Monday 20 June 2011

Dongeng Tunggul Unggul

Tersebutlah kisah di sebuah Kampung Senget Sebelah, di tengah sawah padi yang terbentang hijau, tertegaklah tiang sebatang, terdirilah sebuah rumah batu, beratab asbestos, ala sederhana besarnya. Terjonggol dari jauh, terngangalah sebuah lubang dari sebuah bilik. Itulah lubang untuk burung layang-layang keluar masuk.
Al-mahsyuklah, penghuni rumah tersebut seramai 7 orang. Ketua rumah tersebut bernama Pak Unggul. Bininya Mak Tunggul dan lima anaknya yang sedia patuh. Pak Unggul mempunyai semangat daya maju yang luar biasa. Kelima anaknya di hantar ke akademik tarian dan nyanyian yang letaknya kira-kira 20 kilometer jauhnya dari rumah Pak Unggul. Pak Unggul mahu kelima anaknya nanti akan menyambung warisan kebudayaan dan kesenian kerajaan Puting Beliung.
Berdiamlah Pak Unggul di dalam rumah itu bersama Mak Tunggul. Hari-hari yang diredahi, berdiam-diamlah sahaja kerana Pak Unggul dan Mak Tunggul tak serasi hidupnya. Pak unggul seorang yang menjaga penampilan dan mahu kelihatan sentiasa muda. Sedangkan Mak Tunggul hanyalah seorang yang kekampungan walaupun Mak Tunggul seorang yang berkerjaya. Mak Tunggul merupakan seorang cikgu. Jika sekali imbas, Pak Unggul dan Mak Tungguk hanyalah seperti adik dan kakak saja. Walhal, usia keduanya sebaya. Pak Unggul seorang yang pandai bergebang, manakala Mak Unggul pula seorang perempuan tua yang kaku. Berpatah ditanya, sepatah dijawab. Kebosanan sudah lama menjengah ke dalam diri Pak Unggul. Akan tapi, Pak Unggul pertahankan saja kehidupan bersama Mak Tunggul, kerana Mak Tunggul banyak berkorban harta benda di dalam jatuh bangunnya Pak Unggul dalam bidang perniagaan.
Berjalan-jalanlah Pak Unggul setiap hari. Bila balik, Mak Tunggul sudah tidur. Sewaktu Mak Tunggul bersiap-siap mahu ke sekolah, Pak Unggul masih membuta. Bila Mak Tunggul balik, Pak Unggul pula sudah keluar. Begitulah hari-hari Pak Unggul yang menjalani hidup selaku orang bujang saja. Maka, terjebaklah Pak Unggul yang sudah sekian lamanya bercita-cita mahu beristeri gadis yang dicintai di dalam kancah asmara. Jatuh asyiklah Pak Unggul pada Siti Bulan Selisih. Dipandang manis, ditenung manis, dipejam mata teringat, di dalam tidur termimpi-mimpi, di dalam sedar terbayang-bayang. Bertambah asyiklah Pak Unggul terhadap Siti Bulan Selisih. Setiap saat ingin bertemu. Siti Bulan Selisih juga demikian kisahnya.
Maka, berkahwinlah mereka tanpa diketahui Mak Tunggul. Tanpa sedikit syak wasangka, Mak Tunggul menunaikan rutinnya seperti biasa. Menyediakan makan minum, membasuh kain baju Pak Unggul dan sebagainya. Sedang Pak Unggul berbahagialah bersama orang baru yang jauh lebih muda dari Mak Tunggul dan pandai pula mengusik hati Pak Unggul. Bertambah sayanglah Pak Unggul kepada Siti Bulan Selisih. Makin dipandang, makin mabuk kepayang.
Akan perihalnya Mak Tunggul, menjengah tengah malam Pak Unggul pulang. Terkadang, tertunggu juga kepulangan suami. Apa daya, sudah tua baru terasa nak bermanja. Kekok dan canggunglah pula rasanya. Pak Unggul pula, tiada tanda-tanda mahu bermesra atau bergurau senda. Kerjanya bergaya dan keluar saja. Terloponglah Mak Tunggul seorang. Paginya pergi mengajar, bila balik tercongok seorang diri di ruang tamu. Sesekali ada juga menekan kekunci telefon dan mendail nombor Pak Unggul untuk bertanya mana dan di mana. Sepatah Pak Unggul jawab, talian dimatikan. Ruang untuk berbicara dengan lebih mesra sudah tandus. Hanya anak-anaklah harapan Mak Tunggul yang dapat membenihkan kemesraan antara mereka. Sebaliknya pada Pak Unggul. Pak Unggul tidak merasakan kekurangan tersebut. Baginya, hidup sudah lengkap. Punya anak dan isteri, ditambah pula seorang lagi isteri yang dicintai. Isteri tua, di situlah kalau dia tak meminta ke mana-mana. Isteri muda mesti dijaga. Belum dipegang kejap kukuh. Mana tahu, dilarikan teruna pula. Bertambah-tambah cemburu Pak Unggul terhadap Siti Bulan Selisih dan lebihlah perhatiannya. Siang malam pagi petang, hatinya hanya untuk Siti Bulan Selisih sahaja.
Tertunggullah Mak Tunggul tanpa tahu perihal yang sebenar. Seluas manalah bumi yang bernaung di bawah kerajaan puting beliung. Tahulah Mak Tunggul akan perkahwinan Pak Unggul. Bersiasatlah Mak Tunggul dalam ketunggulannya. Asal saja Pak Unggul ada di rumah, diperhatikan saja gerak gaya Pak Unggul yang tidak lekang dengan telefon di tangan. Jarinya tak henti menekan kekunci. Sekejap tersenyum, sekejap tersengih. Terasa dan tercuitlah hati dan perasaan Mak Unggul. Sepanjang 20 tahun bersama pun, Pak Unggul jarang seceria itu. Benarlah, hati Pak Unggul telah dirompak. Tatkala Pak Unggul ke bilik air, teraba-rabalah Mak Tunggul mencari telefon Pak Unggul. Disemak dan disimpan dalam kepala nombor telefon adik madunya itu. Sewaktu Pak Unggul keluar, digeledahnya fail-fail Pak Unggul yang tersusun kemas di atas rak dalam bilik. Sah, terjumpal sijil nikah. Mak Tunggul menangis tak berlagu. Berlarilah Mak Tunggul mendakap batas sawah. Hujan gerimis mula membasah bumi. Teringatlah Mak Tunggul akan lagu Allahyarham Sudirman. Suaranya mendayu-dayu menyanyikan lagu gerimis di lautan.
Gerimis di lautan
Kuubati lukaku sendiri
Namun parutnya terpandang jua
Apalah guna ke bendang padi seberang
Takkan menjadi
Apalah diharap sayang kasihnya orang,
Orang tak sudi
Oh biarlah..

0 comments:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger