Friday 12 August 2011

Hati mereka masih seperti kita

Tidak terungkap bila memikirkan tentang mereka. Relakah mereka menjadi begitu. Deritakah mereka diperlakukan sedemikian. Ya - PELACUR -. Kenapa wanita melacurkan diri? Terjebakkah atau itu jalan yang mereka pilih. Jika diikutkan sejarah pelacuran di Malaysia, kegiatan pelacuran di Malaysia dikatakan telah bermula seawal abad ke-18 lagi iaitu apabila berlakunya kemasukan imigran-imigran dari China dan India secara besar-besaran untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah dan juga di ladang-ladang getah iaitu sejak 1830-an lagi. Kehadiran imigran-imigran ini terutamanya buruh-buruh lelaki yang ramai telah mengakibatkan golongan wanita semakin berkurangan daripada lelaki.

Situasi ini telah menyebabkan berlakunya penyeludupan golongan wanita dari luar negara secara besar-besaran bagi memenuhi tuntutan permintaan yang tinggi terhadap golongan wanita terutama dari segi tuntutan nafsu iaitu melalui aktiviti pelacuran. Mengikut statistik Polis Kuala Lumpur melalui sumber Utusan Malaysia, mendapati bahawa kaum Melayu merupakan kaum yang paling ramai terlibat dalam aktiviti pelacuran iaitu sebanyak 60%, diikuti dengan kaum Cina sebanyak 30%, lain-lain kaum pula sebanyak 8% dan kaum India dengan peratusan yang paling rendah iaitu sebanyak 2%.

Ish, ish, ish, anak Melayu juga yang mendahului. Melayu yang dilahirkan dalam keluarga Islam pada awalnya. Jalan begini juga yang dipilih. Ada yang jahil sendiri, mendambakan kesenangan dengan menjual maruah diri kepada lelaki jalang. Bagaimana pula dengan yang dipaksa, terpaksa atau itu saja pilihan yang ada kini. Cuba lihat - berapa ramai anak-anak gadis yang diperdaya untuk bekerja di bandar, akhirnya tertipu. Mereka dinodai. Akibat terlalu beremosional, dikuasai satu perasaan bahawa diri sudah tidak suci lagi, hidup sudah tidak menjanjikan apa-apa lagi, akhirnya mereka memilih untuk jadi begitu walau hati terluka. Kasihan. Mereka mangsa. Selamatkan anak-anak Melayu. Islam panduannya. Insya'Allah, Allah tidak pernah menzalimi hambaNya.

Kegiatan aktiviti pelacuran terdapat di hampir semua bandar di negara ini. Ini boleh dikatakan bahawa hampir setiap bandar mempunyai aktiviti pelacuran. Contohnya di Alor Star, aktiviti pelacuran terdapat di Lorong Petani, di Bukit Mertajam dan Jalan Mengkuang di Pulau Pinang. Di ibu negara iaitu Kuala Lumpur, antara tempat aktiviti pelacuran yang terkenal ialah kawasan Lorong Haji Taib, Jalan Hickhs, Jalan Bukit Bintang, dan Jalan Thambitillay di Briekfields. Namun demikian, tidak seorang pun tahu bilangan pelacur yang terdapat di negara ini. Angka-angka yang diketahui adalah taksiran atau bilangan yang ditangkap dan angka-angka yang ada pun boleh dikatakan tidak selari.

Menurut laporan dari Pegawai Pencegah Maksiat, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Asisten Supritenden Choo Lily, sejak dari tahun 1996 sehingga Februari 2003, sebanyak 17, 448 wanita rakyat asing ditangkap. Hasil daripada tangkapan tersebut didapati bahawa rakyat asing dari negara Indonesia adalah paling ramai iaitu berjumlah 10,576 orang, diikuti dengan Thailand iaitu seramai 3,096 orang, Filipina pula seramai 1,794 orang, China seramai 1,149 orang, Uzbekistan seramai 388 orang, Kemboja seramai 107 orang, Rusia seramai 71 orang, Vietnam seramai 66 orang, Myanmar seramai 55 orang, India seramai 43 orang dan Taiwan seramai 21 orang. Manakala pelacur dari Ukraine pula seramai 17 orang yang telah ditangkap diikuti dengan Singapura seramai 12 orang, Kazakstan seramai 10 orang dan Columbia pula seramai 9 orang yang berjaya ditangkap.

Kalau dikaji dan diperhatikan, mengapa terlalu ramai warga asing terlibat dalam pelacuran di Malaysia? Terdapat banyak persoalan yang boleh dipersoalkan dalam mengkaji masalah ini yang melibatkan warga asing. Ada pendapat mengatakan bahawa rakyat Indonesia yang melacurkan diri di negara ini kebanyakkanya terpedaya dengan sindiket pelacuran yang menyamar sebagai ejen pekerjaan dan menjanjikan kepada mereka peluang pekerjaan yang baik seperti pembantu rumah, pembantu kedai dan pekerja kilang. Mengikut data yang dikeluarkan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada 8 November 2005, Malaysia telah menyaksikan kes pelacuran kanak-kanak dengan purata 150 sehingga 160 gadis tempatan ditahan setiap tahun kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran. Ini dianggarkan bahawa seramai 150 ribu orang terbabit dalam kegiatan pelacuran dan daripada jumlah ini kebanyakkan melibatkan wanita dewasa. Siapakah yang bersalah dalam hal ini? Lelaki atau wanita? Fikir-fikir dan renungkanlah.

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger