Wednesday 14 September 2011

Pelarian Somalia - Antara Derita, Tangisan dan Harapan

Terletak di kawasan ‘Tanduk Afrika’ dengan berjirankan Kenya, Ethiopia dan Djibouti, di zaman kegemilangan peradaban Islam dahulu Somalia adalah merupakan wilayah Islam yang menyumbang kepada ketamadunan khalifah Othmaniyyah.

Dengan jumlah penduduk melebihi 7 juta orang, keharmoniaan kehidupan Islam mula terpukul apabila jatuhnya khilafah dan berlakunya pecah perintah di tanahair Islam Somalia oleh penjajah British dan Itali. Indoktrinasi bukan sahaja melalui pendidikan sekular yang dilaksanakan oleh penjajah, tetapi juga menyuburkan 'favouratism' kepada puak atau kabilah tertentu. Hasil peninggalan penjajah, Somalia yang awalnya tergabung sebagai satu bangsa, satu agama dan satu tradisi, akhirnya berpecah serta berbangga dengan kabilah atau puak, dan dari situlah bermulanya episod perang saudara sesama kabilah.

Lebih tragis lagi apabila penjajah menyerahkan sebahagian besar wilayahnya kepada Kenya. Sehingga kini, tiada erti kedamaian sebenar di bumi Somalia yang dapat memberikan peluang setiap penduduknya nikmati. Seawal tahun 90an, penduduk Somalia telah mula berhijrah mencari kehidupan baru di negara-negara jiran, khususnya Kenya.

Di kawasan sahara secara geografinya, bagaikan menjanjikan rakyat Somalia akan emas hitam dan logam-logam berharga sebagai masa depan mereka. Walaubagaimanapun akibat kerakusan penjajah, bagaikan perampok di siang hari, telah membuatkan rakyat Somalia mengigit jari. Dan cetusan permusuhan sesama mereka tinggalan durjana penjajah, mengakibatkan suasana pelaburan yang tidak kondusif dan selamat bagi pedagang-pedagang baru merubah angin ekonominya. Akhirnya, untuk memberikan nafas kehidupan keluarga di tanah air sendiri, penduduk Somalia berusaha berbakti kepada kegersangan padang pasir dengan bertani dan menternak haiwan.

Kehidupan tidak menjanjikan kemanisan berpanjangan. Oh! Frasa tersebut mungkin hanya berlaku pada bukan penduduk Somalia. Dalam erti kata lain, tiada perkataan manis dalam kamus kehidupan mereka. Seumpama gurun sahara, dengan titisan hujan yang tidak menentu, kegersangan padang pasir menyukarkan pertanian serta ternakan untuk memberikan erti kebahagian kepada keluarga Somalia. Disulitkan lagi kehidupan mereka dengan aktiviti - aktiviti penjana ekonomi yang amat minimal akibat persengketaan dalaman yang tiada hujungnya.


Kem pelarian Somalia di Dadaab, Kenya


Sedikit usaha HALUAN - Talian Hayat Pelarian Somalia

Bencana kemarau kali ini entah kali yang ke berapa telah melanda bumi Islam Somalia ini. Dan setiap kali berlakunya bencana ini, mengakibatkan puluhan ribu rakyat Somali menghalakan kehidupan mereka ke Kenya atau suatu tempat yang diberi nama Dadaab, 100km dari tanah kelahiran mereka. Kali ini menjadikan satu lagi catatan sejarah, di mana bencana kemarau yang paling teruk mengakibatkan kebuluran bukan sahaja di Somalia, malahan juga di sebahagian besar Kenya, Etiophia dan Djibouti.

Sebelum ini, kita hanya mengintai jerih payah kehidupan mereka dari jauh. Sekali sekala kita terdengar teriakan derita mereka. Sayang seribu kali sayang penglihatan dan pendengaran kita umat Islam hanya melalui corong-corong media musuh durjana. Bagaikan pasrah dengan dogma kehidupan sedemikian, anak-anak Somalia terus membesar dengan seribu macam kepahitan. Bukan mereka minta dilahirkan sedemikian, ataupun ibubapa mereka tidak mahu menunaikan hajat kehidupan mereka. Suasana kehidupan di bumi tanah lahir mereka sudah demikian rupa, tiada mewah rupa, tiada mewah pakai malah untuk sesuap nasi dan seteguk air pun mereka memerlukan ihsan.

Namun demikian, kebergantungan mereka pada yang Maha Esa usah dipertikaikan. Suasana Islami dalam kehidupan harian mereka terus dipertahankan dan diperturunkan kepada generasi anak-anak. Dalam kejerihan hidup harian, rata-rata semua mereka berpegang pada sistem Illahi, kecuali beberapa kerat algojo tinggalan tarbiyyah penjajah yang komited untuk memporak-perandakan ummah Somalia. Samada di dalam wilayah Somalia yang masih bergolak dan kemarau dahsyat, ataupun di kem-kem pelarian, mualim-mualim terus konsisten membangunkan 'dugsi' - sistem pondok yang mendidik anak-anak Somalia dengan al-Quran dan Hadis hingga lahir para hufaz di kalangan generasi baru.


Menghafal al-Quran menggunakan kepingan kayu yang ditulis sendiri dengan ayat-ayat suci


Beginilah keadaan khemah tempat melahirkan anak

Berhijrah ke kem-kem pelarian bukanlah pilihan hati ummah Somalia. Majoriti yang ditanya akan memberikan jawaban yang serupa. Mereka ingin kembali ke bumi Somalia andainya esok menjanjikan kedamaian. Kem-kem yang menghunikan hampir sejuta pelarian, yang terletak 100km dari sempadan merupakan 'negara sementara' mereka. Dengan harapan untuk mendapatkan sesuap makanan dan seteguk air, mereka sanggup mengharungi lautan padang pasir, di bawah pancaran terik matahari dan kedinginan malam, berjalan ratusan kilometer menemui rakan mereka yang sudah berada di Dadaab. Dadaab, satu penempatan yang bukan menjanjikan seribu kebahagiaan kepada saudara-saudara Islam kita. Di sebalik bantuan 'shelter' dan makanan asasi dua kali sebulan oleh UNCHR dan seumpamanya, Dadaab adalah kawasan penempatan pelarian yang terpinggir dan dilayan bagaikan anak tiri oleh pihak berwajib. Dengan kemudahan infrastruktur kehidupan yang sangat minima, setiap penghuni yang berada di dalamnya dinafikan hak untuk bebas bergerak selain di dalam kem-kem mereka. Setiap kali jentera bantuan datang, mereka mengerumuninya, ibaratkan semut yang datang menghurung gula. Mereka, anak kecil, wanita mengedung bayi, anak muda baju lusuh merenung mata kami dengan seribu pengharapan, seolah-olah berkata-kata, 'kalaulah tidak berikan kami bantuan untuk seminggu, berilah kami sesuap nasi untuk hari ini!'.


Pembahagian barangan asas makanan di kem IFO 3


Menanti bantuan makanan di bawah terik matahari

Alhamdulilah, Allah SWT izinkan kami tersadai di tanah gersang Dadaab ini. Apalah nilai bantuan yang kami mampu bawa atau berikan, berbanding dengan derita kepayahan hidup anak-anak Somalia yang sudah kecapi puluhan tahun. Tiada nilai rasanya bandingan masa singkat keberadaan kami di sini dengan kepayahan seorang ibu muda yang sarat mengandung ditinggalkan suami dan akhirnya melahirkan bayi dalam khemah usang tanpa lampu neon! Oh jauh sekali, berbanding dengan penderitaan seorang ibu yang mengheret tiga orang anak kecil muka penuh debu, berdiri beratur sejak awal pagi menantikan bungkusan makanan untuk seminggu. Moga apa yang kami lalui ini benar-benar menyentuh dan melembutkan hati keras kami, agar kami dan saudara-saudara Islam sekalian memahami erti kehidupan Muslim mukmin sebenarnya. Tiadalah erti hidup ini, sementara kita senantiasa diulit kemewahan dan tersandar kekenyangan, manakala anak-anak Islam Somalia terus mati kebuluran dan merintih seharian tanpa airmata lagi untuk menyambung nyawa kehidupan esok hari

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger