Tuesday, 5 April 2011

Tok Ayah

Cerpen
Tok Ayah
Oleh : Sharifah Aisiah Syed Mahazar

“Aku! Tak, tak mungkin aku.”
“Tok Ayah yang cakap,” Khalil menegaskan pada aku.
“Sahih ke?” Aku bersungguh mahukan kepastian. Walaupun serasa-rasa tak mungkin.
        Adikku Abe, baru saja tamat latihan seni silat tari. Belum panas punggung duduk di rumah, kampung sebelah dimeriahkan dengan acara pembukaan seni silat tongkat gayuman gerakan 1. Abe masuk pula belajar silat di gelanggang yang baru saja dibuka. Jurulatihnya merupakan orang Kampung Chekok. Hanya 4 kilometer saja jaraknya dengan tempat gelanggang silat. Hampir 3 bulan juga seingat aku, Abe berguru. Malam berlimau dan malam penutup gelanggang disambut lebih meriah berbanding hari pembukaan dulu. Aku juga turut menyaksikan pahlawan-pahlawan Melayu yang tak terunggul di Malaya, tapi cukup hebat membuat persembahan silat yang menggabungkan tiga versi iaitu gayuman, tongkat dan pedang. Berapi mata pedang yang tumpul itu, apabila diasak.
        Pada malam itu juga, Tuan Mahaguru Haji Hamdi Abdul Ghani diperkenalkan oleh pengerusi silat tersebut. Sederhana saja orangnya. Generasi dulu memanggilnya Wak Di, manakala generasi terkini memanggilnya Tok Ayah. Aku kira umurnya dalam lingkungan awal 60-an-. Sehari selepas tamat perguruan, Abe, aku dan umi bersembang tentang persembahan silat tersebut.
“Masa belajar, adalah juga Tok Ayah datang. 3 kali rasanya. Tapi datang tengok-tengok je.”
        Aku yang sedang membelek-belek majalah Apo mendengarnya tanpa menyampuk barang sepatah. Umi sedang lipat kain dan sekali-kali mata umi berkalih ke arah Abe.
“Dah lama ke Tok Ayah mengajar silat?” Tangan Umi masih leka melipat helaian baju.
“Tak pasti pula Abe. Tapi adalah dengar-dengar dari budak-budak lama. Katanya dah lebih 40 tahun.”
“Tapi, gerak tari dan pencak silat tongkat dan pedang yang dipersembahkan, menariklah juga.” Aku sekadar menyambung saja. Itu pada pandangan mata aku. Selok-belok selebihnya tak pula aku ketahui. Entah betul atau entahkan salah. Aku mengiyakan saja.
        Beberapa minit selepas perbulan kami, kedengaran enjin motosikal masuk ke laman rumahku. Abe cepat-cepat menjengah dari jendela.
“Umi, Tok Ayah datang.”
        Aku cepat-cepat mengaut helaian kain dan bawa masuk bilik. Umi bergegas mengambil tudung.
“Pelawa Tok Ayah naik.” Gesa Umi.
        Abe menyambut Tok Ayah dengan senyuman dan mempelawa Tok Ayah naik sambil menghulur jabat tangan.
“Kau jangan pandai-pandai bawa cerita.” Aku gusar itu hanya berita bohong saja. Barangkali Khalil saja mahu menyedapkan hatiku.
        Ah.. takkanlah. Lagipun, aku bukannya berminat sangat hendak mendalami seni silat tersebut. Aku sudah selalu sangat mengah setiap kali menaiki tangga Famosa, inikan pula nak membuka langkah dan menangkis serangan lawan yang begitu cepat dan pantas. Kerapkali aku tewas di gelanggang setiap kali berlatih dengan Abe. Aku tidak mahu lawan lain.
“Kalau setuju, baiklah dimulakan secepat mungkin.” Tok Ayah tersenyum puas. Lantas meminta diri untuk pulang. Selepas hari itu, kerap sekali Tok Ayah berkunjung ke rumah kami untuk mengajar aku 4 beradik.  
“Tok Ayah mendukung amanat. Selama lebih 40 tahun Tok Ayah memikulnya.”
        Umi, Abah, aku dan Abe mengamati saja apa yang sedang disuarakan oleh Tok Ayah. Dua orang adikku yang perempuan, tiada di rumah. Aku mula bertanya dengan penuh minat.
Ya.. Tukku Paloh. Sebelum aku meneliti sejarah ulama nusantara, aku juga tidak tahu siapa Tukku Paloh. Tapi aku kerap mendengar nama Tukku Paloh disebut-sebut oleh bapa saudaraku, abang abah. Abe meminati gerak tangkis silat sejak kecil. Setiap kali bapa saudaraku melihat Abe berlatih silat sendiri, bapa saudaraku akan berkata;
“Gerak kaki Tukku kita lagi pantas.”
Terkadang bapa saudaraku  berkata; “Kalau Tukku Paloh masih ada, Abe tak payah berguru dengan orang lain. Boleh saja menuntut dengan tukku kita.”
        Bertahun-tahun, aku hanya mendengarnya saja dan menganggap Tukku Paloh, cuma tukku kita. Sedang Tukku Lah, bapa abah, sudah 10 tahun kembali ke Rahmatullah.
“Tok Ayah, dari mana asalnya silat ni?”
        Tok Ayah menerangkannya dengan panjang lebar.
“Tok Ayah mewarisinya dari Tok Walid. Bapa saudara Tok Ayah. Tok Walid pula menerimanya dari Tok Ayah Man, datuk saudara Tok Ayah iaitu bapa saudara Tok Walid.” Asap rokok berkepul-kepul keluar dari mulut Tok Ayah. Habis sebatang, sebatang lagi dikepit dibibir, lalu dicucuh api. Tok Ayah menyambung lagi. Aku semakin berminat untuk mendengar.
“Tok Ayah Man menuntut ilmu di Mekah selama 30 tahun. Di sana, Tok Ayah Man telah belajar silat gayuman dengan Tukku Syed Sagaf, anak kepada Tukku Paloh. Gelanggang pertama yang Tok Ayah Man buka adalah di laman rumah Tok Ayah, di situlah. Tapi hayat Tok Ayah Man tak panjang. Sesudah tu, Tok Walid pergi ke Paloh, Terengganu untuk mendalami seni silat ni.”
        Tok Ayah berhenti sekejap untuk meneguk air teh’o yang dibancuh oleh Umi.
“Jemputlah kuih akok tu Tok Ayah.” Abe mempelawa dengan penuh sopan.
        Aku mendongak ke awan biru, sudah tidak secerah tadi. Burung layang-layang sudah terbang pulang. Abe bangun untuk memetik suis lampu Kalimantang. Tok Ayah menyambung semula.
“Bukan senang Tok Ayah nak mengendong amanah Tukku ni Abe.” Matanya merenung tajam ke satu sudut yang kosong. Entah apa lagi yang difikirkan oleh seorang tua sepertinya.
“Tok Ayah sempat ke bertemu mata dengan Tukku Syed Sagof?” Aku sekadar cuba-cuba menduga ingatan seorang tua sepertinya saja, walapun aku sendiri dapat mengagak zaman Tukku Syed Sagaf dengan zaman Tok Ayah jauh sekali. Ternyata Tok Ayah menjawab jujur.
“Tak sempat. Dengan Tok Ayah Man pun tak sempat. Tok Ayah cuma rapat dengan Tok Walid je. Sebelum Tok Walid meninggal, Tok Walid berpesan pada Tok Ayah supaya membuka gelanggang di segenap pelusuk daerah di Kelantan. Jangan berhenti dan sehingga satu masa Tok Ayah akan berjumpa dengan anak cucu Tukku Syed Sagaf, susur galur dari Tukku Paloh.” Tok Ayah diam. Sepertinya cuba mengingat sesuatu.
        Kali pertama Tok Ayah datang ke rumahku, kami tidaklah berbicara seperinci ini. Tok Ayah hanya memberitahu secara kasarnya saja. “Abe adalah pewaris silat ni. Tok Ayah dah buat perhitungan ilmu yang telah Tok Ayah pelajari selama 40 tahun, di suatu masa Tok Ayah akan ketemu juga. Umurnya, gayanya dan susuk tubuhnya, macam Abelah.” Abe adalah panggilan kepada adik lelakiku kerana merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarga.
        Satu hari, kami sekeluarga menziarah ke rumah abang abah yang berada di Tanah Merah. Abe menceritakan hal ini kepada bapa saudaraku dan meminta kepastian dari bapa saudaraku tentang susur galur keturunan  kami. Lalu terjadilah begini. Syed Abdul Rahman (Tukku Paloh), Syed Sagaf, dan Syed Mustafa adalah nama yang kerap disebut oleh bapa saudaraku. Dia selalu bercerita tentang Tukku Syed Mustafa yang berasal dari Paloh, Terengganu. Selepas Tukku Syed Mustafa, Tukku Tuan Embong, Tukku Tuan Yam, Syed Mahazar dan generasi ke-7 adalah adik lelakiku, Syed Mohd Ridhuan.
        Sesudah hari itu, barulah aku sedikit rajin mengkaji siapakah Tukku Paloh yang selalu bapa saudaraku dan Tok Ayah ceritakan. Barangkali kerana aku tidaklah bersungguh, aku hanya terjumpa nama-nama yang sama seperti Tukku Syed Mustafa, Tukku Tuan Embung, Habib Zain, Habib Nuh, yang aku perasan saja. Nama-nama seperti itu terdapat pada saudara-saudaraku di sebelah abah. Nama yang sama pada individu berbeza, tapi salah-silah yang sama. Lagi pula, Tukku Paloh mempunyai 21 orang anak dari 8 isteri. Merupakan satu kesukaran untuk aku jejak satu persatu warisnya yang masih ada.
“Kalau kau tak percaya, baik kau sendiri je yang tanya Tok Ayah.” Beriya Khalil mahu membenarkan katanya.
        Aku tidak mahu terlalu ambil cakna pada kata-kata Khalil, walaupun Khalil adalah anak murid lama dan sedia maklum pada setiap ucap kata gurunya itu. Perjalanan Tok Ayah selama lebih 40 tahun dalam seni pertahanan diri ini, merupakan pengamatan yang terlalu dalam dan sukar dimengerti. Siapa yang berhak menggantikan beliau dan membimbing kesinambungan silat ini, masih tiada siapa yang tahu. Barangkali sudah ada dalam pengamatan seorang mahaguru, atau masih mencari di antara yang layak. Manakan dapat sagu, kalau tidak dipecahkan ruyung?
        Atas hambatan masa, kerjaya dan pelajaran, kami adik-beradik tidak lagi meneruskan pencak silat ini. Tok Ayah juga sudah jarang berkunjung ke rumah. Jika menziarah pun, sebagai tali silaturrahim sahaja, bukan lagi sebagai mahaguru silat. Tentunya itulah harga yang paling mahal sekali. Abe bekerja sebagai kerani di pejabat kuari, hanya 5 kilometer saja dari rumah. Adik perempuanku melanjutkan pelajaran bagi peringkat ijazah di Uitm Shah Alam, sesudah tamat pengajian diploma di Uitm Dungun. Manakala adik perempuan bongsu pula berada di pengajian matrikulasi, jauh di utara. Dan aku.. berkelana di bumi Hang Tuah. Memilih untuk menjadi penulis sepenuh masa selepas tamat pengajian dalam bidang psikologi.
“Sudahlah, biarlah siapa yang layak saja.” Aku tidak berminat lagi mahu bercakap panjang lebar tentang sesuatu yang masih lagi rahsia pada Tok Ayah.
        Pertemuan antara aku dan Khalil yang secara kebetulan saja di Pantai Tanjung Bidara petang itu, merungkaikan satu lagi persoalan. Khalil yang sedang menjalani latihan tentera di kem Sungai Udang sudah kuanggap sebagai adik-beradik seguru. Khalil juga, bukanlah orang lain dengan Tok Ayah. Ayah Khalil adalah anak saudara Tok Ayah.
          Aku masih ingat penjelasan Tok Ayah tentang silat. Kata-katanya masih segar dalam ingatanku. Gerak, garit, pandang dan tilik. Tok Ayah sedang bersilang kaki atas kerusi kayu di laman rumahku. Kami adik-beradik duduk semeja dengan Tok Ayah. Umi menghidangkan air teh’o bersama goring pisang panas. “Dengan Abe adik-beradik. Sebagai pesilat, jangan hanya tahu menghayun langkah saja. Kena tahu, kena faham. Apa itu gerak, garit, pandang dan tilik.” Tok Ayah telah liur. Dia meneguk teh’o. Tangannya mengambil sekeping goreng pisang panas.
Kami sedia menunggu Tok Ayah menghabiskan goreng pisang di tangannya. Kemudian menyambung lagi. “Gerak adalah langkah yang jelas dan nyata seperti tangan di hayun untuk menggayung.”
Aku mendengar dengan penuh minat. Jari telunjukku diletakkan di bibir. “Bagaimana nak pastikan gerak Tok Ayah?”
Tok Ayah menyeluruhi wajah kami adik-beradik. “Gerak boleh dipastikan dengan mata kasar. Garit pula hanya terbayang dengan niat. Maksud Tok Ayah, belum ada gerak, tapi sudah ada tandanya. Tarik hembus nafas sudah boleh membayangkan garit. Demikian juga kerlipan mata. Garit dilihat dengan mata batin yang disebut tilik atau pandangan makrifat. Pemati langkah dalam silat perlu untuk menyambut serangan lawan. Tumbuk lawan harus ditempiskan, tetapi tempisan perlu bersifat sentuhan yang mematikan.”
“Bagaimana kalau lawan datang dari depan atau belakang?” Abe semakin ingin tahu.
“Kalau lawan datang dari depan, kita dapat pastikan geraknya dengan pandang mata kasar. Kalau dari belakang dibalas dengan sambutan makrifat dan seterusnya dimataikan dengan sentuhan makrifat.”
Pada hari berlimau kami adik-beradik, aku lihat Tok Ayah mengesat-ngesat hujung mata dengan lengan bajunya. Katanya, begitu berat sekali mahu melepaskan kami adik-beradik. Bukannya kami tidak mahu terus berguru, tetapi hambatan masa. Bukanlah kerana kami tidak sabar dan mahu menadah mangkuk-mangkuk ilmu supaya cepat-cepat penuh. Kami tahu, petua seorang mahaguru, takkan menurunkan ilmu sekaligus. Hanya yang kekal berguru saja akan terus menerima titisan ilmu beliau. Realiti hidup ini melalui peringkat demi peringkat. Jalan ke Syurga sekalipun tiada jalan pintas.

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger