Wednesday 20 February 2013

Dari Matanya Yang Berkaca

Kelahiran Syed Adil Rayyan membuka satu lorong kepada Ummi, Baba, Nenda, juga kepada Ummi Long. Lorong yang penuh liku-liku yang tajam. Syed Adil - nama panggilan Ummi Long buat anak saudara sulung yang comel. Perjalananmu 9 bulan 10 hari telah sempurna. Kau lahir ke dunia bersama anak matamu yang jernih. Di usiamu 5 hari, Ummi Long pulang untuk memangku satu-satunya anak saudara yang telah lama Ummi Long nanti. Sinar wajahmu yang bersih membuka naluri keibuanku. Desis hati, "anak saudaraku ini, akan kuberikan kau kasih sayang yang tak terjangkau 7 langit, mahupun tak terselam dalam tujuh dasar lautan."
Syed Adil - andai kata kau mengerti, kami... (mereka yang dewasa ini terhimpit di antara duri-duri yang ditabur di laluan lorong itu). Kekuatan Ummi, Baba, Nenda dan Ummi Long serta yang lain adalah dirimu. Kami teruji di sini. Benar - kami benar-benar diuji Ilahi. Dari matamu yang berkaca, Ummi Long tumpahkan titis-titis sendu. Sayu hati melihatmu dicengkam ketakutan. bibir kecilmu kebiruan. Kedua tanganmu tergenggam rapat. Suara kami yang menzikiri kalam Allah memberimu satu lagi cahaya kehidupan. Pada saat itu, Ummi Long lihat kekuatan Ummi-mu. Kekuatan seorang ibu yang masih dalam pantang menembusi hijabNya. Semoga Allah memberikan kami kekuatan. Hanya itulah yang terlafaz di bibir Ummi Long.
Syed Adil - setiap kali kau diribaan ibu saudaramu ini, setiap kali itu jugalah Ummi Long bisikkan padamu, jangan takut pada sesiapa mahupun apa, tetapi takutkan Allah. Moga kau akan mendewasa sebagai khalifah yang adil. Siapa saja yang menabur duri - semoga Allah membalasnya nanti. Bukan kau saja yang menderita. Nendamu juga merasakan kesakitan yang teramat. 2bulan usiamu kini, sudah 3 kali Ummi Long pulang. Seminggu - pergi dengan hati yang keliru. Pulang lagi selama 2 minggu - pergi dengan berat hati, dan pulang lagi setelah itu selama 12 hari. Hanya sekali ini, Ummi Long meninggalkan kau dan keluarga yang lain dengan hati yang Redha. Semuanya telah dan sedang kami ikhtiarkan. Semoga Allah pulihkan semula kebahagian keluarga ini.
Syed Adil - mungkin kerana kau di bawah jagaan ribuan Malaikat, mungkin kerana itu, kau mampu menempis sihir yang ditujukan kepadamu. Namun, kerana hijabmu dibuka, kau tidak mampu menutup mata setiap kali bayangan hitam itu muncul. Kau hanya mampu menangis, dan menangis. Sayu hati kami melihatkan keadaanmu. Setiap kali kau menderita begitu, Nendamu juga turut merasakan keperitan yang sama. Segenap sendinya bagaikan ditusuk duri yang teramat tajam. Kerana Ummi-mu masih dalam pantang, Ummi Long korbankan kerja-kerja yang terbengkalai, hanya untuk menjaga keluarga kita. Walaupun Allah sebaik-baik Penjaga, usaha dan ikhtiar daripada kita sendiri juga perlu.
Syed Adil - setelah dewasamu nanti, semoga menjadi khalifah yang adil. Jangan sekali-kali menzalimi orang lain. Setiap perbuatan mungkar itu pasti akan mendapat balasan. Masanya akan sampai nanti. Ummi Long akan simpan dan ingatkan kau nanti, si fulan binti si fulan(pada saat terbongkar segalanya), itulah manusia yang telah menzalimi keluarga kita. Itulah manusia yang telah melukakan Ummi, Baba, Nenda dan Ummi Long. Itulah manusia yang telah membuat seluruh ahli keluarga kita menderita.
Syed Adil - biar apapun yang Allah timpakan ke atas kita, anggaplah itu sebagai peringatan dan itulah tandanya Allah sayangkan kita. Hikmahnya tetap ada. Yang mesti kita pegang, bahawasanya janji Allah adalah benar. Allah tidak akan sekali-kali menzalimi hambaNya. Semoga keluarga kita diberikan kekuatan, diperteguhkan dengan kesabaran, dan dibekalkan ketaqwaan oleh Allah. Syed Adil Rayyan, walau apapun yang berlaku, ingatlah - KITA MASIH ADA ALLAH.:)

3 comments:

Akulah Guru Itu said...

Terbaik...panjang lagi kisah ni..nanti buat sambungan

Akulah Guru Itu said...

Terbaik...panjang lagi kisah ni..nanti buat sambungan

dakwah said...

Orng tnjung ke ni

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger