Thursday 22 March 2012

Rezeki yang direzekikan Allah



Terkejut! Seorang hamba menelefonku dan mengomel itu dan ini. Antara katanya begini. "apa perlu anak yang masih sekolah dibiasakan dengan solat dhuha. Buang masa saja. Sedangkan solat dhuha untuk mohon kekayaan. Walhal, anak yang masih sekolah tidak bekerja. Duit sekolah mak bapak yang bagi."
Angkuhnya manusia begini. Lupa bersyukur. Rezeki Allah untuknya barangkali hanya setakat itu saja. Rezeki yang melimpah ruah itu kemungkinan rezeki anak-anak yang disandarkan kepada mak dan ayah. Ceteknya akal. Apakah rezeki itu padanya hanya duit semata. Bukankah kesihatan, kebahagiaan, anak-anak soleh dan sebagainya juga adalah rezeki. Barangkali dia merasakan dengan duit dan kekayaan yang ada boleh membeli jiwa. Mampu membayar sebuah kesihatan tubuh badan. Dia juga boleh membuat transaksi untuk mendapat ketenangan hidup. Barangkali begitulah yang dia fikir. Semoga memperoleh Hidayah Allah.
Inilah yang dikatakan dengan ujian kekayaan. Semoga diri dan anda semua dijauhkan dari sifat bongkak, sombong dan angkuh begini. Teringat kata seorang kawan sewaktu bersembang di warung. Orang kaya lebih mudah menempah tiket ke Syurga. Iaitu dengan bersyukur, dan bersedekah dan ikhlas. Tetapi sikap sesetengah menusia yang mudah lupa usul diri di mana mereka bermula terkadang menjadikan mereka manusia yang baru lahir. Mereka bukan lagi mereka. Kemiskinan yang dulunya menguji kehidupan menjadikan mereka manusia yang sentiasa bersyukur dan berusaha mengubah hidup. Bila diuji dengan harta kekayaan, mereka tewas dengan nikmat dunia. Kasihannya manusia begini. Semoga mendapat Hidayah. Semoga diri dan anda semua dijauhkan dari bencana ini.
Walau bukan semua begini, tetapi sesetengahnya yang begini, sedarlah! Dalam soal ibadah, jika tidak mahu melakukan, tidak mengapa, tetapi jangan dipertikaikan. Tidak salah jika anak-anak yang dididik sudah menunaikan solat yang wajib, dibiasakan pula dengan yang sunat. Jika ibu bapa tidak mampu melakukan, janganlah diperkecilkan usaha anak-anak. Malah seharusnya bersyukur dianugerahkan anak-anak yang begitu. Itulah rezeki yang direzekikan Allah.

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger