Thursday 21 June 2012

Bersedia melalui jambatan hidup

Jambatan terpendek adalah putus asa. Jambatan terpanjang merupakan pengharapan. Jambatan terkuat hanyalah iman. Jambatan termahal ialah sebuah pengorbanan. Manakala jambatan terindah sebuah kasih sayang. Jambatan mana yang mesti kita pilih. Saat diri terkulai disebat duka, terasa seperti mahu saja melalui jambatan yang paling singkat. Namun, bukan itu kehidupan yang diri mahukan. Diri harus berjuang, meredah duri-duri ranjau dengan senyum yang paling manis. Andai sebuah hati telah musnah dihempap kecewa, diri punya sebuah lagi hati untuk meneruskan perjuangan ini. Sesekali tidak akan mengalah atau pasrah begitu saja. Walau diri mengerti, tiap-tiap ketetapan telah sedia ada, namun tidak semudah itu diri mahu menyerah dengan hati yang kalah. Kata dari seorang kawan aku semat kemas. Hidup ini payah, ingatlah kita masih ada Allah. Kala diri terasa begitu lemah untuk meneruskan langkah, kala terasa seperti mahu menangis di bahu kawan, itulah pesan yang diri pegang. Kita masih ada Allah. Bukan semua harus kita kongsi. Ada yang terlalu berat untuk dizahirkan dengan kata. Payah. Ya- memang payah. Namun, kepayahan itu tidaklah apa-apa jika dibandingkan dengan kesusahan para sahabat dulu. Apalah sangat yang diri hadapi, andai diukur dengan derita para anbiya. Diri tetapkan, mesti kuat jika mahu hidup. Orang lemah akan mati sebelum dimatikan. Berjuanglah diri dengan senyummu yang paling manis.

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger