letaknya berdekatan dengan Gua Bisul. Tentang Gua Bisul pula, tiada siapa yang tahu akan rahsianya. Tertidurlah penghulu tonggeng terbalik di bucu tangga kerana terlampau bimbang akan keselamatan rakyat banggang. Entah di makan rimau, entah diratah serigala. Sekalian maklum, di dalam hutan Kesang Tasik Biul, terdapat banyak binatang buas.
******
        Dikisahkan pula akan sekalian rakyat banggang yang pergi mencari pucuk kayu me-layu. Sesampainya mereka di Gua Bisul, berceritalah salah seorang dari mereka dengan rakusnya. Mendengarlah pula dari mereka dengan serakahnya juga.
“Wahai kawan-kawan. Sudah sekian lama warga kampung kita mencari pucuk kayu me-layu berdekatan Gua Bisul ini.” Sebaik saja Kiki Longlai habis dengan ayatnya yang pertama, hujan pun turun dengan lebatnya.
Awan yang dari tadi lagi mengandungkan air, kini memuntahkan semua isi. Berlarilah mereka mencari tempat berteduh di dalam gua.
“Wahai kawan-kawan. Sudah sekian lama warga kampung kita mencari pucuk kayu me-layu berdekatan Gua Bisul ini.” Kiki Longlai mengulang lagi sekali dengan nada suara yang kuat. Bergemalah suaranya lantun-melantun di dalam gua.
“Arwah datuk kepada datukku pernah bercerita kepada datukku, dan datukku pula ceritakan kepadaku. Mahukah kawan-kawan mendengarnya. Kalau tidak mahu mendengar, tidak mengapalah. Aku tidak akan bersuara lagi.”
“Ceritakan saja hai si Kiki Longlai. Sementara menunggu hujan reda.” Bersahut-sahutan suara mereka yang lain.
“Baiklah. Ini berhubung kait dengan asal-usul gua ini. Kata arwah datukku; gua ini dulunya tidak bernama. Arwah datuk kepada arwah datukku dulunya ketua kepada sekalian warga kampung yang tidak bernama. Disebabkan mereka tidak pandai mendirikan pondok, maka menetaplah mereka di dalam gua ini. Di situ, pucuk kayu me-layu, merekalah yang tanam. Ini kerana asalnya nama pucuk kayu me-layu, adalah nama arwah datuk kepada arwah datukku. Melayu namanya.” Terloponglah mulut sekalian rakyat yang banggang mendengar cerita Kiki Longlai. Berhikayatlah mereka 2 hari 2 malam, sehinggakan terlupalah akan mereka tujuan mahu mencari pucuk kayu me-layu.
“Arwah datuk kepada arwah datukku seorang yang perkasa. Tinggallah mereka di dalam gua ini dengan aman damai. Suatu hari, tersebutlah dalam taqwim, entah tahun hijrah yang ke berapa, gua ini telah diriuhkan dengan seekor naga yang sesat. Naga tersebut sedang sarat bunting. Naga itu telah mengamuk dan memakan seberapa ramai mungkin penghuni yang tidak sempat lari. Bersepakatlah arwah datuk kepada arwah datukku untuk membunuh naga tersebut. Sementara itu, mereka pun mencari gua lain sebagai tempat berteduh. Suasana hiba menyelubungi hati mereka. Mereka pun berkira-kira akan berarak rama-ramai ke gua, tatkala naga tersebut beranak. Mereka pun menugaskan dua orang setiap hari mengintai ke dalam gua, kalau-kalau naga tersebut telah beranak.” Bertambah khusyuklah rakyat yang banggang mendengar cerita si Kiki Longlai. Hinggakan semakin alpa dan leka.
“Naga itu pun beranaklah pada dinihari. Melihatkan naga betina dalam keadaan yang lesu, mereka pun mengambil kesempatan yang ada. Terbunuhlah naga tersebut. Seekor anak naga yang baru saja keluar dari bontot ibunya dibiarkan saja. Sebaik hari cerah, mereka mengambil anak naga tersebut, dibawa keluar dari gua. Dibelek-belek oleh mereka. Naga tersebut bermata 5. Dibawa pula oleh mereka dan dilepaskan ke dalam sungai, yang mana dikenali sebagai sungai naga bermata 5. Setelah itu, mereka pun masuk kembali ke dalam gua untuk mengusung bangkai ibu naga. Setelah terkena cahaya terang, maka terlihatlah oleh mereka, kulit naga yang telah mampus itu telah ditumbuhi bisul-bisul yang besar. Selang beberapa waktu sahaja, bangkai naga itu ngaib. Berpandanglah sesama mereka. Dan bersepakatlah untuk menamakan gua tersebut sebagai Gua Bisul. Al-maklumlah.” Bersandarlah si Kiki Longlai pada dinding gua bisul dengan lemah longlainya kerana letih dan lesu bercerita selama 2 hari 2 malam. Tertidurlah rakyat yang banggang akibat lesu dan lapar. Bekalan makanan yang dibawa dari Kampung Lelee Otai, sedikit pun tidak berjamah.
******
              Penghulu tonggeng terbalik berbalik-balik badan akibat terlalu lenanya di bucu tangga. Rakyat yang banggang juga bertindih-tindih kaki, bersimpang-siur dengan dengkur berdengkur. Bermimpilah mereka berjalan-jalan sampai ke bucu tangga rumah penghulu tonggeng terbalik. Anehnya mereka mengalami mimpi yang sama. Dan ternampak penghulu tonggeng terbalik sedang tidur lena. Kehadiran mereka yang bising telah mengejutkan penghulu tonggeng terbalik dari tidur. Bertanyalah penghulu akan pucuk kayu me-layu dengan nada sayu. Terdiamlah mereka kerana lupa mencari pucuk kayu-me-layu tersebut. Tersedarlah mereka dan tergopoh-gapah keluar dari gua.
            Penghulu tonggeng terbalik bermimpi pula berjalan di sebuah gua. Dilihatnya sekalian rakyat yang banggang sedang tidur. Dikejutkan seorang demi seorang dan dikerah supaya cepat-cepat bangun untuk mencari pucuk kayu me-layu.
“Ooi paknya si Ani.” Badan penghulu digoyang-goyang.
          Penghulu menggenyeh-genyeh mata. Semakin besar, besar dan dibesar-besarkan lagi anak matanya. Di depannya berkumpul rakyat yang banggang membawa pucuk kayu me-layu.
           Tercenganglah penghulu tonggeng terbalik memikirkan akan mimpinya. Berdiri dan berkatalah penghulu.
“Wahai rakyat yang banggang. Gusar hati aku memikirkan kalian yang masuk ke hutan selama 2 hari, 2 malam. Akhirnya pulang juga dengan membawa pucuk kayu me-layu.” Tersenyum lebar penghulu.
“Pulanglah ke rumah masing-masing. Esok, kita akan berarak ramai-ramai ke Kampung Leleh Lentok, dan lusa kita akan berkenduri di sini pula. Bawa pucuk kayu me-layu ke belakang. Berikan kepada mak cik kau.”
            Beraraklah mereka keesokkan harinya ke Kampung Leleh Lentok. Hari lusanya, berkenduri-kendaralah sejuta satu rakyat. Mereka melapah pucuk kayu me-layu, cicah dengan budu dan berpasangan pula dengan ikan sepat bermata empat masak asam pedas. Makanlah mereka dengan seleranya.
               Demikianlah dijalin hikayatkan pencarian rakyat yang banggang. Sesudah memakan pucuk kayu me-layu, mereka tidak lagi banggang. Kerana pucuk kayu me-layu, mereka tidak lagi lemah, longlai, lupa, layu dan lesu. Maka berserulah penghulu yang tidak lagi tunggang terbalik.
“Wahai rakyat sekalian. Mulai hari ini, tidak akan lagi dipanggil rakyat yang ngok dan banggang. Aku gelarkan saja, kita semua ini sebagai bangsa melayu, iaitu bangsa yang bersemangat dan bijak pandai.”
           Bersoraklah warga Kampung Lelee Otai sekalian.    

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger