Selamat Datang Ke Laman Karya Saya

Sharifah Aisiah Syed Mahazar , sekarang bergelanda di Melaka dan sedang membina kerjaya sebagai penulis sepenuh masa.Mula bergiat dalam bidang penulisan seawal tahun 2006.Pada awalnya berjinak dalam genre puisi sahaja kemudian mencuba dalam genre cerpen di bawah bimbingan Zaharah Nawawi dan aktif sebagai peserta bengkel yang diadakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka di sekitar Pantai Timur.

Kini bergerak sebagai penulis bebas dan masih bertatih dalam genre novel

Thursday 30 June 2011

Bekerja untuk hidup @ hidup untuk bekerja

Peluang mencari rezeki, ada di mana-mana. Asal rajin berusaha, dan tidak terlalu memilih. Juga perlu berani merasai pengalaman baru. Di Mahkota Parade, peluang mendapatkan kerja cukup besar, terutamanya bagi wanita. Kedai baju, aksesori, telefon, tudung, dan macam-macam lagi. Gaji yang ditawarkan, paling-paling rendah pun, permulaan dengan gaji RM700-RM800. Bergantung kepada majikan. Selalunya, permulaan rendah, komisyen untuk jualan sedikit tinggi. Permulaan gaji yang mahal pula, komisyennya rendah. Putar alam saja. Jika ada majikan yang baik hati, sekiranya jualan mencecah seribu sehari contohnya, ditambah pula RM5 sebagai elaun. Walaupun bukan kerja pejabat, tapi tetap ada simpana pekerja seandainya bekerja melebihi 3 bulan. Gaji dinaikkan bergantung pada disiplin pekerja. Ada pula elaun makan. Bagi wanita bujang, katakan sebulan seribu ringgit, Alhamdulillah. Bukan senag nak dapat kerja sekarang ni. Dalam econ pula tu. Kepada lulusan ijazah, apa salahnya, cari pengalaman sementara jawatan kerajaan dibekukan buat masa sekarang.
Tapi.. waktu bekerja 12 jam. 10pagi-10malam. Gaji dibayar bulan saja, sebaliknya dikira hari. Sejam=?ringgit. Darab 12 jam. Bekerja 30 hari. Sekiranya cuti, tiada gaji. Ada yang tiada cuti berbulan-bulan. Memilih untuk terus-terusan bekerja. Memanglah kurang penat, hmm.. terserahlah kepada individu. Masing-masing ada rasional.
Peluang kerja di tempat-tempat begini, senang dapat, tak terikat, mudah pula nak berenti. Sesetengah majikan yang baik hati, elaun pengangkutan dibayar. Cuma, bagi yang merantau cari pengalaman, bukan terdesak untuk dapatkan duit menyara keluarga semata, apa salahnya ambil cuti sebulan sekali. Tak perlu enjoy, sekadar jalan-jalan ke tempat-tempat yang menarik di Melaka. Rehatkan diri. Kasihan diri. Kasihan minda. Paling-paling tak tahu hendak ke mana, silalah ke perpustakaan Bukit Baru. Kita membaca. Membaca jambatan ilmu. Selamat membaca!

Wednesday 29 June 2011

Konvesyen Penulis di Shah Alam

26/6/2011 - bersama Pak Razali Endon dan Pak Syubki Latiff,menaiki satu kereta ke Konvesyen Penulis di Pusat Konvesyen Shah Alam. Pak Dinsman ada, Pak Kassim Ahmad ada, Wak Saring ada, Bonda Zurinah Hassan ada, dan yang ada rata-rata bapa-bapa dan ibu-ibu saja. Di mana ya, kawan-kawanku pergi pada hari Ahad 26/6/2011. Dihadiri oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim (MB Selangor), YAB Dr Hjh Halimah Ali (Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Pembangunan Insan), YAB Puan Hjh Rodziah Ismail (Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Innovasi, dan Kebudayaan), Puan Hjh Mastura Muhamad (Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor), Datuk A.Samad.Said dan Datuk Anwar Ridhwan (Sasterawan Negara), dan yang diraikan pada hari ilmuan, jeng, jeng, jeng.. Prof.Dr.Shaharir Mohamad Zain. Siapa beliau??? Penerima anugerah Tokoh Penulis Selangor. Orang Selangor ke??? Bukan! Beliau merupakan anak kelahiran Pasir Puteh. Oghe Kelate. Tahniah! Gomo Kelate Gomo.

Tuesday 21 June 2011

Alhamdulillah

Tidur sakan semalam. Masih dikurniakan umur panjang hari ini. Alhamdulillah. Andai semalam aku pejamkan mata, dan tidak bangun-bangun lagi, ahh, masih banyak tanggungjawab yang belum aku selesaikan. Terasa menyesalnya kerana mempersia-siakan masa. Berikan aku 5 minit saja cukuplah, hidupkan aku kembalai, kerana pertamanya, aku mahu mendengar suara orang-orang yang aku sayangi. 5 minit, cukupkah? Sedangkan terlalu ramai orang-orang yang aku sayang. Membilang dengan jari. Berikan aku hidup. Aku mahu menebus segalanya. Setiap hari aku mahu ungkapkan betapa aku menyayangi mereka. Aku mahu mengisi setiap saat masa yang berlalu dengan tugasan yang bermaanfaat untuk duniawi dan uhkrawi. Cukuplah catatan pendek ini, aku mahu mulakannya dari saat ini juga.

Tak Terbalas Jasamu

Sedari waktu yang menelan masa, cepatnya semua itu berlalu. Tahu-tahu kini, aku telah menjadi dewasa. Apalah yang dapat kuberi sebagai tanda terima kasihku kepada umi dan abah. Mmebesarkan, mendidik, dan menjadikan aku seorang manusia yang manusiawi. Betapa besar dan mulianya jasa mereka. Andainya tiada apa yang mampu kuberikan, aku pohon semoga diberikan mereka usia yang panjang, dan aku diberi kesempatan untuk menjaga mereka di hari tua nanti. Terasa dhaifnya diri ini. Walau sedhaif ini anakmu, kau masih tetap mengiringi dengan doa. Doa itulah yang menjadi azimat kepadaku. Pasti anakmu ini akan berjaya mengejar cita. Aku tidak berlari dalam mimpi. Aku berdiri di bumi yang nyata.
Terkenang zaman anak-anak yang terlalu indah. Mandi di sungai, bermain jong-jong inai, dan sesungguhnya aku adalah anak-anak yang banyak bermain. Kawan-kawanku hanya tiga orang. Ya, kami bertiga. Seorang sudah semakin hampir dengan citanya. Seorang lagi, hilang entah ke mana. Dan aku, menjadi seorang dewasa di bumi Melaka. Kutinggalkan tanah desa hanya kerana cita-cita. Kenapa aku yakin di sini aku mampu menrealitikan cita. Kerana ada dia. Dialah yang berdiri sebagai tonggak hidupku dikala aku lemah, letih, kecewa dan hampa. Dia tidak sesekali membiarkan aku rebah. Siapa dia? Biarlah rahsia.
Siapa yang tidak rindu pada damainya bayu desa. Siapa yang tidak rindu untuk memijak tanah kelahiran. Tentu sekali aku rindu. Rindu, tentunya aku rindu. Kerinduan ini menguatkan lagi rasa dan cita. Masanya pasti tiba juga nanti. Berkat doa umi dan abah, kuat usaha dan iktiarku, dengan izin Allah, segalanya bukan mustahil. Aamin.

Monday 20 June 2011

Dongeng Tunggul Unggul

Tersebutlah kisah di sebuah Kampung Senget Sebelah, di tengah sawah padi yang terbentang hijau, tertegaklah tiang sebatang, terdirilah sebuah rumah batu, beratab asbestos, ala sederhana besarnya. Terjonggol dari jauh, terngangalah sebuah lubang dari sebuah bilik. Itulah lubang untuk burung layang-layang keluar masuk.
Al-mahsyuklah, penghuni rumah tersebut seramai 7 orang. Ketua rumah tersebut bernama Pak Unggul. Bininya Mak Tunggul dan lima anaknya yang sedia patuh. Pak Unggul mempunyai semangat daya maju yang luar biasa. Kelima anaknya di hantar ke akademik tarian dan nyanyian yang letaknya kira-kira 20 kilometer jauhnya dari rumah Pak Unggul. Pak Unggul mahu kelima anaknya nanti akan menyambung warisan kebudayaan dan kesenian kerajaan Puting Beliung.
Berdiamlah Pak Unggul di dalam rumah itu bersama Mak Tunggul. Hari-hari yang diredahi, berdiam-diamlah sahaja kerana Pak Unggul dan Mak Tunggul tak serasi hidupnya. Pak unggul seorang yang menjaga penampilan dan mahu kelihatan sentiasa muda. Sedangkan Mak Tunggul hanyalah seorang yang kekampungan walaupun Mak Tunggul seorang yang berkerjaya. Mak Tunggul merupakan seorang cikgu. Jika sekali imbas, Pak Unggul dan Mak Tungguk hanyalah seperti adik dan kakak saja. Walhal, usia keduanya sebaya. Pak Unggul seorang yang pandai bergebang, manakala Mak Unggul pula seorang perempuan tua yang kaku. Berpatah ditanya, sepatah dijawab. Kebosanan sudah lama menjengah ke dalam diri Pak Unggul. Akan tapi, Pak Unggul pertahankan saja kehidupan bersama Mak Tunggul, kerana Mak Tunggul banyak berkorban harta benda di dalam jatuh bangunnya Pak Unggul dalam bidang perniagaan.
Berjalan-jalanlah Pak Unggul setiap hari. Bila balik, Mak Tunggul sudah tidur. Sewaktu Mak Tunggul bersiap-siap mahu ke sekolah, Pak Unggul masih membuta. Bila Mak Tunggul balik, Pak Unggul pula sudah keluar. Begitulah hari-hari Pak Unggul yang menjalani hidup selaku orang bujang saja. Maka, terjebaklah Pak Unggul yang sudah sekian lamanya bercita-cita mahu beristeri gadis yang dicintai di dalam kancah asmara. Jatuh asyiklah Pak Unggul pada Siti Bulan Selisih. Dipandang manis, ditenung manis, dipejam mata teringat, di dalam tidur termimpi-mimpi, di dalam sedar terbayang-bayang. Bertambah asyiklah Pak Unggul terhadap Siti Bulan Selisih. Setiap saat ingin bertemu. Siti Bulan Selisih juga demikian kisahnya.
Maka, berkahwinlah mereka tanpa diketahui Mak Tunggul. Tanpa sedikit syak wasangka, Mak Tunggul menunaikan rutinnya seperti biasa. Menyediakan makan minum, membasuh kain baju Pak Unggul dan sebagainya. Sedang Pak Unggul berbahagialah bersama orang baru yang jauh lebih muda dari Mak Tunggul dan pandai pula mengusik hati Pak Unggul. Bertambah sayanglah Pak Unggul kepada Siti Bulan Selisih. Makin dipandang, makin mabuk kepayang.
Akan perihalnya Mak Tunggul, menjengah tengah malam Pak Unggul pulang. Terkadang, tertunggu juga kepulangan suami. Apa daya, sudah tua baru terasa nak bermanja. Kekok dan canggunglah pula rasanya. Pak Unggul pula, tiada tanda-tanda mahu bermesra atau bergurau senda. Kerjanya bergaya dan keluar saja. Terloponglah Mak Tunggul seorang. Paginya pergi mengajar, bila balik tercongok seorang diri di ruang tamu. Sesekali ada juga menekan kekunci telefon dan mendail nombor Pak Unggul untuk bertanya mana dan di mana. Sepatah Pak Unggul jawab, talian dimatikan. Ruang untuk berbicara dengan lebih mesra sudah tandus. Hanya anak-anaklah harapan Mak Tunggul yang dapat membenihkan kemesraan antara mereka. Sebaliknya pada Pak Unggul. Pak Unggul tidak merasakan kekurangan tersebut. Baginya, hidup sudah lengkap. Punya anak dan isteri, ditambah pula seorang lagi isteri yang dicintai. Isteri tua, di situlah kalau dia tak meminta ke mana-mana. Isteri muda mesti dijaga. Belum dipegang kejap kukuh. Mana tahu, dilarikan teruna pula. Bertambah-tambah cemburu Pak Unggul terhadap Siti Bulan Selisih dan lebihlah perhatiannya. Siang malam pagi petang, hatinya hanya untuk Siti Bulan Selisih sahaja.
Tertunggullah Mak Tunggul tanpa tahu perihal yang sebenar. Seluas manalah bumi yang bernaung di bawah kerajaan puting beliung. Tahulah Mak Tunggul akan perkahwinan Pak Unggul. Bersiasatlah Mak Tunggul dalam ketunggulannya. Asal saja Pak Unggul ada di rumah, diperhatikan saja gerak gaya Pak Unggul yang tidak lekang dengan telefon di tangan. Jarinya tak henti menekan kekunci. Sekejap tersenyum, sekejap tersengih. Terasa dan tercuitlah hati dan perasaan Mak Unggul. Sepanjang 20 tahun bersama pun, Pak Unggul jarang seceria itu. Benarlah, hati Pak Unggul telah dirompak. Tatkala Pak Unggul ke bilik air, teraba-rabalah Mak Tunggul mencari telefon Pak Unggul. Disemak dan disimpan dalam kepala nombor telefon adik madunya itu. Sewaktu Pak Unggul keluar, digeledahnya fail-fail Pak Unggul yang tersusun kemas di atas rak dalam bilik. Sah, terjumpal sijil nikah. Mak Tunggul menangis tak berlagu. Berlarilah Mak Tunggul mendakap batas sawah. Hujan gerimis mula membasah bumi. Teringatlah Mak Tunggul akan lagu Allahyarham Sudirman. Suaranya mendayu-dayu menyanyikan lagu gerimis di lautan.
Gerimis di lautan
Kuubati lukaku sendiri
Namun parutnya terpandang jua
Apalah guna ke bendang padi seberang
Takkan menjadi
Apalah diharap sayang kasihnya orang,
Orang tak sudi
Oh biarlah..

Sunday 19 June 2011

Pusing-pusing hari sabtu

Tidak tahu mahu ke mana, jalan kaki saja ke Mahkota Parade. Tidak tahu nak buat apa, ke wonderland. Uji kelunakkan suara, mencuba skill bermain bola jaring, bermain tembak-tembak, dan beberapa permainan lagi. Dah habis ronda-ronda sekitar Mahkota Parade, ke Dataran Pahlawan. Ramainya manusia. Macam-macam fesyen dan ragam. Pelbagai keturunan dan bangsa. Melaka menjadi tumpuan dunia. Tiap-tiap hari didatangi pelancong. Terutamanya dari Singapura, dan China. Kalau Mat Salleh, datang berpasangan atau individu saja. Kayalah MBMB, hari-hari keluarkan resit saman. Pantang letak kereta tanpa kupon, terimalah surat cinta. Pemandu beca, fuh, memang buat duit. Bayangkan sejam, RM40, hari minggu naik sampai RM50. Menara Tamingsari pula, kalau dulu naik malam cuma RM10, sekarang, sebaik saja pukul 8 malam ke atas, dah kena RM15. Ish2, itupun 15minit saja. Jika berkemampuan lagi, silakan naik Ducktour pula. Dewasa RM38, kanak-kanak aku lupa. Tapi bawah 18tahun, RM27. Harga warga emas pula mungkin lain kot. Lupa. itupun harga 6 bulan yang lepas. Tahun 2010. Sekarang ni, mungkin dah dinaikkan sikit. Barangkali juga. Meriahnya Melaka.

Friday 17 June 2011

Sukarkah untuk menjadi seorang penulis



Teringat seloroh seorang rakan penulis, bila ditanya bilakah dia mula menulis. Jawabnya, sejak dari tadika lagi. Kata Pak Samad, seorang penulis adalah manusia yang luka, menulis adalah penawarnya. Kata seorang penyair dari Kelantan, untuk jadi penulis, harus bercinta, kemudian putus cinta, dan jadilah kita seorang yang terlalu puitis. Tertanya juga aku, bagaimana jika percintaan itu kekal. Tak jadi penulislah agaknya individu itu. Maksud penyair itu, samalah dengan apa yang Pak Samad kata, setelah menjadi manusia yang luka, menulis adalah penawarnya. Benar. Aku merasa lega sekali bila menulis. Tulis apa saja. Aku mendisiplinkan diri dengan menulis diari semenjak dari tingkatan 1 lagi. Aku rasa lapang sekali bila menulis di dalam diari. Walau hanya tidak terlalu peribadi, tetapi apa saja yang tak mahu diungkapkan, tulislah. Atau apa saja yang telah diungkapkan, tetapi masih terasa seperti tersekat-sekat, tulislah. Tulisan itu akan jadi begitu lancar sekali. Bila mahu menulisnya dalam bentuk yang puitis, aku belajar mengarang puisi. Namun, apabila merasakan terlalu panjang apa yang mahu aku zahirkan, aku belajar mengarang cerpen. Akhirnya aku berjaya menyiapkan sebuah novel.
Aku serasi di dalam bidang ini. Walaupun karya yang aku hasilkan tidak seberapa, yang penting aku telah menyumbangkan sesuatu pada sastera. Falsafahku senang saja, asal saja aku terus melangkah ke depan, aku akan sampai juga ke destinasi yang aku mahu tuju. Lambat atau cepat, tak menjadi soal. Bidang penulisan adalah bidang ilmu. Jika tidak menulis, aku membaca. Aku tidak rugi apa-apa.

Berhati-hati memilih kawan

Rindu pada kawan-kawan sekampus dulu. Kami berkawan dari minggu orientasi, sampailah habis belajar. Tidak terdetik perasaan dengki atau hasad. Saling membantu ketika susah. Bergelak ketawa, berbual mesra, bersenda gurau. Maggie sebungkus, boleh makan sorang sesuap. keakraban kami. Syang, masa berlalu pantas. 6 tahun berlalu. kami masih tetap berhubung melalui face book. Kemesraan antara kami masih seperti dulu. Rindu untuk bertemu. Masing-masing jauh, berkerjaya dan ada komitmen. Bilalah kami akan dapat berkumpul semula. Di sini, aku bertemu kawan baru. Tapi keakraban, kemesraan, gurau senda, tidak seakrab kawan-kawan yang dulu. Terasa seperti hidup ini tidak berkawan pula. Mujur ada kawan penulis. Minat dan rasa yang sama. Aku jadi serasi. Kita berbincang tentang buku. Tidak menyakitkan hati. Tiada yang dengki. Minda pun lapang.

Thursday 16 June 2011

Masa itu Emas






Masa itu emas, emas itu bukan masa, tapi berharga. Begitu berharganya masa. Membaca itu pula jambatan ilmu. Masa yang ada diisi dengan membaca. Senang kan. Bacalah apa saja, asal membaca. Sesekali membaca yang santai-santai, tukar pula kepada yang ilmiah, sastera, politik, agama. Pelbagaikan bacaan, ilmu berkembang. Teringat semasa berbengkel di Yan, Kedah, seorang pembimbing dari Indonesia berkongsi, bahawa setiap hari wajib membaca 3 buah buku. Politik, agama dan sastera. Membaca memnajdikan kita manusia yang berilmu. Semakin kita membaca, semakin terasa kita tak tahu. Iyalah, betapa banyaknya buku yang belum kita baca. Manfaatkan masa dari saat ini juga dengan membaca. Selamat membaca.

Andainya tiada tarikh, tiada hari..







Andainya tiada tarikh, tiada hari.. apa jadi ya. Pening. Tiada perancangan. Hanya ada gelap, ada siang, itu saja. Tiada apa-apa yang lain. Sehari terlupa tarikh, terlupa hari juga sudah cukup membuatkan kita kelam kabut. Terasa seperti ada kelainan saja. Terasa bahawa dhaifnya diri ini. Kerdilnya aku. Mudah lupa dan betapa diri ini serba kekurangan. Dari itu, aku belajar menginsafi diri. Alhamdulillah, ruang dan peluang menuju keinsafan masih terbuka. Terima Ksih Tuhan, kerana masih menyanyangi hambaMu.

Siapa Lebih Penting

Bila ibu panggil, bertangguh-tangguh. Kejaplah, nak sipakan itulah, inilah. Tapi bila telefon berdering, baiklah, datang sekarang. Gejala sebegini meruntuhkan rasa hormat kepada ibu bapa. Seolah-olah, kawan itulah yang harus diutamakan dulu. Sedarkah, siapa yang lebih penting. Ibu, mengandungkan selama 9 bulan 10 hari, mengusung perut yang bulat ke sana ke sini. Hendak berjalan pun susah. Perut ke depan, tangan mengusap-ngusap muka perut. Tanda sayang. Tiada rungutan berat atau sukar. Ketulusan kasih ibu, ketika mahu melahirkan. Bak kata pepatah, nyawa di hujung rambut. Kerana itu, Syurga di bawah telapak kaki ibu. Betapa tingginya darjat seorang ibu. Sewaktu menyusu, membesarkan, sehinggalah dewasa, ibu tidak pernah mengeluh. Menatang anak bagaikan minyak yang penuh. Tatkala dewasa, berkali-kali ibu memanggil, susahkah untuk sekali saja menyahut panggilan. Betapa degilnya kita. Ibu masih tak marah. Tidak juga merajuk. Makan pakai, tetap disiapkan. Hari-hari memasak. Dihidangkan menu yang menjadi kegemaran anaknya. Ada kita berterima kasih. Berterima kasih dengan membiarkan pinggan kotor berserakan, meja tidak berkemas. Begitukah terima kasih kepada ibu. Pejamkan mata seketika, tiba-tiba, ibu tiada. Ibu pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Bila bangun pagi, tiada lagi sarapan di atas meja. Kain baju tidak berbasuh. Rumah bersepah. Tiada suara lagi yang memanggil kita. Sunyinya. Rindu pada leteran ibu. Rindu sekali untyk mendengar ibu memanggil, dan teringin menyahutnya dengan pantas sekali. Masa tak mungkin berulang lagi. Penyesalan. Ibu, ibu, ibu.. maafkan anakmu.
Jadi, buka mata, buka hati, buka minda, ibu masih ada. Berbaktilah. Jadilah anak yang taat. Hilang seorang kawan, kawan yang lain akan mengisi. Hilang seorang ibu, tiada lagi ibu lain. Ibu angkat, ibu tiri, tidak sama. Mereka tak mengandungkan dan melahirkan. Hargailah ibu, umi, mama, mek, cik, mamie, mak, dan apa saja panggilan untuk seorang insan yang mengandung dan melahirkan kita.

Wednesday 15 June 2011

Pagi Di Sekitar Bandar Hilir

Tiap-tiap saat, aku ditemani bunyi bising. Yang lebih membingitkan telinga dan menyakitkan hati, bila motorsikal mat bertempik yang lalu. Adoi, benar-benar sumbing. Sering saja aku terfikir, mahu melastiknya dari jendela bilik. Barngkali, pemiliknya bangga kerana dapat menjadi salah seorang kepada penyumbang bunyi yang nyaring di tengah-tengah bandar. Lama-lama, aku menjadikan bunyi-bunyi tersebut seperti hiburan dikala sunyi. Tanpa deruan enjin bas, kebingitan enjin motosikal, ditambah pula dengan abang beca yang memainkan lagu sekuat-kuatnya, jadi tertanya-tanya pula bila sehari tidak mendengar bunyi itu. Sudah matikah mereka?
Walaupun setiap hari bising dan bising, aku tetap memilih untuk menyewa di sini. Ada untungnya. Bila terasa mahu ke Mahkota Prade, atau Dataran Pahlawan, aku hanya perlu berjalan kaki saja. Tidak terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas. Tak perlu menyewa hotel jika terasa mahu menikmati malam di sini. Bila terasa ingin melawat tempat sejarah, hanya beberapa puluh langkah saja, aku sudah boleh sampai ke A.Famosa. Mcam-macam ada.

Tuesday 14 June 2011

Konvensyen Penulis







26hb Jun 2011, bersamaan hari ahad, satu konvesyen penulis akan diadakan. Jom, kita pergi ramai-ramai. Jangan lupa bawa sebuah buku, nanti akan ada sesi "reading break". Berhenti membaca. Mesti best.

PHD

Apa yang aku mahu istilahkan dengan PHD. Tak lain tak bukan membawa kepada perasaan hasad dengki. Perlu ke dengki dan hasad kepada orang lain. Tidak perlu. Yang menentukan rezeki makhluk, adalah Allah swt. Doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal. Redha dan ikhlas. Bagaimanana hilangkan perasaan negatif ini. Pertingkatkan diri dengan taqwa. Jangan terpedaya dengan hasutan Iblis Laknatullah. Yakinkan diri, bahawa Allah tidak pernah menzalimi hambaNya. Sekiranya berlaku musibah, berdoa, berusaha mengatasi, beriktiar dengan cara halal, dan tawakkal. Perkuatkan diri dalam menempuh dugaan hidup ini. Jangan cepat melatah, mengata itu, menuding ini. Tenang. Jadi rasional dan positif. Katakan, sekiranya perjalanan hidup kita mendatar saja, ahhh, membosankan. Hanya satu warna saja, arrgggh, tentu menghambarkan. Yang mewarna-warnikan, inilah - cabaran-cabaran yang mendatang. Sekali berhalangan, usah sesekali berhenti. Tempuh dengan hati yang berani. Peduli orang kata, yang penting kita tidak menghalalkan cara untuk mendapatkan hasil. Pastikan kita berada di landasan agama yang betul. Bukan semua orang tumpang senang dengan kejayaan kita. Mungkin ada yang mahu tengok kita terus di bawah. Hah, inilah cabarannya. Kita tidak mampu merasionalkan manusia yang kurang waras ini. Tapi, kita mampu untuk mewaraskan akal fikir kita. Belajar menguasai emosi, bukannya dikuasai oleh emosi. Ketepikan manusia yang hasad dengki ini. Setiap perbuatan, ada balasannya. Insya'Allah.

Kebetulan berkebetulan

Sakit kepala datang. Seminggu masih tak kurang walaupun setelah mengambil ubat klinik. Kebetulan diperingatkan oleh seorang tua, berhati-hati ya nak. Ish, katanya ada orang nak khianat. Huh, ya ke ni? Gabra juga. Hmm.. apakata, minta tolong ustaz tengokkan. Dalam masa yang sama, pergi ke klinik lain, tukar ubat lain. Dalam masa yang sama juga, setelah telan ubat, sakit kepala kurang, dan dalam jangka waktu beberapa saat saja, ustaz tersebut mesej, katanya dia mengubat dari jauh. Menanyakan pula, apakah sakit berkurang. Aik, kebetulan yang berkebetulan betullah. Doktor tidak menanyakan apa-apa, hanya aku yang menyatakan apa-apa yang aku alami. Tetapi ustaz ni, menanyakan sesuatu. Sesuatu itu pula tidak pernah aku nyatakan kepadanya. Bila ditanya, aku mengiyakan. Memang ialah. Kebetulannya. Rezeki aku agaknya. Bila ada yang menganiaya, aku ini adalah orang yang teraniaya dan ingat ya wahai hamba Allah, doa orang yang teraniaya itu tersangatlah power. Hahaha, sukanya aku. Allah mendengar doa hambaNya yang teraniaya.
Allah juga Maha Mengetahui. Aku pula memang tak tahu apa-apa. Berdoa sajalah semoga dijauhkan dari balapetaka. Semoga dijauhkan dari fitnah dunia, semoga dijauhkan dari hasad dengki manusia lain, semoga dilindungi dari orang zalim, semoga dilindungi dari orang kafir. Aamin.

Monday 13 June 2011

Pahit dan Manis Kehidupan

Fitrah kehidupan ini, macam-macam ada. Bukan saja yang manis, tapi ada juga yang pahit. Jika yang manis, kita rasa, yang pahit, jangan pula kita ludah. Terimalah semuanya. Pasti ada hikmah untuk setiap apa yang berlaku. Terkadang, ada juga merasakan bahawa kehidupan ini tidak bermakna. Bermakna atau tidak, sebenarnya kita yang mewarnakannya. Hitunglah, betapa banyak nikmat yang Allah berikan kepada kita. Wajarkah, dengan hanya sedikit musibah, kita tiba-tiba saja mahu mengalah. Hidup ini bukan untuk kalah. Berjuanglah. Telusurilah perjuangan para sahabat, sekiranya dibandingkan dengan diri kita, hanya layak di hujung kuku saja. belum sebesar mana dugaan yang kita terima. Hanya kita yang cepat mengalah, mengeluh, dan merintih. Sedangkan, di depan, jalannya tidak selalunya berliku. Sesekali tersadung, bangunlah. Kenapa harus terus duduk mengusap kaki yang cuma sakit yang tak seberapa. Teruskan melangkah. Usah mengharapkan pertolongan orang lain. Masa senang, kawan ada di mana-mana. Sewaktu susah, kawan boleh hilang sekelip mata. Yang harus terus berjuang adalah kita, diri kita.
Lumrah kehidupan ini, terkadang langsung tidak kita terfikir. Ianya datang, secara tiba-tiba. Kita menjadi kelam kabut. Akhirnya berputus asa. Inikah yang layak dipanggil perjuangan. Jadi rasional. Seperti kita turun di medan juang, musuh bukan hanya di depan. Di belakang, Di kiri, Di kanan kita, ia mungkin datang. Jangan hanya menyangka, kawan adalah kawan. Tidakkah kita biasa mendengar istilah musuh di dalam selimut, gunting di dalam lipatan. Itu antara pepatah yang sering diungkapkan. Jangan memandang kosong. Berhati-hatilah.
Pahit dan manis dalam kehidupan, menjadikan kita matang. Mengajar kita erti kehidupan yang sebenar. Kematangan itu tidak boleh ditentukan hanya dari usia. Kesusahanlah yang banyak mengajar kita erti kehidupan yang sebenar. Susah pula, bukan dari segi materialistik saja. Duit ada, hati pula yang susah. Hati senang, tapi masih tetap terasa kosong di jiwa. Memang susah. Jika terus menerus menghitung yang sukar, sukarlah jadinya. Baik, mari kita perhitungkan pula nikmat Allah. Tak terhitung.Jadi, senang cerita, jadilah manusia yang bersyukur. Alhamdulillah.

Sunday 12 June 2011

Khurafat

Bila sebut khurafat, ramai yang dah tahu bagaimana amalan yang menyebabkan khurafat. Katakan, seseorang yang tidak rapat dengan kita, tiba-tiba meminta nama penuh kita daripada orang lain, yang mana orang tersebut juga tidak tahu apa nama penuh kita, sebabnya senang saja, kita memang tidak rapat dengan mereka. Sebelum nama penuh kita diminta, berlakunya sedikit salah faham. Kebetulan, selepas kejadian itu, orang itu disengat binatang pada bahagian muka dan mulutnya menjadi berot. Kita tidak tahu apa-apa pun. Wajarkah kita yang dituduh membomohi beliau. Ish, ish, ish, fitnah tu. Kenapa nama penuh diperlukan??? Itu yang menjadi tanda tanya. Katakan nak hantar surat layang, mustahil, alamat pun tak tahu. Kenapa tak telefon terus, walhal pernah ambil nombor telefon. Jika hanya untuk nak telefon saja, tak perlu nama penuh, sekadar tahu nama yang menjadi panggilan saja. Ish, ish, ish.. entah apa agendanya. Hanya Allah saja Yang Maha Mengetahui.
Setiap perbuatan itu, pasti akan ada balasannya. Sesuatu itu juga tidak akan berlaku jika tanpa izin Allah. Sekiranya ianya diperkenankan, itulah ujian untuk kita. Redha dan ikhlaskan saja. Kita masih wajib berikhtiar. Semoga setiap perbuatan zalim itu, menjadikan kita ini orang yang teraniaya. Tahukah apa yang yang orang teraniaya patut lakukan??? Berdoa. Sesungguhnya doa orang yang teraniaya itu tidak terhijab. Berhati-hatilah dengan doa. Kerana ianya lebih mustajab dari amalan khurafat. Doa merupakan senjata orang Islam.
Kenapa melakukan amalan khurafat??? Sesat. Jahil dalam agama, dan terpedaya dengan bujukan Iblis Laknatullah. Binauuzubillah. Semoga dijauhkan. Siapa pula yang sering terjebak dengan amalan ini??? Sesiapa saja berisiko jika tidak kuat menepis godaan Iblis Laknatullah. Persiapkanlah diri untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan. Sentiasa mengamalkan bacaan 4 Qul dan Ayat Kursi. Terutamanya setiap kali sebelum tidur malam. Asal saja merasa diri tidak tenteram, perkuatkanlah amalan membaca Al-Quran.. Sesungguhnya Allah tidak pernah tidur. Setiap detik doa hambanya didengar. Allah itu Maha Mendengar. Berlama-lamalah ketika berdoa. Allah sebaik-baik tempat untuk kita mengadu. Allah sebaik-baik tempat untuk kita merintih. Kita ini adalah hamba yang begitu kerdil. Insafilah diri. Setiap musibah itu menguji sejauh mana keimanan yang ada dalam diri kita. Ingat! Redha dan Ikhlaskan diri.

Saturday 11 June 2011

Kota Bharu Comel Sokmo


Bez ke Kota Bharu. Berkunjung ke Kampung Kraftangan. Pak Ayub, sifuku, masih setia di galeri. Sedikit uzur akibat kencing manis. Aku bertanya, bila mahu pencen (berhenti melukis), jawabnya sampai ke hujung usia. Bakatnya dilahirkan. Dia melukis semenjak kecil lagi. Sehingga sekarang, usianya sudah menjangkau 65 tahun. Aku terimbau semasa aku belajar melakar potret dengannya. Sekalipun tidak pernah keluar perkataan bahawa lukisanku tak comel. Semua comel. Cuma katanya, esok datang lagi, belajar lagi, pasti lagi comel. Aku teringin untuk belajar lagi dengannya. Tapi masa, kesempatan, dan usia. Ah, aku malu. Aku tak dilahirkan sebagai pelukis. Aku hanya minat. Aku tekun waktu dulu. Setiap hari aku ke galeri. Dari tidak pandai apa-apa, aku berjaya melukis potret. Namun, setelah lama aku tinggalkan, jari jemariku kembali kaku. Aku tidak boleh melukis lagi. Aku mesti bermula dari awal jika mahu. Aku mesti tekun seperti dulu. Tak mengapalah, kerana aku kini hanya bercita-cita mahu menjadi penulis saja. Setiap kali ke Kota Bharu, aku tidak pernah tidak ke Kampung Kraftangan. Di situ, aku belajar melakar wajah dalam sepi, mencari siapa? Sayang, guruku yang dulu sudah uzur.
Bez juga ke Jeram Pasu. Sebelum tu singgah di Pdang Pak Amat. Aku juga pernah berguru dengan Tok Ayah, yang mana usianya juga 65 tahun. Dia merupakan seorang guru silat. Aku adik-beradik belajar silat dengannya di rumahku. Setiap malam dia datang hanya dengan membonceng motor sahaja. Jauh tu, dari Padang Pak Amat ke Pulai Chondong. Dia juga tekun macam Pak Ayub. Mempelajari ilmu persilatan dari kecil, sampailah sekarang. Dengan Tok Ayah tidak pula aku bertanya, bila mahu pencen. Hanya aku tertanya-tanya, siapa bakal penggantinya nanti. Anak muridnya berpuluh ribu. 40 tahun dia menjadi jurulatih silat. 19 tahun dia menjadi mahaguru silat. Dia memiliki kapakaran dalam membuat gendang. Siapakah nanti yang bakal mewarisi kepakarannya itu. Anak-anaknya semua perempuan. Hanya ada 2 orang saja cucu lelaki yang masih kecil. Selama mengajar silat, dia tidak mengenakan apa-apa bayaran. Jika mahu dibayar pun dia tidak pernah mengambilnya. Katanya, dia mengajar bukan kerana duit.
Dua individu yang unik dan berbeza.

Wednesday 8 June 2011

titihayun

Menyimpan memori ini lama-lama, menjadikan ia sebuah nostalgia yang agak indah. 3minggu berlalu, Titihayun mengingatkan aku tentang titinya yang berhayun. Udaranya yang sejuk, dan hutannya yang sunyi.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger