Wednesday 27 April 2011

Antara dua darjat

Cerpen
Antara Darjat dan Durjana
Oleh : Sharifah Aisiah Syed Mahazar

“Kau sanggup memijak tradisi?”
“Ah, aku menyepak adat, menendang kefahaman lama yang berpaksikan materialistik semata.”
“Kau salah. Yang dirajakan keturunan. Ini tradisi keluarga kau.”
“Peduli apa aku. Segala tohmahan, akan aku terajangkan saja cemuhan tu.”
 “Bagaimana dengan maruah keluarga kau?”
“Maruah..? Aku bukannya mencomot arang hitam ke muka keluarga. Aku cuma mahu kawin dengan lelaki yang tidak punya gelaran di depan namanya saja.”
“Kulut Midah, Kulut Midah. Keluarga kau mahu menjodohkanmu dengan Kolot Budin. Kolot dan Kulut, barulah setaraf dan sekufu.”
            Semalam-malaman Kulut Midah bersengketa dengan diri. Bayangan dirinya datang lagi.
“Kau dah habis fikir ke Kulut Midah?”
“Entahlah.”
“Kahwin saja dengan pilihan keluargamu. Atau cari saja Kolot yang lain. Keluargamu takkan menghalang. Asalkan sedarjat.”
            Inilah yang merisaukan Kulut Midah. Hatinya sudah tersangkut pada M.Joli. Jika boleh ditukarkan rasa hati dengan mudah, tidaklah menjadi masalah. Payah, teramat payah. Kulut Midah belum cukup berani untuk bersuara pada keluarga. Dia tahu, keluarganya akan membantah. Lagi lagi, keturunan. Apalah yang ada pada gelaran semata. Kulut Midah semakin buntu.   
“Idah, kalau nak cari, biarlah yang sepadan. Idah tu perempuan. Kalau kawin dengan keturunan Kolot, anak Idah pun nanti kekal dengan Kolot. Kalau kawin dengan orang biasa, dah habis keturunan.”
            Terngiang-ngiang lagi pesan ibunya. Ringan saja mulutnya waktu itu untuk menyatakan bahawa Kolot mahupun Kulut bukanlah pakej yang lengkap sebagai jaminan sebuah kebahagian dalam perkahwinan.
            Ibunya Kulut Milah Al-Kukika, manakala ayahnya pula Kolot Yunus Al-Tatitu. Kulut Midah Al-Tatitu, mahu dijodohkan dengan Kolot Budin al-Dadidu.
******
“Apa yang kau pening-peningkan lagi. Kahwin saja dengan Kolot Budin. Lagi pula, dia tu Al-Dadidu. Bangsa yang tinggi budi bahasa. Kau juga tak kalah. Kulut Midah Al-Tatitu. Juga bangsa yang tinggi adat pekerti.”
            Kulut Midak mundar mandir di depan pintu bilik. Kakinya berat sekali untuk berdepan dengan ibunya. Dia mahu membantah saja dan memberitahu ibunya tentang cintanya yang sedang berputik pada seorang lelaki biasa.
“Tidak semudah itu. Apa yang kau tahu diri. Kau tahu makna cinta. Kau tahu!”
“Bukankah kata ibumu, cinta tak dapat membeli keturunan. Dan keturunan dapat membayar harga sebuah cinta.”
            Kulut Midah tersentak dengan keakuan dari diri.
“Ibu, ah. Ibu terlalu taksub pada keturunan. Al-Kukika atau Al-Tatitu atau juga Al-Dadidu, tidak menjamin Syurga. Agama, kau tahu. Agama yang mesti diutamakan.”
“Buktikan Kulut Midah. Perjuangkan cintamu itu. Leburkanlah pegangan tradisi keluargamu, malah keturunanmu.” Kali ini, suara diri seperti membela Kulut Midah.
“Tapi, aku belum bersedia. Ah, jika aku membuat pilihan begini, aku pasti, ya.. aku pasti, aku akan dibuang keluarga.” Hati Kulut Midah tiba-tiba menjadi kecut mengingatkan akan kata-kata ibunya beberapa malam yang sudah.
“Kalau Idah dah ada pilihan pada mana-mana Kolot yang lain, bagitahu saja ibu. Barangkali, ibu kenal keluarganya. Keturunan kita ni, tak ke mana simpul jalinnya. Sudahnya, jika disalah-silahkan, keluarga kita juga.” Tersenyum lebar Kulut Milah Al-Kukika.
“Jodoh bu, bukankah semuanya telah termaktub.” Perlahan saja susun kata yang Kulut Midah ungkapkan.
“Jodoh, memang! Tapi Idah mesti ingat, kita yang usahakan, kita yang ikhtiarkan.” Tegas saja bunyinya.
“Bagaimana kalau Idah ditakdirkan kahwin dengan orang biasa saja bu.” Kulut Midah cuba menduga.
“Niat, yang penting niat hati kita. Kalau Idah nak kahwin juga dengan orang biasa, buang keturunan kita. Alang-alang Idah. Idah pun jangan pakai gelaran Kulut lagi.”
            Susah, kepercayaan dipegang dari turun temurun dan keturunan yang diagung-agungkan. Hairan sekali. Kenapa serendah ini akal keluarganya. Tidakkah mereka tahu, kerja Tuhan itu berseni. Tiap-tiap yang ditentukan ada baik dan buruknya. Tidakkah mereka mengambil iktibar. Kolot berkahwin dengan Kulut, bukan semua kekal dan bahagia. Tidakkah ibunya masih ingat! Ibu saudaranya Murni Al-Kukika dijodohkan dengan Mail Al-Habiba, tak sampai 3 bulan, bercerai-berai. Sampaikan naik turun mahkamah. Sepuluh tahun, sepuluh tahun keturunan Al-Kukika tidak bertegur sapa dengan keturunan Al-Habiba. Inilah musibahnya jika kahwin Kolot dan Kulut. Kulut Midah masih ingat patah-patah yang keluar dari mulut neneknya, Esah Al-Sasisu.
“Dah takde jodoh. Kita ikhtiarkan saja. Redha sahajalah.”
            Begitu cepat mereka berubah-ubah. Sekejap menjadi manusia yang Redha, dan sekejap pula boleh menjadi manusia yang alpa.
“Kalau dah jodoh, ibu tak Redhakah?” Kulut Midah beranikan juga bertanya.
“Redha, kalau Idah kahwin dengan pilihan keluarga atau kahwin saja dengan mana-mana Kolot pilihan hati Idah. Tapi kalau kahwin dengan lelaki yang tak sedarjat dengan Idah, itu mencari penyakit namanya.”
******
            Kulut Midah masih lagi termundar-mandir di dalam bilik. M.Joli sudah beberapa kali mendesak untuk membawa keluarganya masuk merisik. Kulut Midah minta ditangguhkan dulu. Ibunya mesti dipujuk, walaupun Kulut Midah tidak yakin ibunya akan termakan pujuk. Tidak semudah itu. Tetapi Kulut Midah mendoakan sungguh-sungguh ke hadrat Ilahi agar dilembutkan hati seluruh keturunannya. Agar mereka diberikan akal yang waras, akal seorang Muslim dan Muslimah sejati. Bukannya akal Kolot dan Kulut. Bukannya akal Al-Kukika, Al-Tatuti, Al-Dadidu, Al-Sasisu dan apa-apa Al lagi.
“Kulut Midah, apa lagi yang kau tunggu. Pergi saja pada ibumu, pada ayahmu, pada nenekmu dan pada keturunanmu. Katakan saja, kau mahu menggadaikan keturunan kerana cinta. Bukannya menjual keturunan untuk memiliki cinta. Katakan saja.”
            Kulut Midah menepuk dahi. Dia juga masih ingat. Sepupunya disisih keluarga kerana memilih untuk berkahwin dengan pilihan hati. Sepupunya keras, dia berkahwin juga walau tanpa restu. Dia berkahwin dan dan pulang membawa suami. Dia dihalau dan dimaki. Hatinya memang keras, dia tidak menangis dan tidak pernah menyesal. Setelah 13 tahun, di pagi Aidil Fitri, dia kembali bersama 4 orang anak. Kulut Midah menyaksikan sendiri. Sepupunya mohon kemaafan ibunya, mohon restu ayahnya. Anak-anak sepupunya yang masih kecil, berpaut di kaki nenek mereka. Nenek dan datuk mereka terkedu.
Masing-masing yang ada hanya menunggu dan kaku seketika. Mereka tidak menyangka sepupu Kulut Midah akan pulang setelah 13 tahun. Si datuk hanya mengangguk dan menyapu sesuatu yang keluar dari anak mata. Tandanya dia menerima anaknya kembali. Dan si ibu, setelah diam yang agak lama, meraung hiba. Dipeluk dan dicium anaknya itu. Cucunya dipaut erat. Dan yang lebih menghibakan, katanya; sudah lama dia menunggu kepulangan anaknya. Sudah lama dia merindui cucunya. Dan sudah lama dia merestui menantunya. Kerana sudah lama dia insafi bahawa; siapalah kita. Itu, peristiwa itu. Ibuku ada bersama. Ibu juga turut menangis dan memeluk hiba anak saudaranya. Hanya itu sahaja.
Kulut Midah menghempaskan diri ke atas katil. Kakinya disilangkan. Matanya merenung siling. Dia sedar, dia anak pertama dan merupakan cucu sulung. Neneknya pula seorang yang kuat berpegang pada adat. Mahu saja dia katakan pada neneknya; keturunannya sajakah yang beradat. Mahu saja, tapi dia tidak mampu. Kulut Midah tersepit dan sakit dengan sikap ego keluarganya. Kulut Midah berkira-kira, bagaimanakah mereka ketika Id mereka dilahirkan. Apakah Id terlalu memanjakan mereka. Apa pula yang dibuat oleh superego, sehinggakan mereka menjadi terlalu ego. Bukankah tugas Superego untuk mewaraskan Id dan Ego.
“Bangun Kulut Midah. Pergi pada ibumu. Bangun! Beranikan dirimu. Bergantunglah kepada sunnatullah dan ‘inayatullah.” Suara diri semakin mendesak.
Kulut Midah masih merenung siling. Mata fikirnya kian menumpul. “Sunnatullah? Inayatullah? Apa yang kau maksudkan?” Kulut Midah mengalihkan pandangan pada seraut jasad yang menyerupai dirinya.
            Angin malam menyapa ganas jendela biliknya yang dibiarkan terbuka. Langit mula bertukar wajah. Rembulan menyusupkan diri di balik awan. Bintang-bintang lari bersembunyi. Awan berarak kelabu. Memuntahkan isinya yang sarat.
Halusinasi dirinya merenung sinis. “Apa, kau lupa atau memang tidak tahu? Sunnatullah, sunnah-sunnah Allah yang berupa hukum alam. Berlakunya sesuatu itu sepertimana Allah menghendakinya. Berakibat dan ada sebabnya. Dan kau, sebagai manusia yang dikurniakan akal yang waras mestilah berinisiatif dalam berdepan dengan semua dugaan yang kau terima. Tidak ada yang mustahil untuk kau, sekiranya ada inayatullah – iaitu pertolongan dari Allah. Pergilah Kulut Midah.”
            Anak mata Kulut Midah semakin mengecil memandang ke arah bayangan dirinya. Dia semakin binggung. Dirinya seperti terkena impak psikologi yang cukup mendalam. Dia gagal memilih antara cinta dan keluarga. 


0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger