Thursday 2 August 2012

Perjuangan

Jatuh bangun dalam kehidupan satu perkataan yang paling kerap disebut segelintir manusia yang berjaya. Belajar dari kegagalan. Sekali kalah, bukan beerti selamanya akan tewas. Jika mengalami seribu kekalahan, kita harus berusaha sejuta kali. Kemenangan sesudah kenal erti kecewa lebih mahal harganya. Hanya yang merasai saja mengerti maknanya. Barangkali kita punya 1000 sebab untuk menangis, namun kita masih ada 1001 alasan untuk terus tersenyum. Pengalaman hidup akan mengajar kita menjadi lebih matang. Kematangan itu tidak boleh dibeli. Hanya diri saja yang mampu mendapatkannya. Untuk berjaya, tiada makna kalah atau gagal. Yang mesti disematkan, usaha, doa, ikhtiar dan tawakkal. Usaha kemudian usaha lagi. Doa yang berterusan. Dan begitulah. Sentiasa mensyukuri nikmat Ilahi. Jauhi perasaan yang senantiasa mengeluh dan lemah semangat. Setiap individu yang berjaya pernah mengalami sesuatu yang sama seperti kita. Namun, mereka kuat dan tidak sekali-kali menyerah. Allah tidak pernah menzalimi hambaNya. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Setiap bebanan yang Allah timpakan ke pundak hambaNya bermakna Allah tahu, hamba itu kuat untuk berdepan dengannya. Jangan jadikan diri kita lemah dan menyerah semata. Gagal di jalan pertama, masih ada sejuta jalan bahagian yang menunggu. Sentiasa melihat dengan minda yang positif. Dengan hanya duduk dan menangis, tiada kejayaan yang akan datang bergolek. Harus bangun dan berusaha. Siapa kata kita diciptakan untuk gagal. Siapa pula yang sedar bahawa kita dilahirkan sebagai manusia yang berjaya. Untuk menjadi manusia yang berjaya dunia akhirat. Bukankah Rasul pernah berpesan, mahukan dunia dengan ilmu, mahukan akhirat juga dengan ilmu. Belajar dan didiklah diri untuk sentiasa berprasangka baik di atas setiap kegagalan. Brangkali usaha belum cukup dan Allah Maha Mengetahui setiap TakdirNya. Mengapa mesti mendera perasaan di atas setiap kegagalan yang dialami. Itulah pengalaman yang teramat bernilai. Hargai pengalaman tersebut untuk dibayar dengan sebuah kejayaan suatu saat nanti. Masanya akan tiba. Harungi hidup ini tanpa sebarang rungutan dan keluhan. Senyumlah kerana ada insan sebelum kita yang telah menderita lebih dari apa yang kita rasai.
Mawar yang harum masih ada duri di dahannya. Untuk memilikinya terkadang terpaksa melukai jari andai tidak berhati. Sentiasa belajar dari kekurangan diri dan menerimanya sebagai kelebihan yang tiada pada orang lain. Pasrah bukannya menyerah. Tetapi belajar mengikhlaskan diri dan Redha. Kemudian jadikan pedoman hayat dan teruskan melangkah sebagai hamba yang soleh. Derita kisah para nabi dan rasul jadikan inti kehidupan. Mudah-mudahan akan memberikan sedikit kekuatan dan keinsafan. Semakin banyak yang diharungi, semakin tebal semangat juang. Bukankah dikatakan hidup ini perjuangan. Untuk mendapatkan atau merealisasikan cita, wajib berusaha. Tiada yang akan diperolehi dengan mudah tanpa susah payah. Jika ada pun, tidak akan kekal lama. Lagipun, kejayaan yang diperolehi hasil usaha sendiri, itulah kemenangan yang abadi. Seperti terlalu banyak pula yang diri mahu catitkan. Hmm.. menarik nafas panjang, bukannya mengeluh. Tapi.. semoga diri meraih kejayaan di dunia dan akhirat. Semoga diri sabar dan ikhlas di atas usaha yang belum membuahkan hasil. Tandanya, diri mesti tingkatkan lagi usaha. Bermuhabah dan perbaiki kekurangan yang ada. Ingatlah wahai diri, usaha tangga kejayaan. Dengan Izin Allah, kejayaan pasti akan mendampingi sedikit masa lagi. Bersabarlah menanti, hanya sedikit masa saja. Selamat berjuang. Ameen.

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger