Friday 14 September 2012

Di takuk Aidilfitri

Syawal pergi meninggalkan jejak kenangan yang masih membaur wangian harum kemboja. Setiap kali Syawal, sehabis solat aidil fitri, sanak dan keluarga akan berjemaah ke kubur. Bersila di atas tikar yang dihampar, dan bertahlil. Sesudah itu, seorang akan menjadi ketua untuk memberikan wang atau duit raya kepada seluruh keluarga. Masing-masing yang mahu bersedekah akan menyerahkan wang kepada ketua, dan menganggar jumlah kaum keluarga yang ada dengan jumlah duit, kemudian kanak-kanak didahulukan untuk beratur. Selebihnya dibahagikan kepada yang dewasa. Istimewanya, kami sekeluarga akan solat di Masjid "Tok Syed". Dan sesudah itu, menziarah ke kuburan "Tok Syed". Bukan bermakna ashabiah. Tetapi kuburan itu memang diwakafkan oleh seorang ahlul bait untuk ahlul baitnya yang lain. keluarga "Syed" yang meninggal, akan dikuburkan di situ. Manakala al-ajam pula ada tanah kuburan yang lain. Begitu juga dengan masjid. Ianya dibina oleh ahluh bait dan telah diwakafkan. Tetapi di masjid, sesiapa pun boleh solat. Tidak timbul soal ahlul bait atau al-ajam. Semua orang Islam bersaudara. Diri terfikir, andai kata tiada Syawal, masih bolehkah berkumpul sebegini bersama sanak saudara. Ya - masih boleh. Tetapi bukan dalam suasana yang gembira. Iaitu apabila adanya kematian. Syawal bakal berlalu dan diri tidak tahu, apa mungkin masih akan ada Syawal lagi atau inilah Syawal terakhir. Seperti juga Ramadhan yang pergi, dan tidak memberi diri sebarang janji untuk bertemu lagi. Hanya masa dan Tkdir yang akan menentukan. Andai ini Syawal terakhir, diri pasti akan pergi dengan kenangan yang abadi. Baru saja beberapa minggu, diri sudah terasa mahu pulang lagi. Mahu berkumpul dan berziarah ke rumah sanak saudara. Namun diri terhimpit dengan tugasan dan hambatan masa. Raya Aidil Adha, diri akan pulang dan berziarah dan tentunya yang paling meriah, kembali berkumpul sekeluarga. Rindu mula menggamit. Sejauh mana langkah meninggalkan tanah tumpahnya darah, hati dan jiwa sentiasa berdetik untuknya. Rasa ini tidak akan bergelora sebegini andai tiada perpisahan. Kerana itu perpisahan memang perlu. Barulah kita tahu ertinya rindu. Berjauhan sesaat mengukir rerinduan selamanya. Diri terasa seperti mahu menulis panjang dan begitu panjang. Terlalu banyak kenangan Syawal dan Ramadhan yang melekat di sanubari. Hinggakan tak terluah dengan kata-kata dan nukilan semata. Biarlah diri menelannya saja.

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger